Showing posts with label tugasan SIW 505. Show all posts
Showing posts with label tugasan SIW 505. Show all posts

Wednesday, November 21, 2012

Penawar Hati Yang HIba



TUGASAN BLOG SIW 505

PENAWAR HATI YANG HIBA

Mohd Syahmi Bin Mohd Miswan
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
No. Matrik: P-SM0137/12

Setiap manusia yang dijadikan Allah dibekalkan dengan akal dan emosi agar manusia boleh menjalankan kehidupan dengan sebaik yang mungkin. Emosi perlu dikawal oleh akal dan akal pula perlu dikawal oleh iman. Jika ketiga-tiga ini ada di dalam diri manusia, maka sudah pasti ia akan menjadi manusia yang baik dan soleh. Bergantung kepada cara individu tersebut untuk mengawal emosinya agar tidak keterlaluan dan sentiasa berada dalam keadaan normal. Emosi yang hanya berpandukan kepada akal semata-mata akan menjadi sesat dan jauh menyimpang dari ajaran Islam. Contoh yang dapat kita lihat sekarang seperti ramai umat Islam yang sanggup membunuh diri kerana kekecewaan yang sangat. Ada pula yang sanggup membunuh atau mencederakan orang lain kerana terlalu marah. Tetapi apabila ia dikawal oleh akal dan iman sudah tentu orang yang sedih akan pasrah kerana ia tahu bahawa itu adalah ketentuan Allah dan setiap perkara itu ada hikmah disebaliknya. 
 
Semua pihak mengakui penyakit–penyakit jiwa atau dalam bahasa modennya dikenali sebagai ‘gangguan psikologi’ adalah penyakit atau masalah yang memerlukan rawatan segera dan bersungguh–sungguh. Jika diabaikan, akibatnya amat buruk sekali kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Semuanya mengundang kepada porak- peranda dalam kehidupan (Norhuriyatina Salleh, t.t).

Hati yang hiba tidak boleh kita hapuskan dan ia merupakan sebahagian daripada emosi yang telah dianugerahkan kepada manusia. Caranya untuk mengawal hati yang hiba ini ialah kembali kepada Islam seperti yang saya tegaskan di atas. Islam mempunyai penawar yang mujarab bagi mengubati segala penyakit manusia sama ada rohani atau jasmani. Hal ini sangat berbeza dengan agama-agama yang lain kerana mereka tidak ada asas pembinaan rohani kepada setiap umat mereka.
           
         Kalau dilihat berdasarkan persepktif, epistemologi dan tasawur barat, mereka menggunakan terapi untuk diri antaranya mendengar muzik-muzik yang menenangkan jiwa, bercerita kepada kaunselor, dan melakukan aktiviti-aktiviti luar yang boleh menghilangkan tekanan dan sentiasa berfikir positif.

Berbeza dengan epistemologi dan tasawur yang dianjurkan Islam. Islam menganjurkan membaca Al-Quran. Al-Quran adalah ubat yang sangat mustajab kepada manusia bagi menghilangkan perasaan hiba dan segala penyakit hati dan jasad. Setiap orang yang membaca Al-Quran akan menjadi tenang dan Allah akan memberikannya jalan keluar atas segala kesulitan yang dihadapi olehnya. Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai umat manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu al-Quran yang menjadi penasihat (pengajaran ) daripada Tuhan kamu dan menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin (jiwa ) yang ada di dalam dada kamu serta menjadi petunjuk (hidayah ) untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Yunus: 57)

dan

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Al-Isra : 82)

         Seorang lelaki datang berjumpa dengan Ibnu Mas’ud. Dia mengeluh dan berkata “Wahai Ibnu Mas’ud nasihatilah aku dan berilah penawar untuk jiwaku yang gelisah ini, aku tidak tenteram, jiwa gelisah dan fikiran aku bercelaru. Ibnu Mas’ud menjawab “kalau begitu bacalah Al-Quran atau engkau mendengar orang membaca Al-Quran”.

Al-Quran memberi petunjuk kepada manusia tentang cara–cara untuk merawat jiwa yang tidak tenteram. Bahkan amalan membaca dan menghayati isi kandungan al-Quran itu sendiri sudah mampu mententeramkan jiwa–jiwa manusia. Nabi Muhammad s.a.w pernah menyebut:

“Tidak berkumpul sesuatu kaum di dalam sesebuah rumah dari rumah-rumah Allah, mereka membaca kepadanya Kitab Allah (al-Quran) dan membincangkannya bersama–sama, melainkan turun ke atas mereka ‘as-sakinah’ (ketenangan) dan diliputi mereka dengan rahmat dan dinaungi mereka oleh para malaikat dan Allah menyebut amalan mereka itu di hadapan makhluk Allah yang ada di sisi-Nya.” (Riwayat Bukhari )

Mengunjungi tempat pengajian juga merupakan cara untuk mendidik jiwa agar mengenali dan sentiasa mengingati Allah. Di dalam kitab at-Tibyan fi adabi hamlatil Quran , susunan Imam an-Nawawi, beliau ada menukilkan kata-kata seorang ahli ma’rifat bernama Ibrahim Khawwash yang menyatakan lima penawar hati yang diantaranya adalah duduk bersama orang yang soleh. (Abunuha, t.t). Tidak rugi orang yang sentiasa mengunjungi tempat pengajian, kerana di dalam pengajian tersebut dipenuhi dengan nasihat, ilmu, ayat-ayat Al-Quran dan hadis. Ini bertujuan untuk mendidik nafsu dan emosi kita agar sentiasa bertindak mengikuti kehendak Allah dan tidak menyalahi syarak. Menuntut ilmu adalah amalan yang sangat baik dan sangat dituntut oleh Islam dan ia juga merupakan fardu ain bagi sekalian umat Islam.

Telah Berkata Muadz bin Jabal : “Pelajarilah Ilmu, karena mempelajari ilmu merupakan bentuk Khosyah (takut) kepada Allah, Menuntutnya adalah ibadah dan mempelajarinya secara bersama-sama adalah tasbih”.



Jelas di sini, orang yang rajin menuntut ilmu atau menghadiri kelas-kelas pengajian ilmu, seolahnya ia sentiasa bertasbih dan berzikir kepada Allah. Segala kepayahan, kesukaran dan kesedihan yang dihadapi olehnya akan terubat dan ia tahu bagaimana untuk bertindak sesuai dengan tuntutan Islam. Ini berbeza dengan orang yang tidak menuntut ilmu, kerana mereka sering melakukan kesalahan dalam tindakan mereka dan kadang-kadang ibadah yang dilakukan juga silap. Perkara sebegini sangat bahaya dan sangat merugikan orang yang tidak berilmu.

Untuk menghilangkan perasaan hiba yang dialami oleh seseorang, maka hendaklah ia sentiasa berzikir menyebut nama Allah. Perasaan hiba ini berlaku apabila hati seseorang itu terluka. Untuk merawat hati yang terlupa memerlukan suatu kaedah yang rohaniah dan tidak boleh menggunakan ubat-ubatan farmasi atau klinik. Zikir adalah ubat yang sangat mustajab dan sangat mempengaruhi hati seseorang yang selalu berzikir. Firman Allah yang bermaksud :

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Ar-Rad : 28)



Solat merupakan ibadah yang paling penting di dalam Islam. Ibarat tiang rumah, begitulah pentingnya solat. Tanpa tiang rumah yang kukuh, rumah pasti akan roboh. Begitu juga dengan solat. Tanpa solat, maka rapuhlah Islam dan iman individu. Jadi kita sebagai umat Islam, jangan sesekali mensia-siakan amanah yang diperintahkan Allah ini pada setiap hari dan waktu, walaupun sibuk dengan tugasan harian, namun solat sesekali tidak pernah ditinggalkan. Hadis Nabi yang bermaksud :

“Solat itu tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa meninggalkan solat dia telah meruntuhkan agama”. (Riwayat Baihaqi)

Solat adalah pembuktian ikatan yang kuat antara hamba dengan Tuhannya. Dalam solat, hamba seolah berada di hadapan Tuhannya dan dengan penuh kekhusyukannya memohon banyak hal kepadaNya. Perasaan ini akhirnya boleh menimbulkan adanya kejernihan spiritual, ketenangan hati dan keamanan diri di kala ia mengerahkan semua emosi dan anggota tubuhnya mengarahkan kepadaNya dengan meninggalkan semua kesibukkan dunia dan permasalahannya. Pada saat solat ia boleh sepenuhnya memikirkan Tuhannya tanpa ada interaksi dari sesiapa pun hingga pada saat itulah ia merasakan ketenangan dan akalnya pun seolah menemukan waktu rehatnya.

Jelas di sini, bahawa solat adalah sebahagian dari terapi yang boleh mengubati jiwa seseorang yang berada di dalam keadaan hiba. Semasa mendirikan solat, seseorang itu harus mengosongkan jiwa dan raganya untuk member sepenuh tumpuan kepada Allah. Segala yang berlaku sebelum solat telah diredhokannya kerana ia hendak memfokuskan seluruh hatinya kepada solat dengan harapan mendapat khusyuk kepada Allah. Amat rugi bagi orang yang mendirikan solat secara sambil lewa tanpa ada semangat untuk melaksanakan solat dengan baik sepertimana yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Solat yang tidak sempurna diibaratkan seperti kain buruk dan kain itu akan dicampakkan oleh Allah ke muka kita apabila dihari perhitungan nanti.

Salah satu sifat yang disarankan oleh Islam ialah bersangka baik kepada orang lain (husnuzon) dan ia adalah salah satu dari sifat mahmudah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Punca timbulnya  rasa tidak tenang kepada orang lain adalah kerana kita mempunyai perasangka yang tidak baik kepada orang lain sehingga menyebabkan hubungan kita dengan orang tersebut tidak selesa. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Hujurat : 12)

Sikap berbaik sangka ada banyak kebaikannya di antara diri kita dan orang lain. Orang yang berbaik sangka sentiasa mudah untuk menerima orang lain di dalam kehidupannya walaupun orang tersebut tidak mempunyai apa-apa pertalian darah darinya. Walaupun begitu, dia menganggap orang lain seperti saudaranya yang dekat dan sentiasa mudah untuk membantu dan menjalinkan hubungan sosial dengan orang lain. Malah inilah perkara yang dianjurkan oleh Islam, kerana setiap umat Islam itu adalah bersaudara. Ibarat tangan kanan dicubit tangan kiri juga turut merasai kesakitannya. Hubungan persaudaraan sesama Islam juga pasti terpelihara dan lebih erat ukhwahnya. Perasaan yang bebas dan hati yang terbuka dari sebarang sikap dan sifat yang buruk terhadap saudaranya yang lain. Segala kesalahan dan teguran dari orang lain akan dinilai olehnya dengan positif. Sekiranya orang lain melakukan kesalahan kepadanya seperti mencerca dan menyakiti hatinya, ia akan segera memaafkan orang tersebut dan diubati kesakitannya dengan zikir dan mengingati Allah.

Segala garis panduan yang diberikan di sini, boleh mengubati perasaan yang hiba itu, kerana hati yang hiba tidak boleh diubati dengan ubat, ia mesti diubati dengan rawatan rohani yang hanya terdapat di dalam agama Islam sahaja. Islam meliputi semua aspek iaitu rohani dan jasmani dan merupakan pelengkap kepada kehidupan manusia. Setiap apa yang berlaku kembalilah kepada agama Islam, nescaya Islam itu mempunyai kaedah yang tersendiri dan mampu mengubati seluruh penyakit yang ada pada manusia. Carilah damai di hati dengan menjadikan iman sebagai penawar yang amat mujarab. Selalulah mengingati akan rahmat dan ampunan Allah, bertawakkal dan berbaik sangka kepadaNya, mengimani qadha' dan qadarNya, menjalani hidup sesuai dengan adanya, melepaskan kegundahan tentang masa depan dan mengingati akan nikmat Allah (Dr. Aid Abdullah Al-Qarni, 2010).

Amalkan doa ini setiap kali selepas solat. Doa ini juga selalu dibaca dalam bacaan Al-Ma’thurat susunan As-Syahid Imam Al-Banna. InsyaAllah hati pasti kan menjadi lebih tenang. Berikut adalah terjemahan doa.


"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kerunsingan dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepada-Mu daripada perasaan penakut dan bakhil dan aku berlindung kepada-Mu daripada belenggu hutang dan tekanan orang."


Rujukan

Abu Nuha, diakses pada 20 November 2012 daripada http://abunuha.wordpress.com/2008/07/18/lima-penawar-hati/

Dr. Aid Abdullah Al-Qarni, 2010, La Tahzan: Don’t Be Sad (Edisi Bahasa Malaysia), Selangor, Al-Hidayah Publishers

Ismail Kamus, Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid (2009), Indahnya Hidup Bersyariat, Shah Alam, Telaga Biru Sdn. Bhd.

Jack Canfield, Mark Victor Hansen, Amy Newmark (2012), Chicken Soup for the Soul: Berfikir Positif, Batu Caves, PTS Profesional.

Mutiara doa, diakses pada 18 November 2012 daripada http://fifapg9.blogspot.com/2010/02/mutiara-doa.html


Norhuriyatina Salleh, diakses pada 20 November 2012 daripada http://halaqah.net/v10/index.php?page=309;wap2


Wednesday, October 17, 2012

Sambutan Hari Ibu: Ibadat atau Adat


TUGASAN BLOG SIW 505

SAMBUTAN HARI IBU: IBADAT ATAU ADAT

Mohd Syahmi Bin Mohd Miswan
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
No. Matrik: P-SM0137/12


Apabila membicarakan tentang sambutan atau perayaan maka akan timbul beberapa perkara yang perlu kita ambil berat dan titik beratkan, tujuannya adalah untuk memastikan perkara tersebut menepati segala tuntutan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Setiap sambutan atau perayaan matlamatnya adalah untuk melahirkan rasa kegembiraan disebabkan sesuatu peristiwa atau kerana seseorang individu. Maka tidak menjadi perbahasan dari sudut kebenaran untuk melaksanakannya jika ia adalah satu syariat yang jelas diturunkan oleh Allah SWT sebagai satu perintah agar manusia melaksanakannya seperti sambutan Hari Raya dan sebagainya. Namun disana ada juga beberapa sambutan yang disambut pada masa kini,dan ia tidak disebut secara jelas di dalam Al-Qur’an ataupun hadis-hadis Nabi SAW serta tidak berlaku pada zaman baginda SAW. Antaranya ialah sambutan hari ibu yang telah menjadi amalan tradisi masyarakat dunia hari ini menyambutnya dengan pelbagai cara dan bentuk. 

Untuk menghasilkan satu perbahasan yang matang, maka perlu mengkaji beberapa perkara yang menjadi faktor penting berkaitan dengan sambutan tersebut, antaranya tarikh, peristiwa dan juga individu yang menyebabkan wujudnya sambutan Hari Ibu tersebut.

Hari Ibu disambut pada Ahad ke-2 bulan Mei setiap tahun oleh kebanyakan penduduk di seluruh dunia, termasuk masyarakat di Malaysia. Secara umumnya umat Islam tanpa usul periksa menerima bulat-bulat apa yang diperkenal dan dianjurkan oleh dunia Barat. Tahukah anda sejarah bermulanya Hari Ibu?

Terdapat pelbagai sejarah asal-usul sambutan Hari Ibu ini disambut. Di Eropah, satu aliran pemikiran mengakui bahawa perayaan ini lahir daripada adat pemujaan ibu pada masa Yunani Purba, yang menyambut satu perayaan untuk Cybele (Anthony, 1988), ibu dewa-dewi Yunani yang agung. Perayaan ini diadakan sekitar equinoks musim bunga di Asia Kecil dan tidak lama kemudian di Rom dari 15 hingga 18 Mac. Orang Rom Purba juga menyambut suatu perayaan yang bernama Matronalia bagi memperingati Dewi Juno, dan ibu lazimnya diberi hadiah pada hari ini.

Orang-orang Greece pula menganggap Hari Ibu sebagai perayaan musim bunga dan penghormatan terhadap Rhea, ibu kepada tuhan mereka. Pada tahun 1600, orang England merayakan hari yang mereka namakan sebagai “Mothering Sunday”(SCFI, t.t). Ia dirayakan pada hari Ahad keempat setiap Lent. Lent adalah tempoh masa selama 40 hari sama ada dalam bulan Februari atau Mac. Dalam tempoh ini, sebahagian orang-orang Kristian akan berhenti melakukan atau memakan makanan tertentu atas alasan agama. Amalan tersebut adalah sebagai penghormatan mereka terhadap Mother Mary. Mother Mary adalah Maryam, ibu kepada Nabi Isa a.s atau Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan dalam fahaman kristian.

Perayaan ini bersamaan hari kenduri persembahan Jesus di Kuil dalam mazhab Ortodoks Timur. Oleh sebab Theotokos (Ibu Tuhan) amat penting dalam perayaan ini kerana membawa Christ ke Kuil Jerusalem, perayaan ini dikaitkan dengan ibu. Namun begitu, kini ramai orang Greece cenderung menyambut Hari Ibu mengikut negara Barat yang lain.

Dalam tempoh tersebut, kebanyakan rakyat England yang fakir dan miskin akan bekerja sebagai pembantu rumah. Mereka keluar jauh meninggalkan keluarga kerana percaya bahawa Jesus akan memberikan kekayaan dan kesenangan dalam tempoh tersebut. Menjelang hari Ahad keempat, mereka digalakkan untuk bercuti oleh majikan dan pulang ke kampung untuk bertemu dengan ibu. Setiap ibu akan dihadiahkan dengan Mothering Cake atau kek hari ibu sempena perayaan tersebut.



Amalan dan tradisi ini menular ke seluruh dunia dan ia kini disambut sebagai penghormatan kepada Mother Church. Mother Church dianggap sebagai kuasa spiritual yang agung yang memberi manusia kehidupan dan memulihara mereka dari sebarang kecederaan. Sejak dari itu, perayaan Mothering Sunday telah diadun dengan upacara kegerejaan. Penghormatan mereka terhadap ibu sama taraf dengan penghormatan mereka terhadap gereja.

Di Amerika Syarikat pula, Hari Ibu disambut seawal 1872 hasil ilham Julia Ward Howe. Beliau adalah seorang aktivis sosial dan telah menulis puisi “The Battle Hymn of The Republic” (TBHoTR). TBHoTR telah dijadikan lagu patriotik yang popular di kalangan warga Amerika. Ungkapan “Hallelujah” dalam bait-bait lagu tersebut menyerlahkan lagi sentuhan Yahudi dan Zionis dalam mencaturkan politik dunia.

Pada tahun 1907 Anna Jarvis dari Philadelphia telah memulakan kempen untuk melancarkan Hari Ibu. Beliau telah berjaya mempengaruhi Mother’s Church di Grafton, West Virginia agar meraikan Hari Ibu pada hari ulang tahun kedua kematian ibunya, iaitu pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Semenjak dari itu, Hari Ibu dirayakan saban tahun di Philadelphia.

Anna Jarvis dan pendokong-pendokongnya telah menulis surat kepada menteri, golongan peniaga dan ahli-ahli politik agar Hari Ibu disambut secara meluas di seluruh wilayah. Matlamat mereka telah berjaya sepenuhnya pada tahun 1911 apabila hari tersebut disambut oleh hampir keseluruhan wilayah Amerika. Pada tahun 1914, Presiden Woodrow Wilson, secara rasminya telah mengisytiharkan Hari Ibu sebagai hari cuti umum dan mesti raikan pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei.

Sambutan Hari Ibu juga disambut pada hari yang berbeza-beza di sebelah Asia kerana berbagai macam sumber asal-usulnya. Di China, Hari ibu disambut sebagai memperingati Meng Mu, ibu kepada Mencius (Caroline, t.t). Di Thailand dirai sempena hari keputeraan Ratu Sirikit Kitiyakara pada 12 Ogos (Meoriszwan, t.t). Manakala 1 Jun di Mongolia adalah Hari Ibu dan pada Kanak-kanak Sedunia juga disambut serentak. Mongolia adalah satu-satunya negara yang menyambut Hari Ibu dua kali setahun.

Terdapat beberapa pendapat dalam menyatakan hukum menyambut Hari Ibu ini. Para ulama juga berselisih pandangan mengenai persoalan hukum meraikan ‘Hari Ibu’ ini. Sesetengah ulama mengatakan ianya bersifat bid’ah atau berdosa malahan ada yang ekstrem sehingga mengharamkannya. Memang benar ianya bid'ah dan haram sekiranya iktikad dan niat untuk meniru dan meraikan budaya-budaya orang bukan Islam.

Dan penjelasan berkenaan bid’ah, boleh rujuk kepada artikel bertajuk “Nabi SAW Tidak Pernah Lakukan: Hujah Atau Tidak” yang ditulis dalam blog Persatuan Mahasiswa Republik Mesir (PMRAM).

Manakala Profesor Tafsir dan Ilmu al-Quran di Universiti Al-Azhar, Dr Muhammad Bakar Ismail, berpandangan sambutan Hari Ibu adalah harus kerana meraikan serta memuliakan ibu seperti pada Hari Ibu adalah bid’ah dalam perkara adat dan bukan ibadat (Norusuhada Tahir, 2012). 

Bid’ah dalam adat adalah tidak disuruh oleh Islam dan tidak juga dilarang kecuali ia menghubungkan dengan agama daripada dekat atau jauh. Jika adat ini lahir daripada pengiktirafan kepada kemurnian dan menyeru kepada berlaku baik dan ihsan kepada orang yang berhak mendapat kebaikan seperti ibu, bapa, datuk dan nenek, maka Islam memberkati dan memperakui adat sebegini.

Manakala jika adat ini lahir daripada perkara sebaliknya, dan melakukannya juga membabitkan perkara yang buruk dan dilarang Islam seperti pemborosan, pembaziran, kelalaian dan berbangga-bangga, maka Islam melarang daripadanya.

Jika dilihat dari segi keharusan sambutan ini, ia lebih banyak membawa kebaikan. Pertamanya, sesuatu perbuatan itu mestilah disertakan dengan niat yang baik. Walaupun amalan itu pada asasnya harus, namun ia boleh menjadi haram apabila disertai niat yang bertentang syariat.

Menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi: “Hari Ibu ini timbul kerana pihak orientalis atau doktrin barat memikirkan inilah cara terbaik untuk menarik minat anak remaja barat menghormati orang tua mereka.” 

Umumnya kita tahu masyarakat barat amat tipis dengan adab tatasusila, jadi dengan mengadakan dan mengkhususkan hari-hari tertentu dapat memupuk remaja mereka menyayangi dan menghormati orang tua mereka. Di sini, ditakuti orang Islam mengikut budaya barat ini secara buta-tuli dari segi cara sambutan dan adab pergaulan ketika sambutan serta tidak mempedulikan nilai Islam dalam meraikannya.

Persoalan yang dibangkitkan di sini adalah mengapa perlu diadakan atau diiktikadkan hanya satu hari untuk hari ibu? Adakah satu hari itu  saja dia jadi ibu kita?  Adilkah kita perlakukan begitu kepada insan yang mengandungkan kita selama 9 bulan 10 hari, kemudian berjerit perih dan bertarung nyawa melahirkan kita, seterusnya berjaga malam menjaga ketika sakit kemudian memenuhi apa saja kehendak kita bagai menatang minyak yang penuh, tiba-tiba kita hanya meraikan kemulian mereka hanya sehari. Hari-hari lain, kita diam membisu, tidak menghubungi dan tidak ada lagi penghargaan buat ibu.



Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).  
(Surah al-Isra’, ayat 23) 

Secara epistemologi dan tasawurnya, kedudukan ibu sangat mulia di sisi Islam. Pelbagai cabaran terpaksa ditempuh ibu demi membesarkan kita. Sepatutnya disambut hari ibu sekerap mungkin sama ada setiap hari, setiap minggu, setiap bulan dan setiap tahun kerana setiap hari adalah hari ibu. Raikanlah dengan setulus ikhlas terhadap insan mulia tersebut.

Dengan termaktubnya Hari Ibu. Seharusnya dijadikan hari peringatan atau perayaan terhadap peranan seorang ibu dalam keluarganya, baik untuk suami, anak-anak, mahupun sesama manusia.

Ada bagus dan baiknya diadakan sambutan hari ibu ini, sekurang-kurangnya boleh juga menyedarkan ‘Si Tanggang Moden’ yang sibuk dengan sahabat, rakan perniagaan atau tugas seharian dan orang ramai akan lebih mengenang dan menghargai jasa pengorbanan ibu.

Ibu mempunyai hak terhadap anak-anak dari segala aspek. Pengorbanan ibu kepada anak itu tidak mungkin dapat dibalas dengan wang ringgit dan kemewahan semata-mata. Oleh itu, wajib anak berbuat baik dan berbakti kepada ibu mereka terutama selepas meningkat dewasa dan bukannya menjadi anak yang ‘seperti kacang lupakan kulit’.
Firman Allah SWT:

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (supaya berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu.” (Surah Lukman, ayat 14)

Islam meletakkan ibu ditempat yang paling selayaknya, begitu juga dengan bapa. Jika Syurga Ibu atau isteri di bawah kaki Ayah atau suami, tetapi dengan keinsafan yang lebih menebal. Tanpa ibu, siapalah kita. ‘Syurga anak itu adalah di bawah tapak kaki Ibu’.

Seorang ibu berhak mengambil haknya terhadap anak-anaknya dan seseorang anak itu tidak boleh langsung mempertikaikan hak ibu dan bapa mereka terhadap dirinya. Jihad adalah perkara paling utama dalam Islam, namun kerana Ibu, jihad menjadi tempat kedua bagi seorang anak.

Perkara ini dikatakan sendiri oleh Rasulullah ketika ada seorang sahabat yang bernama Jahimah bertemu baginda untuk bertanyakan pandangan untuk ikut serta dalam ekspedisi jihad. Rasulullah bertanya, “Adakah kamu masih mempunyai ibu?” Jahimah menjawab:“Ya.” Lalu Rasulullah bersabda, “Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.” (Shahih Sunan al-Nasai, no: 3104)

Sambutan Hari Ibu adalah tanda pengiktirafan anak terhadap pengorbanan ibu kepada mereka dan sambutan yang dianjurkan bertujuan membahagiakan ibu.
Firman Allah SWT :

  ÙˆَÙ‚َضَÙ‰ٰ رَبُّÙƒَ Ø£َÙ„َّا تَعْبُدُÙˆٓا۟ Ø¥ِÙ„َّØ¢ Ø¥ِÙŠَّاهُ ÙˆَبِٱلْÙˆَٰÙ„ِدَÙŠْÙ†ِ Ø¥ِØ­ْسَÙ€ٰÙ†ًا ۚ

 “Dan Tuhanmu telah mewajibkan supaya tidak menyembah selain dari-Nya dan berlaku baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’, ayat 23) 

Peringatan dan perayaan boleh dilakukan dengan membebas atau meringankan tugas ibu dari kerja domestik harian yang dianggap kononnya merupakan kewajibannya, seperti mendidik, menghantar anak-anak ke sekolah, memasak, mengemas dan urusan rumah tangga lainnya.

Hari Ibu juga boleh menjadi wasilah untuk merapatkan hubungan anak dengan ibu bapa serta mengeratkan hubungan sesama adik-beradik. Sebagai hari istimewa, semua ahli keluarga berkumpul dan dari situ terbitlah ikatan erat dan melahirkan suasana penuh kasih sayang sejati, saling mencintai antara satu sama lain.

Sambutan Hari Ibu yang memenuhi tuntutan Islam antaranya, sambutan yang dilakukan sebaik-baiknya secara sederhana, tidak melalaikan tanggungjawab seorang Muslim terhadap Allah SWT dan tidak bersifat membazir. Di samping itu, sebaik-baik sambutan adalah dengan mengadakan solat berjemaah bersama ahli keluarga, mengadakan majlis tahlil dan doa selamat, pesanan dan nasihat yang baik serta dalam suasana mahabbah.

Oleh itu, penting bagi masyarakat Islam membetulkan niat terlebih dulu dalam meraikan sambutan Hari Ibu ini supaya sambutan dirahmati dan tidak terkeluar daripada landasan syariat Islam yang digariskan Allah SWT untuk hambaNya.

Harus diingat, mengamalkan  dan mengikut budaya asing, terutamanya dalam meraikan hari-hari tertentu tanpa memaklumi atau memahami latar belakang dan sebab diadakan perayaan tersebut, sebenarnya akan menyebabkan umat Islam lebih ke arah kehancuran kerana ianya bukan sahaja mampu menjejaskan akhlak bahkan keimanan dan akidah, serta menjatuhkan maruah agama Islam itu sendiri. Umat Islam diseru agar tidak sesekali meniru budaya asing yang ternyata bercanggah apatah lagi ia turut menjerumuskan mereka ke lembah kemaksiatan. Adalah diharapkan  semoga dengan adanya garis panduan seperti ini akan dapat membantu umat Islam bagaimana untuk meraikan sambutan Hari Ibu, Bapa, Kekasih dan yang seumpamanya menurut perspektif Islam yang sebenar.


RUJUKAN


Anthony E. Smart, 1998, Cybele, diakses pada 5 Oktober 2012 daripada  
             http://www.pantheon.org/articles/c/cybele.html.
                                                                     
BC Gold Amanah, Hukum Sambut Hari Ibu, diakses pada 11 Oktober 2012 daripada http://www.bcgoldamanah.com/perkhidmatan/bank-artikel/176-hukum-meraikan-sambutan-hari-ibu.html

Caroline, t.t, Mothers Day in China, diakses pada 9 Oktober 2012 daripada http://www.articlesnatch.com/Article/-Mothers-Day-In-China-/1109589#.UHwjBq7z1OY
                     
Darululumonline, Hukum Sambut Hari Ibu, diakses pada 10 Oktober 2012 daripada http://darululumonline.wordpress.com/2012/05/06/hukum-sambut-hari-ibu/

Hafiz Firdaus, t.t, Ibubapa Menurut Al-Sunnah, diakses pada 12 Oktober 2012 daripada http://hafizfirdaus.com/ebook/Ayah_Ibu/ibubapa%20sunnah%203.htm 

Meoriszwan, t.t, Selamat Hari Ibu, diakses pada 10 Oktober 2012 daripada http://meoriszwan.blogspot.com/2011/05/selamat-hari-ibu.html

Norusuhada Tahir, 2012, Perbetul NiatTerlebih Dahulu Dalam Raikan Hari Ibu, diakses pada 10 Oktober 2012 daripada https://darululumonline.wordpress.com/2012/05/19/perbetul-niat-terlebih-dulu-dalam-raikan-hari-ibu/ 

Society for the Confluence of Festivals in India (SCFI), t.t, Mothering Sunday, diakses pada 9 Oktober 2012 daripada http://www.mothersdaycelebration.com/mothering-sunday.html 

Zuhaili Saiman, 2012, “Nabi SAW Tidak Pernah Lakukan: Hujah Atau Tidak”diakses pada  11 Oktober 2012 daripada http://www.manhal.pmram.org/2012/05/nabi-saw-tidak-pernah-lakukan-hujah.html

 
r


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...