Sunday, December 08, 2013

Nilai Hidup Menurut Islam


NILAI HIDUP MENURUT ISLAM
Mohd Syahmi Bin Mohd Miswan
Tugasan SVW 502, Pembangunan Insaniah
Semester 3 (2013)

Mujahid Fathi Yakan di dalam kitabnya, Maza Ya’ni Intima-i Li al-Islam, telah menyatakan bahawa di dunia terdapat tiga kategori manusia. Tiga kategori tersebut adalah:

Kategori Pertama

Golongan yang hidup hanya untuk dunia semata-mata. Mereka dinamakan sebagai golongan ad-Dahriyyun. Sikap mereka jelas seperti yang dinyatakan di dalam al-Qur’an:

“Dan tentu akan mereka katakan: “Hidup hanyalah kehidupan kehidupan kita di dunia sahaja dan kita sekali-kali tidak dibangkitkan”. (al-An’am,  6:29)

“Dan mereka berkata: “Kehidupan tidak lain hanyalah kehidupan dunia sahaja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa. Dan mereka  sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduga-duga sahaja.” (al-Jasiyah, 46:24)

Kategori Kedua

Golongan yang telah hilang pedoman, terumbang ambing, akidah bersimpang siur, mereka melakukan kesesatan dan menyimpang dari jalan Allah SWT dalam kehidupan duniawi. Namun mereka masih menyangka mereka membuat kebaikan. Meskipun mereka mempunyai kepercayaan kepada Allah SWT dan Hari Kiamat tetapi akidah mereka hanyalah gambaran semata-mata yang terputus hubungan dengan aktiviti atau amalan hidup mereka. Pada hakikatnya mereka lebih kepada kebendaan (materialistik) walaupun kadangkala mereka melakukan kerja-kerja yang berbentuk kerohanian.

Kategori Ketiga

Golongan yang menganggap bahawa dunia ini sebagai ladang tanaman untuk mendapat atau memungut hasilnya di akhirat kelak. Golongan ini benar-benar beriman dengan Allah SWT. Mereka mengetahui hakikat hidup serta memahami nilai dunia  berbanding dengan Hari Akhirat. Allah SWT membandingkan mereka seperti dalam firman-Nya:

“Dan tidaklah kehidupan dunia ini selain daripada bermain-main dan bersenda gurau belaka. Dan sungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidaklah kamu memahaminya.” (al-An’am, 6:32)

Mereka yang benar-benar beriman menganggap dunia sebagai medan perlumbaan untuk mentaati Allah SWT dan mencari keredhaan-Nya. Seluruh hidupnya (ilmu, perniagaan, kekayaan, rumah, masa dan fikiran) diarahkan kepada jalan Allah SWT.
 
Bagi menjamin supaya urusan hidup ini terarah menurut lunas-lunas Islam maka sewajarnya difahami dan dihayati beberapa kewajipan, iaitu:

1.      Mengetahui matlamat hidup. Sebagaimana Firman Allah SWT:

“Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka mengabdikan diri (kepadaKu).” (az-Zariyat, 51:56)

2.      Memahami nilai dunia berbanding dengan nilai akhirat. Firman Allah SWT:

“Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu: Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah, kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempat kamu ? Apakah kamu berpuas hati dengan kehidupan dunia sebagai ganti kehidupan akhirat? Pada hal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan akhirat) hanyalah sedikit.” (at-Taubah, 9:38)

3.      Mengetahui hakikat kematian dan mengambil pengajaran daripada kematian yang pasti berlaku kepada setiap manusia sebagaimana Firman Allah SWT:

“Tiap-tiap yang berjiwa akan menemui mati.” (ali Imran, 3:185)

4.      Mengetahui benar-benar akan hakikat Din al-Islam dengan cara mempelajari dan mendalami dasar-dasar dan hukum-hakamnya.

5.      Mengetahui hakikat Jahiliyyah, iaitu dengan meneliti ciri-ciri pemikiran, aliran dan perancangannya. Di samping itu, mendedahkan akibat serta keburukan Jahiliyah. Dengan memahami Jahiliyyah, barulah orang-orang beriman tidak terperangkap ke dalam perangkap-perangkap jahiliyyah. Hal ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang mempelajari bahasa sesuatu kaum, ia terselamat dari tipu daya mereka.”

Neraca Dalam Kehidupan

Dalam pegangan hidup manusia, hendaklah diambil neraca dan nilai syarak, dan tidak seharusnya diambil nilai-nilai lain. Kabaikan dan keburukan hendaklah diperhatikan menurut pandangan syarak berdasarkan kaedah:

“Yang baik ialah  apa yang dipandang baik oleh syara dan yang buruk ialah apa yang dipandang buruk oleh syarak.”

Terdapat banyak perintah Allah SWT yang memerintahkan kita agar mengambil nilai syarak dan melarang daripada mengambil nilai yang lain daripada syarak. Antaranya Firman Allah SWT :

“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas satu syariat (peraturan) daripaa urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.” (al-Jasiyah, 46:18)

“Ikutilah apa yang telah diturunkan kepada kamu daripada Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selainNya. Amat sedikitlah kamu mengambil pengajaran (daripadaNya).” (al-A’raf, 7:3)

“Apakah kamu tidak memerhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kamu dan apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada Taghut, pada hal mereka telah diperintahkan agar mengingkari taghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka sejauh-jauhnya.” (an-Nisa’, 4:60)

Terdapat keterangan yang memberi peringatan bahawa memilih dan berpaut kepada yang lain daripada nilai Islam adalah merupakan kesesatan dan menyimpang daripada jalan Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang  di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan-sangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah SWT).” (al-An’am, 6:116)

“Dan adalah tidak patut bagi lelaki mu’min dan tidak pula patut bagi perempuan mu’min, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkansesuatu ketetapan akan ada pada mereka suatu pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Sesungguhnya sesiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan  kesesatan yang nyata.” (al-Ahzab, 33:36)

Nilai Yang Tetap

Nilai Islam adalah nilai yang tetap dan tidak berubah-ubah meskipun zaman beredar dan berubah. Dalam hal ini Abu al’Ala al-Maududi telah menyatakan dalam risalahnya, Ila AyySyai’ Yad’u al-Islam, bahawa Allah SWT tidak semata-mata menurunkan undang-undang tertingi (Supreme Law) melalui Rasul bahkan diturunkan bersama-samanya nilai yang tetap (Thabitah = Permanent Values). Sesuatu yang telah ditetapkan baik di dalam al-Qur’an dan sunnah Rasul itu adalah baik selama-lamanya. Demikian juga sebaliknya, sesuatu yang ditetapkan buruk itu maka ia tetap buruk selama-lamanya. Begitu juga yang halal tetap halal dan yang haram tetap haram. Ketetapan tersebut tidak boleh dipinda, ditambah, dikurangkan atau dihapuskan. Hanya yang berani membuat pindaan dan pembatalan itu ialah  golongan atau jamaah yang melepaskan dan membebaskan diri daripada Islam.

Hal yang sama juga telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh Sayyid Qutb dalam kitabnya yang sangat bernilai, Khasais at-Tasawwur al-Islami Wa Muqawamatuha, dalam satu tajuk, Ath-Thabat (Nilai Yang Tetap). Perlu diperingatkan sekiranya ketetapan Allah SWT itu tidak dipatuhi maka akan berlakulah kerosakan demi kerosakan di alam ini. Firman Allah SWT:
 
“Andaikata kebenaran itu menurut hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi dan semua yang terdapat di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan (al-Quran) mereka tetapi mereka berpaling daripada kebanggaan tersebut.”
(al-Mu’minun, 23:71)

Nilaian Allah SWT

Islam telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagai suatu sistem hidup yang sempurna. Telah ditentukan bahawa penilaian yang tinggi dan keuntungan hanya diberikan kepada mereka yang beriman serta menghayati Islam dalam kehidupan mereka. Hal ini telah ditegaskan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:

“Demi masa. Sesunguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh.” (al-’Asr, 103:1-3)

Sayyid Qutb ketika menghuraikan ayat ini telah menjelaskan bahawa Iman merupakan dasar hidup yang amat penting bagi membuahkan hasil yang baik dan bernilai dalam seluruh cabang hidup. Mana-mana amalan yang tidak lahir daripada keimanan, maka ia tidak bernilai di sisi Allah SWT. Allah SWT telah membuat perbandingan di dalam firman-Nya:
 
“Orang-orang yang kafir kepada Tuhannya, amalan-amalan mereka seperti debu yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak dapat mengambil sebarang manfaat dari apa yang mereka kerjakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh.” (Ibrahim, 14:18)

“Dan orang-orang yang kafir, amalan-amalan mereka adalah seumpama fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu, dia tidak mendapatinya sesuatu apapun.” (an-Nur,24 :39)

Amalan soleh itu adalah buah Iman. Iman itu hidup dan bergerak melahirkan amalan yang soleh. Inilah Iman Islam. Iman itu bergerak, bekerja dan membangun menuju kepada matlamat Allah SWT. Ia tidak semata-mata tersimpan beku di lubuk hati. Ia juga bukan semata-mata angan-angan atau sekadar niat baik sahaja tanpa diamalkan.

Pembentukan Jemaah

Untuk menyempurnakan tanggungjawab menurut sistem Islam, maka perlulah kepada pembentukan Jamaah Islamiyyah. Yakni, jemaah yang ada kesedaran untuk bangun menghayati dan menegakkan Islam. Jemaah  yang mana anggotanya pimpin memimpin, membimbing antara satu sama lain dalam suasana ukhwah dan kasih sayang sejati kerana Allah SWT.

Hendaklah kita sedari bahawa memperkatakan yang hak itu adalah suatu yang wajib, namun terpaksa menghadapi berbagai-bagai kesukaran serta halangan. Din atau sistem Islam itu adalah hak (kebenaran) yang wajib dibangunkan, tetapi ia tidak dapat tertegak melainkan di dalam kawalan jamaah yang sudah terbentuk.

Sabar
 
Perlu juga diinsafi bahawa kerja-kerja menegakkan Iman, amal soleh dan mengawal yang hak itu adalah kerja yang amat sukar bagi individu dan jamaah. Maka ia memerlukan  kepada satu senjata, iaitu kesabaran. Yakni sabar dalam jihad sama ada jihad hawa nafsu atau lain-lain, sabar menangung penderitaan dan kesukaran, sabar menghadapi kemungkaran dan kemaksiatan yang berleluasa, sabar melalui masa yang panjang dan peningkatan yang lambat dan sabar untuk menuju matlamat yang jauh di dalam perjuangan hidup ini. Hal ini memerlukan kepada jamaah yang mana anggota-anggotanya hidup dalam ukhuwwah dan bimbing-membimbing dengan kesabaran.  Dalam suasana ini, barulah sistem Islam boleh hidup subur dan menghasilkan buah-buah (natijah) yang baik lagi bernilai.

Model

Model jemaah yang tinggi dan agung telah lahir di Zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Adalah perlu sekali kita mengambil contoh teladan mereka dalam usaha kita membentuk jemaah kini. Generasi pertama tersebut telah memiliki sifat-sifat dan ciri-ciri penting hingga melayakkan mereka menjadi umat terbaik.

Berikut disenaraikan beberapa ciri yang terpenting seperti yang dijelaskan oleh Abu al-Hasan Ali al-Husni an-Nadawi dalam kitabnya, Maza Khasira al-’Alam Bi Inhitat al-Muslimin. Rumusan beliau ialah:

1.    Mereka berpegang teguh kepada Syariat Ilahi. Mereka sesekali tidak mencipta undang-undang menurut hawa nafsu mereka.

2.    Mereka telah melalui proses Tarbiyyah (didikan) dan Tazkiyyah (pembersihan) jiwa dalam jangka masa yang lama di bawah pimpinan Rasulullah SAW hingga lahir sifat-sifat terpuji. Jawatan dan tugas disifatkan sebagai amanah dan ujian daripada Allah SWT, bukan kemegahan atau kebanggaan.

3.    Perkhidmatan mereka kerana Allah SWT, tidak kerana yang lain. Mereka bekerja untuk mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada perhambaan hanya kepada Allah SWT semata-mata. Kemuliaan hanya bagi orang-orang yang bertaqwa.

4.    Mereka membina tamadun yang soleh meliputi kemajuan rohani, jasmani dan aqli. Semua bidang hidup dikuasai oleh nilai dan akhlak Islam, meliputi bidang pentadbiran, ekonomi, sosial dan politik.
Sehubungan dengan itu juga, Said Qutb pernah menjelaskan bahawa dasar hidup mereka dibina di atas kata-kata Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Mereka mengabdikan diri kepadaKu dan tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu apa pun.” (an-Nur, 24:55)

Erti memperhambakan diri kepada Allah SWT itu, menurut tafsiran Said Qutb, ialah tetap berjalan di atas sistem peraturan Allah SWT. Inilah manhaj yang diguna pakai oleh mereka dalam semua bidang kehidupan.

Demikianlah gambaran umum mengenai jemaah Islam yang hidup menjunjung perintah-perintah Allah SWT yang disifatkan oleh Allah SWT sebagai umat terbaik dan menjadi model untuk seluruh manusia.

Wallahualam.
-kure tomey-

Thursday, December 05, 2013

Mati Itu Pasti!!

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Orang pintar ialah sesiapa yang memuliakan dirinya serta membuat persediaan untuk kehidupan selepas mati, sementara orang bodoh ialah sesiapa yang membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu tetapi mengharapkan cita-citanya dikabulkan oleh Allah."
(Riwayat At-Tirmidzi)

Kematian pasti dihadapi oleh setiap orang sebagaimana firman Allah yang bermaksud: 
"Setiap yang bernyawa pasti akan mati." (Al-Anbia': 34).

Oleh itu petanda bagi orang yang sentiasa mengingati mati ia sentiasa memperbanyakkan amal perbuatan yang baik sepanjang hidupnya.

Larangan Meminta-minta Mati

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
" Jangan sesekali seseorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata : Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku." 
(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Seorang mukmin dilarang keras meminta mati kerana bosan dan tidak tahan menanggung sesuatu bencana yang menimpanya; sebaliknya dia mestilah menyifatkan bala bencana yang menimpanya itu sebagai ujian dan menerimanya dengan redha.
Sesungguhnya segala dugaan itu adalah kaffarah (penghapus) dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana tersebut . Oleh itu Allah menyeru kita agar menghadapinya dengan sabar dan akan ditulis pahala amal baik sebagai ganjarannya.
Allah SWT adalah bersifat dengan Maha Pengasih dan Penyayang, Dia tidak akan membiarkan hamba-Nya berada di dalam kesusahan selagi hamba-Nya itu ingat dan berserah diri serta bertawakal kepada-Nya dalam segala keadaan.

كَيۡفَ تَكۡفُرُونَ بِٱللَّهِ وَڪُنتُمۡ أَمۡوَٲتً۬ا فَأَحۡيَـٰڪُمۡ‌ۖ ثُمَّ يُمِيتُكُمۡ ثُمَّ يُحۡيِيكُمۡ ثُمَّ إِلَيۡهِ تُرۡجَعُونَ
"Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat kelak); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)"
 (Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 28)



Ada beberapa cara yang Rasullullah SAW ajarkan untuk selalu zikrul maut (ingat akan mati) ini:
  1. Perintah memperbanyak mengingati mati :
    "Perbanyaklah mengingat-ingat sesuatu yang melenyapkan dan menjadikannya segala macam kelazatan (kematian)."
    ( Riwayat At-Turmidzi )
  2. Mengingati kematian dapat melebur dosa dan zuhud :
    "Perbanyaklah mengingati kematian, sebab yang demikian itu akan menghapus dosa dan menyebabkan timbulnya kezuhudan di dunia." ( Riwayat Ibnu Abiddunya )
  3. Kematian sebagai penasihat pada diri sendiri :
    "Cukuplah kematian itu sebagai penasihat." ( Riwayat At-Thabrani dan Baihaqi )
  4. Orang cerdik ialah orang yang banyak mengingati mati :
    "Secerdik-cerdik manusia ialah yang terbanyak ingatannya kepada kematian serta yang terbanyak persiapannya uantuk menghadapi kematian itu. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar cerdik dan mereka akan pergi ke alam baka dengan membawa kemuliaan dunia dan akhirat." ( Riwayat Ibnu Majah dan Abiddunya )
Agar selalu ingat kepada kematian perlu dilakukan perkara-perkara berikut :
  1. Menyaksikan orang yang sedang sakaratul maut. Betapa dasyatnya dan menakutkan lebih-lebih kalau berdosa. Keadaan sakaratul maut ini digambarkan oleh Rasullullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud :
    "Sakitnya sakaratul maut itu kira-kira tiga ratus sakitnya pukulan pedang."
    ( Riwayat Abiddunya ).

    Sesungguhnya Nabi SAW mempunyai segelas air ketika hendak meninggal dunia. Baginda memasukkan tangannya ke dalam air, kemudian menghusap wajahnya dengan air itu dan berkata :
    "Ya Allah, semoga Tuhan mempermudah kepada saya terhadap sakaratul maut ini."
    ( Riwayat Bukhari dan Muslim )
  2. Mengunjungi orang sakit, sebab hujung dari penyakit ini tidak lain adalah kematian. Dari itu kita selalu waspada dan berhati-hati.
  3. Melakukan ziarah kubur, sebagaimana sabda Rasullullah SAW:
    "Lakukanlah ziarah kubur kerana ia mengingatkan mati." ( Riwayat Muslim )
  4. Merasakan diri selalu diawasi Allah SWT dimana saja kita berada. Oleh dengan demikian sentiasalah beramal yang baik. Rasullullah sSAW bersabda :
    "Seutama-utama iman seseorang itu ialah bahawa ia mengetahui dengan sungguh bahawa Allah SWT itu ada bersama dengannya di manapun ia berada." ( Riwayat 'Ubadah bin Shamit )
  5. Sedarilah bahawa perasaan kita sering disaksikan oleh anggota badan kita sendiri, yakni oleh lidah, tangan, kaki, kulit, telinga, mata dan hati. Hal ini difahamkan Allah SWT dalam Al-Qur'an yang bermaksud :
    "Pada hari (ketika) lidah tangan dan kaki mereka menyaksikan atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan."
    ( An-Nur: 24 )
  6. Begitu pula agar disedari bahawa perasaan kita selalu disaksikan. Dilihat dan diikuti oleh siang dan malam bumi tempat kita berpijak, langit serta malaikat Raqib dan Atib dan malaikat-malaikat lainnya. Allah SWT berfirman :
    "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan hatinya. Dan Kami lebih dekat kepadanya dari urat nadi lehernya sendiri. Ketika dua malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain di sebelah kiri, tiada sesuatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir." ( Qaf: 16-18 ) 

    "Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran dimuka dan dibelakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah SWT." ( Ar-Ra'd: 11). (Malaikat ini disebut malaikat Hafazhad)

Monday, November 18, 2013

Kenalilah Tuhan Yang Mengujimu

Apabila diuji dengan kesakitan, perpisahan, kegagalan, kemiskinan… terdetiklah rasa, “apakah Tuhan sayangkan aku? Kenapa aku diuji sebegini berat sekali? ” 

Apabila ujian kesakitan, perpisahan, kegagalan, kemiskinan datang bertimpa-timpa,  terdetik juga kata di dalam hati, “apakah Tuhan masih sayangkan aku? Kenapa aku diuji seberat dan sekerap begini? ” Subhanallah, tanpa disedari seolah-olah kita sudah mempersoalkan kuasa Tuhan, padahal kita hanyalah hambaNya. Hamba tidak berhak menyoal, sebaliknya akan disoal. Namun, itulah kelemahan manusia. Kita sering alpa dan terlupa.

Paling malang, manusia kerap terlupa bahawa dirinya hamba. Terutamanya ketika diuji. Sebab itu Allah mengajar kita agar mengucapkan kalimah ‘istirja’ setiap kali diuji… Innalillah wa inna ilahihi rajiun, yang ertinya, “kami ini milik Allah, kepadaNya kami akan dikembalikan.” Ya, inilah kalimah yang mengingatkan bahawa kita ini milik Tuhan, Tuhan layak menguji kita dan kita layak diuji. Jangan sekali-kali menolak apalagi ‘mengamuk’ apabila diuji. Kita hanya hamba.
 
Namun untuk meringankan kepedihan ujian yang menimpa, hendak kita mengenal Allah yang memberi ujian itu. Kenallah sifat ilmu, kasih-sayang dan belas ihsan Allah yang Maha hebat. Sebagai hamba ilmu kita terbatas, ilmu Allah yang Maha Luas. Kasih sayang kita cuma seraut, kasih sayang Allah selaut. Orang yang mengenal Allah, akan mencintaiNya. Bila sudah cinta, kuranglah derita diuji. Bukankah cinta itu buta?

Orang yang mengenal kasih-sayang Allah punya keyakinan  bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik. Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, tidak akan memberi sesuatu yang buruk untuk hamba-Nya. Justeru, hamba yang baik tidak akan berburuk sangka terhadap Allah dengan merasakan apa yang ditakdirkanNya (ujian) itu ialah sesuatu yang tidak baik.

Yakinlah bahawa semua ketentuan Allah itu adalah baik. Ujian itu pasti ada kemuslihatan yang tersembunyi untuk setiap kita. Pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik, cuma kita tidak atau belum mengetahuinya. Bila berlaku nanti, barulah kita tersedar, ya Allah mujur Kau takdirkan begitu. Kata arifbillah (orang yang mengenal Allah), “sekiranya kita merasakan kasih sayang Allah itu terpisah apabila DIA menguji kita, itu petanda tumpulnya akal, butanya mata hati.”

Diantara hikmah ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan tujuannya untuk menjadi hamba Allah. Yang mana selama ini, jalan itu disekat oleh hawa nafsu.  Sebab ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan nafsu dan syahwat manusia. Nafsu yang buas dan liar untuk melakukan maksiat itu tidak suka pada sakit, rugi, miskin dan lail-lain. Lalu apabila diuji,  nafsu itulah yang terdesak, tidak senang dan ingin segera terlepas daripada ujian itu.

Jadi, apabila nafsu terdesak, hati akan dan akal terbuka. Inilah jalan kebaikan, kerana ajakan untuk melakukan kejahatan akan turut tertahan, kerana nafsu itu sangat mengajak pada kejahatan. Ujian itu sesugguhnya akan melemahkankan nafsu, menghilangkan kekuatannya serta batalkan kudratnya. Bila nafsu lemah, manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa – mengejar keseronokan dunia sehingga melupakan batasan syariat.

Ujian juga menimbulkan rasa taat kepada Allah. Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana Qada dan Qadar-Nya mesti berlaku. Manusia akan lebih dekat dengan agama, kepentingan akhirat, cinta kepada Allah. Hikmah ini walaupun sebesar zarah tetapi apabila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Inilah kebaikan di sebalik kepahitan ujian. Justeru, Allah berfirman:

“…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” (Surah Al Baqarah : 216).

Dengan ujian juga, Allah ‘membersihkan’ kotoran hati manusia. Ujian itu menghapuskan dosa dan kesalahan terhadap Allah seperti bahan pencuci membersihkan kain yang kotor. Nabi Isa pernah berkata, “belum dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya.”

Bila kita benci dengan ujian, ertinya belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dan membersihkan dosa-dosa kita. Ya, seolah-olah orang yang yang benci diuji itu tidak suka dibersihkan daripada dosa-dosa atau apakah dia merasa tidak berdosa?  Sebaliknya, apabila kita gembira (menerima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga daripada Allah. Kita bukan sahaja berikhtiar (berusaha) untuk menghilangnya tetapi juga berusaha untuk mendapatkan hikmahnya.

Rasulullah SAW bersabda, “barang siapa yang dikehendaki Allah pada orang itu kebaikan, maka Allah akan cuba dengan ujian-Nya.” Jadi, bila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Orang soleh bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.Tapi bagi anti diuji,  tidak akan dapat melihat hikmah kerana akal dan hatinya melihat sesuatu hanya selari dengan hawa nafsunya sahaja.

Ingatan para hamba kepada Allah akan bertambah dengan ujian-Nya. Itu petanda Allah pilih dia untuk diuji. Dan bila diuji, bertambah pulalah ingatan hamba Allah kepada Allah. (Oh… Allah ingat lagi padaku). Oleh itu, tiada jalan keluar melainkan lakukanlah tiga langkah ini apabila kita diuji:

I) Kuatkan iman, pupuk kesabaran, mantapkan keyakinan menghadapi ujian itu dengan segera mendekatkan diri kepada Allah. Apabila Rasulullah SAW ditimpa masalah, baginda akan terus bangun mendirikan solat dua rakaat. Baginda tidak melihat masalah yang besar tetapi cepat-cepat merujuk kepada Pemberinya – Allah Maha Besar. Masalah kita mungkin besar tetapi Allah yang memberinya jauh lebih besar. Justeru, segeralah ‘mencari’ Allah sebelum mencari yang lain-lain apabila ditimpa ujian.

II) Cuba serapkan rasa di dalam hati Kehendak (pilihan) Allah mengandungi hikmah yang baik jika diterima penuh keinsafan dan kesabaran. Yang penting apa yang berlaku ‘di dalam hati’ kita, bukan apa yang berlaku diluar diri kita. Allah berikan yang pahit, jadikan ubat. Allah berikan yang pedih, anggaplah itu pembedahan jiwa untuk mengeluarkan penyakit-penyakit hati kita. Ya, jika limau yang kita dapat masam… buatlah air limau, kata orang yang bijaksana.

III) Berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) hikmah. Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Bila baik sangka kepada Allah, maka kita akan bertambah hampir kepada-Nya. Apabila hampir kepadanya… insyaAllah semuanya akan baik-baik belaka. Bukankah DIA Tuhan yang Maha Baik?

Ya, Allah timpakan ujian yang besar, untuk ‘membesarkan’ kita. Ingat itu. Justeru, ahli yang bijaksana sering berkata…Pemimpin yang besar itu dikenali melalui ujian yang dihadapinya. Semakin besar tahap kepimpinannya, maka semakin besarlah ujian yang Tuhan sediakan untuk ‘membesarkan’ lagi pengaruh kepimpinannya.

Dan setiap kita adalah pemimpin… sekurang-kurang pemimpin buat diri sendiri. Jadi, kita pasti diuji! Justeru apabila diuji jangan katakan, “apakah aku tersisih?” Sebaliknya, katakan, “aku sudah terpilih!”

**cp daripada blog gentarasa, Pahrol Mohd Juoi untuk santapan dan iktibar bersama

Tuesday, August 27, 2013

Emm…patah hati !!

Jika mendengar perkataan ini pasti yang terlintas dibenak fikiran kita dan semua orang adalah tentang cinta yang terkandas, tentang cinta yang putus sampai di sini saja, tentang perpisahan, tentang airmata yang berlinang, tentang sakitnya hati, dan semua yang menyebabkan dunia terasa mengalami kiamat
 ”Lebih baik sakit gigi daripada sakit hati
Hati sanubari kita kadang-kadang pening mencari jawapan kenapakah cinta yang putus itu diberi nama “patah hati”. Tiada istilah lain yang lebih sedap ke?

Tapi  yang penting adalah bagaimana ketika cinta itu terkandas, ketika cinta itu tak lagi tersambung, ketika cinta itu tidak lagi mahu menjadi milik kita, dan ketika si dia tak mahu lagi menjadi tempat luahan hati kita

Patah hati sinonim dengan airmata, kenapa ya?

Tetapi kita lupa bahawa patah hati itu juga sinonim dengan hikmah:

Seharusnya kita bersyukur masih diberi rasa patah ini oleh ALLAH, masih boleh menangis, itu ertinya kita masih ada hati kan? bukan hanya sekadar hati, tapi hati yang sensitif, yang lembut dan yang mampu bahagia dan luka.

Dan airmata yang mengalir ini dapat membersihkan kelopak mata kita yang kusam menjadi jernih kembali kerana airmata yang berlinang membawa semua kotoran dimata. Menagislah kerana mencintai ALLAH pada saat kita bersendiri.

Airmata ini lebih bernilai pahala daripada menangisi si dia, orang yang ditangisi pun tak tahu kita nangis kerananya
"‘fabiayyi ala irobbikuma tukazziba"
Maka nikmat yang mana lagikah yang sanggup kita dustakan? Bahkan didalam air yang berlinang melalui mata ini, ALLAH memberikan kasih sayangnya.

Mungkinkah ada lagi nikmat ALLAH di balik kata patah hati ini? 

Cuba bayangkan, pada saat jatuh cinta semalam mendengar suara si dia di telefon lebih indah ditelinga kita dari suara azan, sms mesra dari sang pujaan hati lebih sering kita baca berulang ulang agar lebih memahami ertinya dan lebih bergetar mencintainya, tetapi seberapa kali kita membaca surat cinta dari ALLAH yang terbentang di dalam Al Quran?

Dan kini setelah tak ada lagi sms darinya, tak ada lagi suara manjanya, mungkin hikmah disebalik hati yang teriris berdarah darah ini adalah ALLAH hendak mengembalikan kita kepada cintanya ALLAH, apa ada cinta yang lebih indah dari cinta sang pemilik nafas ini?

Maka nikmat ALLAH yang mana lagikah yang sanggup kita dustakan? 

Disebalik patah hati ini ALLAH menyelamatkan kita dari cinta yang salah. Kita menyembah dan memuja cinta melebihi menyembah dan memuji ALLAH. Nauzubillahimindzalik. Cinta tak salah, tetapi mungkin hanya tidak tepat ketika kita lebih mencintai sang pujaan hati daripada mencintai ALLAH.
 ”Hanya dengan mengingati ALLAH hati menjadi tenang”
Ingatlah bahawa ALLAH maha membolak balikan hati dan keadaan. Jika hari ini ALLAH masih mengirimkan cinta maka janganlah menjadikan cinta itu berhala dengan memujanya seolah-olah dunia ini milik berdua, jumlah sms jadi lebih banyak dari jumlah rakaat solat, jumlah bil henpon jadi lebih banyak dari RM yang kita sedekahkan, duduk berdua-duaan ditempat sunyi lebih disukai daripada duduk tafakur diatas sajadah dan bermesraan dengan ALLAH.
Dan jika ALLAH membolak balikan hati kita dan si dia dari cinta, maka gantilah kata patah hati itu dengan perkataan syukur hati kerana ALLAH lebih mencintai kita dari pada si dia, terbukti ALLAH mengambil kita untuk dikembalikan kedalam nikmat, limpahan kasih sayang dari kekasih hati yang baru dan selamanya iaitu ALLAH. Siapa yang tak mahu jadi kekasih ALLAH? tenang, damai, indah, cukup rasanya hidup ini!

#buat diri yang patah hati

Sunday, May 12, 2013

Doa untuk Ibu


Melaluimu aku hidup,
Melaluimu dapat ku kenal erti kasih sayang,
tulusnya cintamu, putihnya kasihmu,
takkan pernah terbalaskan.

Hangat dalam dakapanmu,
memberikan aku kedamaian,
eratnya pelukmu, nikmatnya belaimu,
takkan pernah terlupakan..

Oh ibu terima kasih,
untuk kasih sayang yang tak pernah usai,
tulus cintamu takkan mampu,
untuk terbalaskan.

Oh ibu semoga tuhan,
memberikan kedamaian dalam hidupmu,
putih kasihmu kan abadi,
dalam hidupku.

Sunday, April 28, 2013

Iman turun naik



"Iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang, maka perbaharuilah imanmu dengan LAA ILAA ILLALLAH" (HR. Ibnu Hibban)

Kehidupan manusia yang mana lingkungannya jauh dari keadaan islamik, dapat membawanya kepada penurunan kadar keimanan. Penurunan kadar tersebut akan menjadi lebih mudah lagi apabila manusia tersebut tidak mengetahui sifat-sifat keimanan. Keimanan dalam Islam, bukanlah dengan hanya angan-angan dan bukan pula hanya dengan kata-kata dan dakwaan semata-mata. Keimanan adalah sebuah keyakinan yang menghujam di dalam hati dan dibuktikan dengan perbuatan.

Keimanan adalah penggerak yang mendorong manusia untuk melakukan sesuatu perbuatan. Baik buruknya perbuatan seseorang adalah tergantung baik buruknya keimanan seseorang. Keadaan/tahap keimanan yang buruk akan menghasilkan perbuatan yang buruk dan sebaliknya, keadaan yang baik menghasilkan perbuatan yang baik. Keimanan yang berteraskan kalimah Laa Ilaaha IllaLlah, jika tertanam baik dalam hati manusia, akan memotivasi manusia untuk melaksanakan tuntutan-tuntutannya.LAA ILAAHA ILLALLAH, bererti menjadikan Allah sebagai satu-satunya tempat pengabdian. Pengabdian sangat erat hubungannya dengan pembuktian dalam 'amal-amal' soleh. Dengan mematuhi perintah dan menjauhi laranganNya maka akan menjadikan keimanan kita tetap terjaga. Dengan bersegera dan berterusan melaksanakan amal, akan menjadikan kita semakin dekat dengan-Nya.

Pada suatu hari Rasulullah SAW pernah terkejut, tatkala mendapati seutas tali yang terikat di dua buah tiang di masjidnya. "Tali apa ini?" tanya Rasulullah kepada para sahabat. Para sahabat menjelaskan: "Wahai Rasul, ini adalah tali milik Zainab. Ia mengikatkan tali ini agar dapat bergantung apabila terasa malas dalam dirinya...." Rasul tersentak mendengar keterangan para sahabat, kemudian ia perintahkan mereka melepaskan tali tersebut seraya berkata. "Lakukanlah solat selama anda masih kuat melaksanakannya. Akan tetapi apabila kamu letih, hendaklah tidur..."

Diriwayatkan bahawa Amirul mu'minin Umar bin Abdul Aziz selesai salat fajar, pernah dilihat mengelilingi halaman rumahnya. Raut wajahnya menggambarkan sedihan, penuh kekhuwatiran dan harapan. Meski tidak dilantunkan dengan secara keras, namun ungkapannya jelas terdengar, berulang kali beliau memantulkan kalimat yang sama:"...bagaimana mata ini dapat terkatup dan pejam...sedang dia tidak tahu, di mana kelak dia akan kembali di antara dua tempat..." begitu seterusnya.

Demikianlah para sahabat dan orang-orang soleh, mereka selalu ingin mendekatkan dirinya kepada Allah. Hingga mereka terkadang memaksa diri untuk melakukannya. Suatu hal yang patut kita contohi, di mana pada saat ini banyak di antara kita yang baru saja melakukan sedikit 'amal-amal' soleh sudah merasa letih dan lelah bahkan berkeluh kesah.

Manusia beriman akan tergetar hatinya apabila menyebut nama Allah. Aqalnya akan sentiasa memikirkan kebesaran-kebesaranNya. Jasadnya pula akan selalu bergerak melaksanakan perintahNya dan menjauhi laranganNya.

Marilah kita mohon kepada Allah agar kita selalu diberiNya kekuatan untuk dapat menjaga dan mengingatkan keimanan kita kepadaNya. Segenap ruang dalam hidup kita Allah anugerahkan untuk meneguhkan iman, supaya nanti kita pulang ke sisiNya dalam keadaan redha meredhai.
Wallahu'alam

Friday, April 19, 2013

Penyakit Orang Berilmu

Kadang-kadang kita merasakan diri kita berilmu, walhal “air mata” ilmu yang terbit daripada dada kita sangat sedikit. Kadang-kadang kita merasakan diri kita hebat apabila orang menyanjung dan memuji kita, walhal itu semua muslihat Iblis untuk menyesatkan kita.
Amalan seseorang yang banyak adakalanya menjadi modal untuk Iblis memperdayakan kita agar kita berbangga dan riak dengan kelebihan yang Allah pinjamkan. Amal yang sedikit turut dipergunakan oleh Syaitan dengan menimbulkan perasaan sentiasa berprasangka Allah akan mengampuni kekurangan diri tanpa sekelumitpun rasa ingin menambahkan amalan untuk mendapatkan keredhaan Allah.
Penyakit orang kaya adalah bakhil. Penyakit orang miskin adalah malas. Penyakit orang berilmu adalah takabbur. Penyakit orang bodoh adalah tiada keinginan. Penyakit orang beramal adalah ‘perasan’.
Orang yang banyak beramal merasakan dirinya hebat dan disegani.
Lalu apabila dia berjalan, dia tunduk semacam tawadhu’ walhal Syaitan dalam jubahnya. Dia bercakap lembut agar dikata orang sebagai orang yang lembut hati walhal dalam hatinya tersimpan suatu perasaan takabbur yang tinggi. Apabila dia bercakap, dia merasakan semua orang memerhatikan kata-katanya. Syaitan telah memperdayakan pandangan mata hatinya, lalu dia menganggap yang buruk itu baik dan yang baik itu sebaliknya.
Orang yang banyak dosa pula sentiasa berharap dengan kalimah Allah yang Maha Pengampun.
Dia terlupa Allah juga keras seksaan-Nya. Allah ciptakan neraka sebagaimana Allah turut menciptakan syurga. Neraka untuk orang yang buruk perilakunya, dan juga untuk orang yang baik perilaku tetapi buruk hatinya. Syurga pula untuk orang yang benar-benar bersih daripada sebarang karat kekotoran, jika ada sekalipun, ia terlindung di sebalik rahmat Illahi.
Sesetengah orang berilmu apabila berbicara, maka penuh mulutnya dengan pancaran ilmu yang mempesonakan, walhal hati mereka cemar dengan pendustaan. Mulut mereka berkata benar sedangkan hati mereka menidakkannya. Dia mengatakan cinta akhirat tetapi dia sendiri kelihatannya sibuk mengejar dunia. Dia menyebut perihal zuhud sedangkan jiwanya diselimuti perasaan cintakan dunia berlebihan.
Mungkin orang lain mendapat manfaat di sebalik ilmunya yang melangit, tetapi dengar hanya sekadar dengar. Disimpan dalam otak tetapi tidak di hati. Kepalanya makin membesar dengan ilmu yang sarat tetapi hatinya dipenuhi kotoran pelbagai penipuan. Mereka pakar berbicara dalam pelbagai bidang, aqidah mahupun akhlak, tasawuf juga barangkali tetapi hanya lidah menuturkannya sedangkan hati menafikan. Katanya pejuang Islam tetapi lagaknya berlainan.
Orang yang bersih hati pula, kata-kata mereka mungkin tidak membawa mesej keilmuan yang tinggi, tetapi apabila mereka berbicara, ia mengusik jiwa yang mendengar. Apabila dia menyebut soal dosa, yang mendengar akan terbayangkan neraka. Apabila dia menyebut tentang perjuangan, orang akan rindukan jihad. Apabila dia menyentuh soal ibadat, orang semakin rindukan waktu malam untuk bertahajud. Mereka tidak perlu berbicara.
Kerana akhlak mereka sudah berbicara sebelum lidah mereka bergerak. Apabila mereka ingin berucap, maka seluruh hati orang mula terusik dan menanti-nantikan mutiara kata yang terbit daripada lidahnya. Sekali orang mendengar, rindu akan bertapak dalam diri mereka. Alangkah mereka rindukan kata-kata orang yang bersih jiwanya yang mana mungkin ilmunya tidak banyak tetapi ia sangat memberi kesan.
Orang yang kotor sebaliknya. Berbuih mulutnya berbicara, namun orang hanya endah tidak endah, dengar tidak dengar. Orang mungkin rindukan pidatonya yang bersemangat, tetapi orang tidak rindukan mutiara kata darinya. Sekadar mendengar menambahkan semangat dalam satu atau dua jam, kemudian hilang berciciran di tengah jalan. Orang yang bersih hatinya, mungkin pidatonya tidak menarik tetapi jiwa sentiasa dibuai dan terusik.
Iblis berkata: “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan ma’siat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis (orang-orang yang ikhlas beribadah kepada Allah)  di antara mereka.” ( Al-Hijr: 39-40 )
 p/s: c/p dari http://ondastreet.wordpress.com/2013/02/08/tazkirah-jumaat-penyakit-orang-berilmu/

Thursday, April 18, 2013

17 April ????

Mengenang As-Syahid Dr. Abdul Aziz Rantissi (17 April 2004) atau dikenali dengan gelaran 'singa Allah' kerana kelantangan dan keberanian beliau. Antara kata-kata beliau; 
 "We are all waiting for the last day of our life, nothing will be changed, if because by apatche or cardiac arrest, I prefer to be by apatche " - As Syahid Aziz Rantisi.
"Kita akan mati suatu hari nanti, tiada apa yang dapat mengubahnya. Jika maut disebabkan Apache atau serangan jantung, saya lebih rela memilih Apache.” 
 Moga dikurniakan syurga Jannah buat beliau. Al-fatihah.

#perjuangan menegakkan Islam tidak akan selesai hingga tibanya waktu yang dijanjikan Allah. Allhuakbar!!

PRU 13

  

DUN den ado, Parlimen PKR yo xjumpo laie. *nogoghi mood*
 
#Jom balik mengundi. :)

Friday, March 08, 2013

Doa Untuk Ibu Bapa

Ya Allah Ya Tuhan ku,

Aku menghulurkan kedua tanganku yang hina ini,
memohon Engkau limpahkan rahmat dan hidayahMu.
Terasa terlalu lemah diri ini tanpa pertolonganMu ya
Allah.

Ya Allah
Segala pujian bagiMu Tuhan Sekelian Alam.
Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Tuhan Pemerintah hari pembalasan.
Hanya Engkaulah yang kami sembah dan kepadaMu kami
memohon
pertolongan
Tunjukkanlah kami jalan yang lurus
Jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat
keatas mereka
Bukannya jalan orang yang Engkau murkai
dan bukan pula orang-orang yang sesat.

Ya Allah Ya Zaljalaaliwalikrom
Ampunkan dosa-dosa ku kepada Mu ya Allah.
Aku terlalu lemah dengan godaan syaitan,
aku masih melakukan maksiat walaupun ku tahu ianya
Engkau murkai,
aku masih lalai dalam ibadat walaupun ku tahu ianya
Engkau tuntuti.

Ya Allah, teguhkanlah iman ku, kuatkanlah hatiku,
Kurniakanlah kepadaku hidayahMu, taufiqMu dan
lindunganMu
Jauhilah aku dari segala laranganMu,
Dekatkanlah aku dengan segala suruhanMu,
Tanamlah rasa benci dihatiku kepada maksiat,
Tanamlah rasa cinta dihatiku kepada ibadat.

Ya Allah, Ya Rahim Ya Karim
Jadikanlah aku hambaMu dan umat Muhammad SAW yang
beriman kepadaMu
dan
berbakti kepada kedua ibubapaku.
Ya Allah, ampunkanlah dosa kedua ibubapaku
kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku ketika
aku kecil
bukakanlah pintu hati mereka untuk beriman kepadaMu
aku terlalu banyak terhutang budi kepada mereka ya
Allah


terlalu banyak budi mereka yang ku balas dengan
menyakiti hati mereka
kasih sayang mereka kubalas dengan kata-kata menentang
sedangkan ku tahu,
Engkau melarang menyebut walaupun perkataan "huh"
kepada mereka.
Didikan dan asuhan mereka aku ambil ringan.
Aku lupa ya Allah, berkat usaha, asuhan dan didikan
merekalah aku
berjaya
kini,keselesaan sanggup dilupakan ketika mengandungkan
aku
kesakitan yang amat sangat sanggup dilalui ketika
melahirkan aku
tidur malam mereka aku ganggu
titik peluh mereka basah kering demi membesarkan aku
tidak pernah mereka mengadu letih
tidak pernah mereka mengadu sakit
lauk yang dimulut sanggup mereka luah untuk diberikan
kepadaku
harta yang dikumpul sanggup dilepaskan untuk
pendidikanku
namun selama ini aku lupa semua itu ya Allah
kerana mereka tidak pernah merungut kepadaku ya Allah
kerana mereka tidak pernah mengadu kepadaku ya Allah


Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
dimalam ini aku terkenang semua itu
dimalam ini aku mengadu kepadaMu ya Allah
dimalam ini aku memohon sepenuh hati kepadaMu ya Allah
rahmatilah mereka, ampunilah dosa-dosa mereka,
dan sekiranya ketika ini mereka Engkau siksa didalam
kubur ya Allah
aku memohon agar Engkau hentikanlah ya Allah
aku memohon agar jangan Engkau siksa ibubapaku ya
Allah
aku tahu ya Allah mereka terlalu lemah dan tidak
mungkin
dapat menahan siksaanMu yang amat pedih itu ya Allah
Perkenankanlah doa ku ini dan jadikanlah ini doa anak
yang soleh
yang Engkau janjikan akan diperkenankan ya Allah ya
Tuhanku.

Maha Suci Allah Yang Maha Besar
Engkau jadikanlah anak-anak ku dari orang-orang yang
soleh
yang mendoakan keampunanku daripadaMu ya Allah
jadikanlah mereka sebagai anak kunci pintu syurga ku
ya Allah
dan jangan Engkau jadikan mereka anak kunci ku ke
nerakaMu
Teguhkanlah iman mereka ya Allah
jauhilah mereka dari siksaMu ya Allah.
Tuhan Sekelian Alam.
Amin.Amin Ya Rabal a'lamin.........


~kuretomey~





Sunday, February 24, 2013

Jangan Kata Kamu beriman Sebelum Kamu Diuji



DALAM sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Thabrani daripada Abu Umamah, Allah berfirman kepada malaikat-Nya bermaksud : "Pergilah kepada hambaKu. Lalu timpalah bermacam-macam ujian kepadanya kerana Aku mahu mendengar suaranya."

Hadis di atas menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan malaikatNya yang tidak pernah menderhaka dan tetap melaksanakan apa yang Allah SWT perintahkan kepada mereka untuk melakukan pelbagai ujian dan dugaan terhadap hamba-hambaNya. Dengan dugaan dan ujian ini, diharapkan akan terkeluarlah suara hamba itu. Namun begitu, sekiranya tidak terkeluar suara hamba itu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui sesuatu yang tersembunyi dalam hati hambaNya. Sesungguhnya kehidupan ini tidak sunyi daripada kesenangan dan kesusahan, kesukaan dan kedukaan yang silih berganti. Oleh itu, barang sesiapa yang beranggapan kehidupan ini adalah kesenangan, kemewahan semata-mata atau penuh dengan kesukaran dan kesusahan selama-lamanya, itu adalah salah.

Melalui hadis di atas, Allah SWT mengingatkan bahawa kesenangan dan kesusahan itu adalah ujian ke atas hambaNya dan ia adalah sunnatullah. Oleh itu, kehidupan ini dipenuhi dengan ujian dan dugaan daripada Allah. Ini kerana sesuatu yang tidak diuji, tidak akan kelihatan keasliannya. Umpama manusia gagal untuk menentukan emas tulen dengan tiruan. Maka, untuk menentukan emas itu tulen, maka perlulah dinilai ketulenannya. Demikianlah halnya manusia, di mana mereka telah mengaku diri beriman, tentulah Allah SWT akan menguji sejauh mana keimanan mereka terhadapNya. Dalam hal ini, Allah telah berfirman: "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?" (QS Al-Ankabut:2-3).

Melalui ayat di atas, Sayyid Qutb (1327-1386 Hijrah) menafsirkan sesungguhnya iman itu bukanlah hanya sebuah kata-kata yang diucap, malah iman adalah suatu hakikat yang mempunyai tugasnya, suatu amanah yang mempunyai beban tanggungjawabnya, suatu jihad yang memerlukan kesabaran dan suatu perjuangan yang memerlukan ketabahan. Manusia tidak cukup dengan hanya berkata: "Kami telah beriman..." Mereka tidak dibiarkan membuat dakwaan seperti itu hingga terdedah kepada ujian dan membuktikan kebenaran dakwaan mereka. Mereka juga perlu keluar daripada ujian itu dengan hati bersih sebagaimana api menguji emas untuk memisahkan unsur logam yang murah melekat padanya. Inilah makna asal kata-kata ujian dari segi bahasa. Ia mempunyai tujuannya, bayangannya dan saranannya. Begitulah juga ujian itu bertindak terhadap hati manusia. 


Dalam ayat lain, Allah SWT menerangkan secara jelas bahawa hubungan manusia dengan kehidupan adalah hubungan ujian dan dugaan. Firman Allah SWT bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi itu sebagai perhiasan, agar kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik amal perbuatannya." (QS Al-Kahfi:7-8). Ayat ini menjelaskan bahawa tujuan Allah SWT mendatangkan pelbagai ujian ke atas hambaNya adalah untuk menilai siapakah di antara hamba-hambaNya yang terbaik. Yang terbaik amalnya itulah adalah orang terbaik di sisi Allah. Ujian yang Allah datangkan kepada hamba-Nya tidak hanya berupa kesusahan, kesulitan dan kesakitan semata-mata. Malah, manusia perlu berwaspada kerana ujian dan dugaan akan datang kepada mereka dalam bentuk kesenangan, kemewahan dan kekayaan. Ini secara terang difirmankan olehNya bermaksud: "Dan kami akan uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (QS al-Anbiya:35).

Sebenarnya ujian Allah SWT ke atas hambaNya dengan nikmat harta kekayaan dan pelbagai kesenangan, pada hakikatnya lebih berat daripada ujian dengan bencana, seksaan dan kesusahan. Ini kerana berapa ramaikah orang yang memiliki kekayaan, tetapi hidupnya penuh dengan kecelakaan kerana gagal mengguna atau menyalurkannya pada tempat sewajarnya. Kekayaan yang dimiliki akan diuji oleh Allah. Ini jelas diterangkan dalam sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi bermaksud: "Sesungguhnya bagi setiap umat ada ujian dan ujian bagi umatku ialah harta kekayaan."

Demikian juga dengan orang yang diuji dengan pangkat dan kekuasaan, hinggakan mereka menyangka mereka telah berkuasa sepenuhnya dan memiliki segala-galanya. Hal ini diperingatkan Allah dalam firman-Nya bermaksud: "Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas ketika menganggap dirinya serba cukup. Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmu tempat kembali." (QS Al-Alaq:6-8) Ayat ini menegur sikap manusia yang angkuh dan sombong yang menganggap mereka memiliki segala-galanya dan boleh melakukan apa saja selepas mendapat kekuasaan dan pangkat dalam masyarakat. Pada hal, apa yang dimiliki hanya sedikit daripada kurniaan Allah SWT kepada para hambaNya. Rasulullah SAW bimbang kepada umatnya yang diulit kemewahan yang melupakan Allah. Ini kerana kehancuran umat terdahulu adalah kerana kemewahan. Sabda Rasulullah SAW: "Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan atas kamu, akan tetapi aku khuatir sekiranya kemewahan dunia yang kamu dapat sebagaimana yang telah diberikan kepada orang sebelum kamu, lalu kamu bergelumang dalam kemewahan itu hingga binasa, sebagaimana bergelumang dan binasanya umat terdahulu." (HR Bukhari)

Ujian berat bagi kaum lelaki ialah ujian terhadap wanita. Ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya: "Sepeninggalanku tiadalah yang ujian yang lebih berbahaya kepada kaum lelaki kecuali godaan kaum wanita." (HR Bukhari) Ujian yang menyebabkan manusia mudah tergelincir pula ialah mengenai akidah dan agama. Ini kerana, ramai orang yang mengaku dirinya Muslim, beriman tetapi setelah diuji Allah akan iman dan agamanya dengan pelbagai cubaan, ternyata ramai antara mereka yang lemah dan tergelincir daripada landasan yang benar. Perkara itu dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: "Dan antara manusia ada yang berkata: "Kami beriman kepada Allah." Tetapi apabila mendapat gangguan dan rintangan dalam melaksanakan perintah Allah, dia menganggap gangguan itu seakan-akan seksaan daripada Allah. Dan jika datang pertolongan daripada Allah, mereka pasti akan berkata: "Sesungguhnya kami berserta dengan kamu (kaum mukmin)." Sesungguhnya bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada manusia? Dan sesungguhnya Allah mengetahui orang yang beriman dan benar-benar mengetahui orang yang munafik." (QS Al-Ankabut:10-11).

Oleh itu, sekiranya diuji Allah, hendaklah kita bersabar kerana dengan bersabar kita akan mendapat ganjarannya iaitu dihapuskan dosanya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda: "Ujian yang tiada henti-hentinya menimpa kaum mukmin baik lelaki atau wanita yang mengenai diri, harta dan anak-anaknya, tetapi dia bersabar, dia akan menemui Allah dalam keadaan tidak berdosa." (HR At-Tirmidzi)

Daripada huraian atas dapat disimpulkan, ujian yang Allah SWT turunkan ke atas hambaNya mempunyai pelbagai bentuk. Ada ujian yang menimpa tubuh, anak, harta kekayaan, pengaruh, kekuasaan, pangkat, akidah dan sebagainya sama ada dalam bentuk kesenangan mahupun kesusahan. Tujuan Allah memberi ujian itu untuk melihat siapakah orang yang benar-benar beriman denganNya, untuk menghapuskan dosa hambaNya serta menguji kesabaran hambaNya supaya benar-benar menjadi seorang Mukmin berkualiti.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...