Wednesday, September 26, 2012

Kerjaya: minat atau keperluan



Coretan kali ini saya ingin menyentuh tentang kerjaya. Ramai di kalangan kita keliru ada kalanya antara memilih kerjaya kerana minat atau keperluan. Isu ini dilontarkan supaya yang berada dalam situasi ini mangambilnya sebagai iktibar dan sandaran dalam membuat timbang tara memilih kerjaya. Memetik sebuah kisah seorang sahabat yang hidup dalam sebuah keluarga yang sederhana. Saya akan membahasakan diri sahabat saya itu dengan perkataan "saya" dalam penceritaan ini.
..................................................................................................................................................................
Sebagai anak bongsu dalam adik beradik dan merupakan satu-satunya yang tinggal di Lembah Kelang, maka kediaman saya ini akan menjadi persinggahan dan kediaman bagi rata-rata anak-anak buah yang ingin belajar atau mencari kerja selepas tamat pengajian. Ada yang bekerja di tempat lain atau menjadi pekerja sementara di pejabat saya sebagai latihan kepada mereka untuk menimba pengalaman bekerja. Belasan tahun masa berlalu, maka anak-anak buah yang datang juga silih berganti, dari mereka remaja hingga mereka berumahtangga. Suami pula merupakan seorang yang prihatin, sementelah bergelar anak sulung, mempunyai pengalaman dalam mencari kerja serta amat mengamibl berat terhadap perihal anak-anak buah, adakala suami bertindak selaku 'agen tidak bertauliah' mencari pekerjaan yang sesuai untuk mereka bersandarkan sijil dan pengalaman serta kemahiran mereka. 
Di kalangan mereka juga sudah pasti ada pelbagai kerenah dan sikap yang perlu kami berdua hadapi. Apapun pengalaman ini merupakan satu kepuasan kerana harapan kami apabila anak-anak buah meningkat dewasa   dan mampu berdikari maka giliran mereka pula untuk meneruskan kesinambungan membantu ahli keluarga yang lain. 
Dalam hal memilih pekerjaan, ada juga dikalangan mereka yang tidak membantah, bahkan setia mendengar pendapat dan nasihat. Namun tak kurang juga yang begitu memilih pekerjaan. Biarpun sijil dan kemahiran tidak seberapa namun citarasa mereka terhadap pekerjaan begitu tinggi, dengan itu pelbagai alasan diberi demi menolak segala cadangan dan nasihat. Pada hemat saya, keadaan atau senario serta suasana ekonomi hari ini tidak memungkinkan kita terlalu memilih kerja berdasarkan minat atau sijil yang dimiliki. 
Jika kita menjadi begitu memilih maka sudah pasti banyak peluang kita terlepas. Pekerjaan yang kita pilih pada saat ini perlu dilihat kepada keperluan untuk saraan diri. Mungkin gajinya kecil tetapi ia tidak salah jika kita ingin mengambil peluang tersebut. Kita perhatikan ada ramai yang bermula dari bawah dengan gaji yang minimun namun akhirnya berjaya memiliki pendapatan yang jauh lebih besar selepas itu.
Dalam konteks pemilihan kerjaya ini juga perlu dilihat bukan semata kerana gaji yang diberi atau ditawarkan. Kita perlu juga melihat kepada ilmu dan pengalaman yang bakal kita peroleh. Apabila kita telah menguasai ilmu dan kemahiran dalam bidang tertentu maka peluang kita untuk meraih kerjaya yang hebat dengan gaji yang lumayan itu lebih mudah. Kita akui minat juga penting dalam menentukan pilihan kerjaya, namun pada saya "buat apa yang kita tidak suka untuk mendapat apa yang kita suka" apa salahnya. Dengan kata lain, tidak suka dengan pekerjaan itu namun kita mendapat imbuhan gaji darinya untuk menyara kehidupan itu sudah memadai untuk perimgkat permulaan, yang penting kerja itu halal dan mengikut syariat Islam.
Moga dengan perkongsian rasa ini mampu membuka minda dan mata kita semua agar tidak terlalu memilih dalam mencari sesuatu, penting niatnya adalah untuk membangunkan agama Islam dan rezekinya bersumberkan sumber yang halal.
Wallahuaalam. 
~kuretomey~ 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...