Apabila ujian kesakitan, perpisahan, kegagalan, kemiskinan datang
bertimpa-timpa, terdetik juga kata di dalam hati, “apakah Tuhan masih
sayangkan aku? Kenapa aku diuji seberat dan sekerap begini? ”
Subhanallah, tanpa disedari seolah-olah kita sudah mempersoalkan kuasa
Tuhan, padahal kita hanyalah hambaNya. Hamba tidak berhak menyoal,
sebaliknya akan disoal. Namun, itulah kelemahan manusia. Kita sering
alpa dan terlupa.
Paling malang, manusia kerap terlupa bahawa dirinya hamba.
Terutamanya ketika diuji. Sebab itu Allah mengajar kita agar mengucapkan
kalimah ‘istirja’ setiap kali diuji… Innalillah wa inna ilahihi rajiun,
yang ertinya, “kami ini milik Allah, kepadaNya kami akan dikembalikan.”
Ya, inilah kalimah yang mengingatkan bahawa kita ini milik Tuhan, Tuhan
layak menguji kita dan kita layak diuji. Jangan sekali-kali menolak
apalagi ‘mengamuk’ apabila diuji. Kita hanya hamba.
Namun untuk meringankan kepedihan ujian yang menimpa, hendak kita
mengenal Allah yang memberi ujian itu. Kenallah sifat ilmu, kasih-sayang
dan belas ihsan Allah yang Maha hebat. Sebagai hamba ilmu kita
terbatas, ilmu Allah yang Maha Luas. Kasih sayang kita cuma seraut,
kasih sayang Allah selaut. Orang yang mengenal Allah, akan mencintaiNya.
Bila sudah cinta, kuranglah derita diuji. Bukankah cinta itu buta?
Orang yang mengenal kasih-sayang Allah punya keyakinan bahawa
keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik. Allah yang
Maha Pengasih dan Penyayang, tidak akan memberi sesuatu yang buruk untuk
hamba-Nya. Justeru, hamba yang baik tidak akan berburuk sangka terhadap
Allah dengan merasakan apa yang ditakdirkanNya (ujian) itu ialah
sesuatu yang tidak baik.
Yakinlah bahawa semua ketentuan Allah itu adalah baik. Ujian itu
pasti ada kemuslihatan yang tersembunyi untuk setiap kita. Pilihan Allah
untuk kita adalah yang terbaik, cuma kita tidak atau belum
mengetahuinya. Bila berlaku nanti, barulah kita tersedar, ya Allah mujur
Kau takdirkan begitu. Kata arifbillah (orang yang mengenal Allah),
“sekiranya kita merasakan kasih sayang Allah itu terpisah apabila DIA
menguji kita, itu petanda tumpulnya akal, butanya mata hati.”
Diantara hikmah ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan
tujuannya untuk menjadi hamba Allah. Yang mana selama ini, jalan itu
disekat oleh hawa nafsu. Sebab ujian bertentangan dengan kehendak,
keinginan nafsu dan syahwat manusia. Nafsu yang buas dan liar untuk
melakukan maksiat itu tidak suka pada sakit, rugi, miskin dan lail-lain.
Lalu apabila diuji, nafsu itulah yang terdesak, tidak senang dan ingin
segera terlepas daripada ujian itu.
Jadi, apabila nafsu terdesak, hati akan dan akal terbuka. Inilah
jalan kebaikan, kerana ajakan untuk melakukan kejahatan akan turut
tertahan, kerana nafsu itu sangat mengajak pada kejahatan. Ujian itu
sesugguhnya akan melemahkankan nafsu, menghilangkan kekuatannya serta
batalkan kudratnya. Bila nafsu lemah, manusia tidak akan jatuh ke lembah
dosa – mengejar keseronokan dunia sehingga melupakan batasan syariat.
Ujian juga menimbulkan rasa taat kepada Allah. Hati tidak dapat tidak
mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana Qada
dan Qadar-Nya mesti berlaku. Manusia akan lebih dekat dengan agama,
kepentingan akhirat, cinta kepada Allah. Hikmah ini walaupun sebesar
zarah tetapi apabila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal
lahiriah walaupun sebesar gunung. Inilah kebaikan di sebalik kepahitan
ujian. Justeru, Allah berfirman:
“…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu
merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.”
(Surah Al Baqarah : 216).
Dengan ujian juga, Allah ‘membersihkan’ kotoran hati manusia. Ujian
itu menghapuskan dosa dan kesalahan terhadap Allah seperti bahan pencuci
membersihkan kain yang kotor. Nabi Isa pernah berkata, “belum dikatakan
seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan
penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan
kesalahannya.”
Bila kita benci dengan ujian, ertinya belum kenal Allah dan (kerana)
tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dan membersihkan
dosa-dosa kita. Ya, seolah-olah orang yang yang benci diuji itu tidak
suka dibersihkan daripada dosa-dosa atau apakah dia merasa tidak
berdosa? Sebaliknya, apabila kita gembira (menerima dengan baik) ujian
itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga daripada Allah.
Kita bukan sahaja berikhtiar (berusaha) untuk menghilangnya tetapi juga
berusaha untuk mendapatkan hikmahnya.
Rasulullah SAW bersabda, “barang siapa yang dikehendaki Allah pada
orang itu kebaikan, maka Allah akan cuba dengan ujian-Nya.” Jadi, bila
diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana
tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Orang soleh bila diuji,
hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.Tapi bagi anti
diuji, tidak akan dapat melihat hikmah kerana akal dan hatinya melihat
sesuatu hanya selari dengan hawa nafsunya sahaja.
Ingatan para hamba kepada Allah akan bertambah dengan ujian-Nya. Itu
petanda Allah pilih dia untuk diuji. Dan bila diuji, bertambah pulalah
ingatan hamba Allah kepada Allah. (Oh… Allah ingat lagi padaku). Oleh
itu, tiada jalan keluar melainkan lakukanlah tiga langkah ini apabila
kita diuji:
I) Kuatkan iman, pupuk kesabaran, mantapkan keyakinan menghadapi
ujian itu dengan segera mendekatkan diri kepada Allah. Apabila
Rasulullah SAW ditimpa masalah, baginda akan terus bangun mendirikan
solat dua rakaat. Baginda tidak melihat masalah yang besar tetapi
cepat-cepat merujuk kepada Pemberinya – Allah Maha Besar. Masalah kita
mungkin besar tetapi Allah yang memberinya jauh lebih besar. Justeru,
segeralah ‘mencari’ Allah sebelum mencari yang lain-lain apabila ditimpa
ujian.
II) Cuba serapkan rasa di dalam hati Kehendak (pilihan) Allah
mengandungi hikmah yang baik jika diterima penuh keinsafan dan
kesabaran. Yang penting apa yang berlaku ‘di dalam hati’ kita, bukan apa
yang berlaku diluar diri kita. Allah berikan yang pahit, jadikan ubat.
Allah berikan yang pedih, anggaplah itu pembedahan jiwa untuk
mengeluarkan penyakit-penyakit hati kita. Ya, jika limau yang kita dapat
masam… buatlah air limau, kata orang yang bijaksana.
III) Berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari)
hikmah. Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Bila baik
sangka kepada Allah, maka kita akan bertambah hampir kepada-Nya. Apabila
hampir kepadanya… insyaAllah semuanya akan baik-baik belaka. Bukankah
DIA Tuhan yang Maha Baik?
Ya, Allah timpakan ujian yang besar, untuk ‘membesarkan’ kita. Ingat
itu. Justeru, ahli yang bijaksana sering berkata…Pemimpin yang besar itu
dikenali melalui ujian yang dihadapinya. Semakin besar tahap
kepimpinannya, maka semakin besarlah ujian yang Tuhan sediakan untuk
‘membesarkan’ lagi pengaruh kepimpinannya.
Dan setiap kita adalah pemimpin… sekurang-kurang pemimpin buat diri
sendiri. Jadi, kita pasti diuji! Justeru apabila diuji jangan katakan,
“apakah aku tersisih?” Sebaliknya, katakan, “aku sudah terpilih!”
**cp daripada blog gentarasa, Pahrol Mohd Juoi untuk santapan dan iktibar bersama
No comments:
Post a Comment