Kadang-kadang kita merasakan diri kita
berilmu, walhal “air mata” ilmu yang terbit daripada dada kita sangat
sedikit. Kadang-kadang kita merasakan diri kita hebat apabila orang
menyanjung dan memuji kita, walhal itu semua muslihat Iblis untuk
menyesatkan kita.
Amalan seseorang yang banyak adakalanya
menjadi modal untuk Iblis memperdayakan kita agar kita berbangga dan
riak dengan kelebihan yang Allah pinjamkan. Amal yang sedikit turut
dipergunakan oleh Syaitan dengan menimbulkan perasaan sentiasa
berprasangka Allah akan mengampuni kekurangan diri tanpa sekelumitpun
rasa ingin menambahkan amalan untuk mendapatkan keredhaan Allah.
Penyakit orang kaya adalah bakhil.
Penyakit orang miskin adalah malas. Penyakit orang berilmu adalah
takabbur. Penyakit orang bodoh adalah tiada keinginan. Penyakit orang
beramal adalah ‘perasan’.
Orang yang banyak beramal merasakan dirinya hebat dan disegani.
Lalu apabila dia berjalan, dia tunduk semacam tawadhu’ walhal Syaitan
dalam jubahnya. Dia bercakap lembut agar dikata orang sebagai orang yang
lembut hati walhal dalam hatinya tersimpan suatu perasaan takabbur yang
tinggi. Apabila dia bercakap, dia merasakan semua orang memerhatikan
kata-katanya. Syaitan telah memperdayakan pandangan mata hatinya, lalu
dia menganggap yang buruk itu baik dan yang baik itu sebaliknya.
Orang yang banyak dosa pula sentiasa berharap dengan kalimah Allah yang Maha Pengampun.
Dia terlupa Allah juga keras seksaan-Nya. Allah ciptakan neraka
sebagaimana Allah turut menciptakan syurga. Neraka untuk orang yang
buruk perilakunya, dan juga untuk orang yang baik perilaku tetapi buruk
hatinya. Syurga pula untuk orang yang benar-benar bersih daripada
sebarang karat kekotoran, jika ada sekalipun, ia terlindung di sebalik
rahmat Illahi.
Sesetengah orang berilmu apabila
berbicara, maka penuh mulutnya dengan pancaran ilmu yang mempesonakan,
walhal hati mereka cemar dengan pendustaan. Mulut mereka berkata benar
sedangkan hati mereka menidakkannya. Dia mengatakan cinta akhirat tetapi
dia sendiri kelihatannya sibuk mengejar dunia. Dia menyebut perihal
zuhud sedangkan jiwanya diselimuti perasaan cintakan dunia berlebihan.
Mungkin orang lain mendapat manfaat di
sebalik ilmunya yang melangit, tetapi dengar hanya sekadar dengar.
Disimpan dalam otak tetapi tidak di hati. Kepalanya makin membesar
dengan ilmu yang sarat tetapi hatinya dipenuhi kotoran pelbagai
penipuan. Mereka pakar berbicara dalam pelbagai bidang, aqidah mahupun
akhlak, tasawuf juga barangkali tetapi hanya lidah menuturkannya
sedangkan hati menafikan. Katanya pejuang Islam tetapi lagaknya
berlainan.
Orang yang bersih hati pula, kata-kata
mereka mungkin tidak membawa mesej keilmuan yang tinggi, tetapi apabila
mereka berbicara, ia mengusik jiwa yang mendengar. Apabila dia menyebut
soal dosa, yang mendengar akan terbayangkan neraka. Apabila dia menyebut
tentang perjuangan, orang akan rindukan jihad. Apabila dia menyentuh
soal ibadat, orang semakin rindukan waktu malam untuk bertahajud. Mereka
tidak perlu berbicara.
Kerana akhlak mereka sudah berbicara
sebelum lidah mereka bergerak. Apabila mereka ingin berucap, maka
seluruh hati orang mula terusik dan menanti-nantikan mutiara kata yang
terbit daripada lidahnya. Sekali orang mendengar, rindu akan bertapak
dalam diri mereka. Alangkah mereka rindukan kata-kata orang yang bersih
jiwanya yang mana mungkin ilmunya tidak banyak tetapi ia sangat memberi
kesan.
Orang yang kotor sebaliknya. Berbuih
mulutnya berbicara, namun orang hanya endah tidak endah, dengar tidak
dengar. Orang mungkin rindukan pidatonya yang bersemangat, tetapi orang
tidak rindukan mutiara kata darinya. Sekadar mendengar menambahkan
semangat dalam satu atau dua jam, kemudian hilang berciciran di tengah
jalan. Orang yang bersih hatinya, mungkin pidatonya tidak menarik tetapi
jiwa sentiasa dibuai dan terusik.
Iblis berkata: “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa
aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan
ma’siat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya,
kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis (orang-orang yang ikhlas
beribadah kepada Allah) di antara mereka.” ( Al-Hijr: 39-40 )
p/s: c/p dari http://ondastreet.wordpress.com/2013/02/08/tazkirah-jumaat-penyakit-orang-berilmu/
No comments:
Post a Comment