TUGASAN BLOG SIW 505
SAMBUTAN HARI IBU:
IBADAT ATAU ADAT
Mohd Syahmi Bin Mohd
Miswan
Calon Sarjana Sains
Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
No. Matrik:
P-SM0137/12
Apabila membicarakan tentang
sambutan atau perayaan maka akan timbul beberapa perkara yang perlu kita ambil
berat dan titik beratkan, tujuannya adalah untuk memastikan perkara tersebut
menepati segala tuntutan yang telah ditetapkan oleh syarak.
Setiap
sambutan atau perayaan matlamatnya adalah untuk melahirkan rasa kegembiraan
disebabkan sesuatu peristiwa atau kerana seseorang individu. Maka tidak menjadi
perbahasan dari sudut kebenaran untuk melaksanakannya jika ia adalah satu
syariat yang jelas diturunkan oleh Allah SWT sebagai satu perintah agar manusia
melaksanakannya seperti sambutan Hari Raya dan sebagainya. Namun disana ada
juga beberapa sambutan yang disambut pada masa kini,dan ia tidak disebut secara
jelas di dalam Al-Qur’an ataupun hadis-hadis Nabi SAW serta tidak berlaku pada zaman
baginda SAW. Antaranya ialah sambutan hari ibu yang telah menjadi amalan
tradisi masyarakat dunia hari ini menyambutnya dengan pelbagai cara dan bentuk.
Untuk
menghasilkan satu perbahasan yang matang, maka perlu mengkaji beberapa perkara
yang menjadi faktor penting berkaitan dengan sambutan tersebut, antaranya
tarikh, peristiwa dan juga individu yang menyebabkan wujudnya sambutan Hari Ibu
tersebut.
Hari
Ibu disambut pada Ahad ke-2 bulan Mei setiap tahun oleh kebanyakan
penduduk di seluruh dunia, termasuk masyarakat di Malaysia. Secara umumnya umat
Islam tanpa usul periksa menerima bulat-bulat apa yang diperkenal dan
dianjurkan oleh dunia Barat. Tahukah anda sejarah bermulanya Hari Ibu?
Terdapat
pelbagai sejarah asal-usul sambutan Hari Ibu ini disambut. Di Eropah, satu
aliran pemikiran mengakui bahawa perayaan ini lahir daripada adat pemujaan ibu
pada masa Yunani Purba, yang menyambut satu perayaan untuk Cybele (Anthony, 1988), ibu
dewa-dewi Yunani yang agung. Perayaan ini diadakan sekitar equinoks
musim bunga di Asia Kecil dan tidak lama kemudian di Rom dari 15 hingga 18 Mac.
Orang Rom Purba juga menyambut suatu perayaan yang bernama Matronalia
bagi memperingati Dewi Juno, dan ibu lazimnya diberi hadiah pada hari
ini.
Orang-orang
Greece pula menganggap Hari Ibu sebagai perayaan musim bunga dan penghormatan
terhadap Rhea, ibu kepada tuhan mereka. Pada tahun 1600, orang England
merayakan hari yang mereka namakan sebagai “Mothering Sunday”(SCFI, t.t). Ia
dirayakan pada hari Ahad keempat setiap Lent. Lent adalah tempoh masa
selama 40 hari sama ada dalam bulan Februari atau Mac. Dalam tempoh ini,
sebahagian orang-orang Kristian akan berhenti melakukan atau memakan makanan
tertentu atas alasan agama. Amalan tersebut adalah sebagai penghormatan mereka
terhadap Mother Mary. Mother Mary adalah Maryam, ibu kepada Nabi Isa
a.s atau Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan dalam fahaman kristian.
Perayaan
ini bersamaan hari kenduri persembahan Jesus di Kuil dalam mazhab
Ortodoks Timur. Oleh sebab Theotokos (Ibu Tuhan) amat penting dalam
perayaan ini kerana membawa Christ ke Kuil Jerusalem, perayaan ini dikaitkan
dengan ibu. Namun begitu, kini ramai orang Greece cenderung menyambut Hari Ibu
mengikut negara Barat yang lain.
Dalam
tempoh tersebut, kebanyakan rakyat England yang fakir dan miskin akan bekerja
sebagai pembantu rumah. Mereka keluar jauh meninggalkan keluarga kerana percaya
bahawa Jesus akan memberikan kekayaan dan kesenangan dalam tempoh
tersebut. Menjelang hari Ahad keempat, mereka digalakkan untuk bercuti oleh
majikan dan pulang ke kampung untuk bertemu dengan ibu. Setiap ibu akan
dihadiahkan dengan Mothering Cake atau kek hari ibu sempena perayaan
tersebut.
Amalan dan tradisi ini menular ke seluruh dunia dan ia kini disambut sebagai penghormatan kepada Mother Church. Mother Church dianggap sebagai kuasa spiritual yang agung yang memberi manusia kehidupan dan memulihara mereka dari sebarang kecederaan. Sejak dari itu, perayaan Mothering Sunday telah diadun dengan upacara kegerejaan. Penghormatan mereka terhadap ibu sama taraf dengan penghormatan mereka terhadap gereja.
Di
Amerika Syarikat pula, Hari Ibu disambut seawal 1872 hasil ilham Julia Ward
Howe. Beliau adalah seorang aktivis sosial dan telah menulis puisi “The
Battle Hymn of The Republic” (TBHoTR). TBHoTR telah dijadikan lagu
patriotik yang popular di kalangan warga Amerika. Ungkapan “Hallelujah” dalam
bait-bait lagu tersebut menyerlahkan lagi sentuhan Yahudi dan Zionis dalam
mencaturkan politik dunia.
Pada
tahun 1907 Anna Jarvis dari Philadelphia telah memulakan kempen untuk
melancarkan Hari Ibu. Beliau telah berjaya mempengaruhi Mother’s Church di
Grafton, West Virginia agar meraikan Hari Ibu pada hari ulang tahun kedua
kematian ibunya, iaitu pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Semenjak dari itu,
Hari Ibu dirayakan saban tahun di Philadelphia.
Anna
Jarvis dan pendokong-pendokongnya telah
menulis surat kepada menteri, golongan peniaga dan ahli-ahli politik agar Hari
Ibu disambut secara meluas di seluruh wilayah. Matlamat mereka telah berjaya
sepenuhnya pada tahun 1911 apabila hari tersebut disambut oleh hampir keseluruhan
wilayah Amerika. Pada tahun 1914, Presiden Woodrow Wilson, secara
rasminya telah mengisytiharkan Hari Ibu sebagai hari cuti umum dan mesti raikan
pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei.
Sambutan
Hari Ibu juga disambut pada hari yang berbeza-beza di sebelah Asia kerana
berbagai macam sumber asal-usulnya. Di China, Hari ibu disambut sebagai
memperingati Meng Mu, ibu kepada Mencius (Caroline, t.t). Di Thailand dirai
sempena hari keputeraan Ratu Sirikit Kitiyakara pada 12 Ogos (Meoriszwan, t.t). Manakala 1 Jun di
Mongolia adalah Hari Ibu dan pada Kanak-kanak Sedunia juga disambut serentak.
Mongolia adalah satu-satunya negara yang menyambut Hari Ibu dua kali setahun.
Terdapat
beberapa pendapat dalam menyatakan hukum menyambut Hari Ibu ini. Para ulama
juga berselisih pandangan mengenai persoalan hukum meraikan ‘Hari Ibu’
ini. Sesetengah ulama mengatakan ianya bersifat bid’ah atau berdosa malahan ada
yang ekstrem sehingga mengharamkannya. Memang benar ianya bid'ah dan haram
sekiranya iktikad dan niat untuk meniru dan meraikan budaya-budaya orang bukan
Islam.
Dan penjelasan berkenaan bid’ah, boleh rujuk kepada artikel
bertajuk “Nabi SAW Tidak Pernah Lakukan: Hujah Atau Tidak” yang ditulis dalam
blog Persatuan Mahasiswa Republik Mesir (PMRAM).
Manakala Profesor Tafsir dan Ilmu al-Quran di Universiti
Al-Azhar, Dr Muhammad Bakar Ismail, berpandangan sambutan Hari
Ibu adalah harus kerana meraikan serta memuliakan ibu seperti pada Hari Ibu
adalah bid’ah dalam perkara adat dan bukan ibadat (Norusuhada Tahir, 2012).
Bid’ah
dalam adat adalah tidak disuruh oleh Islam dan tidak juga dilarang kecuali ia
menghubungkan dengan agama daripada dekat atau jauh. Jika adat ini lahir
daripada pengiktirafan kepada kemurnian dan menyeru kepada berlaku baik dan
ihsan kepada orang yang berhak mendapat kebaikan seperti ibu, bapa, datuk dan
nenek, maka Islam memberkati dan memperakui adat sebegini.
Manakala
jika adat ini lahir daripada perkara sebaliknya, dan melakukannya juga
membabitkan perkara yang buruk dan dilarang Islam seperti pemborosan,
pembaziran, kelalaian dan berbangga-bangga, maka Islam melarang daripadanya.
Jika
dilihat dari segi keharusan sambutan ini, ia lebih banyak membawa kebaikan.
Pertamanya, sesuatu perbuatan itu mestilah disertakan dengan niat yang baik.
Walaupun amalan itu pada asasnya harus, namun ia boleh menjadi haram apabila
disertai niat yang bertentang syariat.
Menurut
Dr Yusuf al-Qaradhawi: “Hari Ibu ini timbul kerana pihak orientalis atau
doktrin barat memikirkan inilah cara terbaik untuk menarik minat anak remaja
barat menghormati orang tua mereka.”
Umumnya
kita tahu masyarakat barat amat tipis dengan adab tatasusila, jadi dengan
mengadakan dan mengkhususkan hari-hari tertentu dapat memupuk remaja mereka
menyayangi dan menghormati orang tua mereka. Di sini, ditakuti orang Islam
mengikut budaya barat ini secara buta-tuli dari segi cara sambutan dan adab
pergaulan ketika sambutan serta tidak mempedulikan nilai Islam dalam
meraikannya.
Persoalan
yang dibangkitkan di sini adalah mengapa perlu diadakan atau diiktikadkan hanya
satu hari untuk hari ibu? Adakah satu hari itu saja dia jadi ibu
kita? Adilkah kita perlakukan begitu kepada insan yang mengandungkan kita
selama 9 bulan 10 hari, kemudian berjerit perih dan bertarung nyawa melahirkan
kita, seterusnya berjaga malam menjaga ketika sakit kemudian memenuhi apa saja
kehendak kita bagai menatang minyak yang penuh, tiba-tiba kita hanya meraikan
kemulian mereka hanya sehari. Hari-hari lain, kita diam membisu, tidak
menghubungi dan tidak ada lagi penghargaan buat ibu.
Dan
Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya
semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah
seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam
jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang
perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking
menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang
bersopan santun).
(Surah al-Isra’, ayat 23)
Secara epistemologi dan tasawurnya, kedudukan ibu sangat
mulia di sisi Islam. Pelbagai cabaran terpaksa ditempuh ibu demi membesarkan
kita. Sepatutnya disambut hari ibu sekerap mungkin sama ada setiap hari, setiap
minggu, setiap bulan dan setiap tahun kerana setiap hari adalah hari ibu.
Raikanlah dengan setulus ikhlas terhadap insan mulia tersebut.
Dengan termaktubnya Hari Ibu. Seharusnya dijadikan
hari peringatan atau perayaan terhadap peranan seorang ibu dalam keluarganya,
baik untuk suami, anak-anak, mahupun sesama manusia.
Ada bagus dan baiknya diadakan sambutan hari ibu ini,
sekurang-kurangnya boleh juga menyedarkan ‘Si Tanggang Moden’
yang sibuk dengan sahabat, rakan perniagaan atau tugas seharian dan orang ramai
akan lebih mengenang dan menghargai jasa pengorbanan ibu.
Ibu mempunyai hak terhadap anak-anak dari segala aspek. Pengorbanan
ibu kepada anak itu tidak mungkin dapat dibalas dengan wang ringgit dan
kemewahan semata-mata. Oleh itu, wajib anak berbuat baik dan berbakti kepada
ibu mereka terutama selepas meningkat dewasa dan bukannya menjadi anak yang
‘seperti kacang lupakan kulit’.
Firman Allah SWT:
“Dan Kami perintahkan kepada manusia
(supaya berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya
dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun,
bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku
kembalimu.” (Surah Lukman, ayat 14)
Islam
meletakkan ibu ditempat yang paling selayaknya, begitu juga dengan bapa. Jika
Syurga Ibu atau isteri di bawah kaki Ayah atau suami, tetapi dengan keinsafan
yang lebih menebal. Tanpa ibu, siapalah kita. ‘Syurga anak itu adalah di bawah
tapak kaki Ibu’.
Seorang
ibu berhak mengambil haknya terhadap anak-anaknya dan seseorang anak itu tidak
boleh langsung mempertikaikan hak ibu dan bapa mereka terhadap dirinya. Jihad
adalah perkara paling utama dalam Islam, namun kerana Ibu, jihad menjadi tempat
kedua bagi seorang anak.
Perkara
ini dikatakan sendiri oleh Rasulullah ketika ada seorang sahabat yang bernama
Jahimah bertemu baginda untuk bertanyakan pandangan untuk ikut serta dalam
ekspedisi jihad. Rasulullah bertanya, “Adakah kamu masih mempunyai
ibu?” Jahimah menjawab:“Ya.” Lalu Rasulullah bersabda, “Tinggallah
bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.” (Shahih
Sunan al-Nasai, no: 3104)
Sambutan
Hari Ibu adalah tanda pengiktirafan anak terhadap pengorbanan ibu kepada mereka
dan sambutan yang dianjurkan bertujuan membahagiakan ibu.
Firman Allah SWT :
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ
وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًا ۚ
“Dan Tuhanmu telah mewajibkan supaya tidak
menyembah selain dari-Nya dan berlaku baik kepada ibu bapa.” (Surah
al-Isra’, ayat 23)
Peringatan
dan perayaan boleh dilakukan dengan membebas atau meringankan tugas ibu dari
kerja domestik harian yang dianggap kononnya merupakan kewajibannya, seperti
mendidik, menghantar anak-anak ke sekolah, memasak, mengemas dan urusan rumah
tangga lainnya.
Hari Ibu
juga boleh menjadi wasilah untuk merapatkan hubungan anak dengan ibu bapa serta
mengeratkan hubungan sesama adik-beradik. Sebagai hari istimewa, semua
ahli keluarga berkumpul dan dari situ terbitlah ikatan erat dan melahirkan
suasana penuh kasih sayang sejati, saling mencintai antara satu sama lain.
Sambutan
Hari Ibu yang memenuhi tuntutan Islam antaranya, sambutan yang dilakukan
sebaik-baiknya secara sederhana, tidak melalaikan tanggungjawab seorang Muslim
terhadap Allah SWT dan tidak bersifat membazir. Di samping itu,
sebaik-baik sambutan adalah dengan mengadakan solat berjemaah bersama ahli
keluarga, mengadakan majlis tahlil dan doa selamat, pesanan dan nasihat yang
baik serta dalam suasana mahabbah.
Oleh itu,
penting bagi masyarakat Islam membetulkan niat terlebih dulu dalam meraikan
sambutan Hari Ibu ini supaya sambutan dirahmati dan tidak terkeluar daripada
landasan syariat Islam yang digariskan Allah SWT untuk hambaNya.
Harus
diingat, mengamalkan dan mengikut budaya asing, terutamanya dalam meraikan
hari-hari tertentu tanpa memaklumi atau memahami latar belakang dan sebab
diadakan perayaan tersebut, sebenarnya akan menyebabkan umat Islam lebih
ke arah kehancuran kerana ianya bukan sahaja mampu menjejaskan akhlak
bahkan keimanan dan akidah, serta menjatuhkan maruah agama Islam itu
sendiri. Umat Islam diseru agar tidak sesekali meniru budaya asing yang
ternyata bercanggah apatah lagi ia turut menjerumuskan mereka ke
lembah kemaksiatan. Adalah diharapkan semoga dengan adanya garis
panduan seperti ini akan dapat membantu umat Islam bagaimana untuk
meraikan sambutan Hari Ibu, Bapa, Kekasih dan yang seumpamanya
menurut perspektif Islam yang sebenar.
RUJUKAN
RUJUKAN
Anthony E. Smart, 1998, Cybele, diakses pada 5
Oktober 2012 daripada
http://www.pantheon.org/articles/c/cybele.html.
BC Gold Amanah, Hukum Sambut Hari Ibu, diakses pada
11 Oktober 2012 daripada http://www.bcgoldamanah.com/perkhidmatan/bank-artikel/176-hukum-meraikan-sambutan-hari-ibu.html
Caroline, t.t, Mothers Day in China, diakses pada 9
Oktober 2012 daripada http://www.articlesnatch.com/Article/-Mothers-Day-In-China-/1109589#.UHwjBq7z1OY
Darululumonline, Hukum Sambut Hari Ibu, diakses pada
10 Oktober 2012 daripada http://darululumonline.wordpress.com/2012/05/06/hukum-sambut-hari-ibu/
Hafiz Firdaus, t.t, Ibubapa Menurut Al-Sunnah,
diakses pada 12 Oktober 2012 daripada http://hafizfirdaus.com/ebook/Ayah_Ibu/ibubapa%20sunnah%203.htm
Meoriszwan, t.t, Selamat Hari Ibu, diakses pada 10
Oktober 2012 daripada http://meoriszwan.blogspot.com/2011/05/selamat-hari-ibu.html
Norusuhada Tahir, 2012, Perbetul NiatTerlebih Dahulu
Dalam Raikan Hari Ibu, diakses pada 10 Oktober 2012 daripada https://darululumonline.wordpress.com/2012/05/19/perbetul-niat-terlebih-dulu-dalam-raikan-hari-ibu/
Society for the
Confluence of Festivals in India (SCFI), t.t, Mothering Sunday, diakses
pada 9 Oktober 2012 daripada http://www.mothersdaycelebration.com/mothering-sunday.html
Zuhaili Saiman, 2012, “Nabi SAW Tidak Pernah Lakukan:
Hujah Atau Tidak”diakses pada 11 Oktober
2012 daripada http://www.manhal.pmram.org/2012/05/nabi-saw-tidak-pernah-lakukan-hujah.html
r
No comments:
Post a Comment