Monday, September 27, 2010

Kaedah mencari bahagia mengikut Al-Quran & As-Sunnah

Bahagia. Semua orang mahukan kebahagiaan.Tetapi adakah ianya dapat dikecapi dengan sebaiknya oleh semua insan?? Kadangkala kebahagiaan yang diimpikan berbeza mengikut persepsi setiap orang. Jadi, apa kata jika kita melihat kaedah yang terbaik yang sememangnya terbaik di antara yang terbaik dalam semua kaedah iaitu berlandaskan Al-Quran & As-Sunnah.

Beriman dan beramal soleh 
" Siapa yang beramal soleh baik lelaki ataupun perempuan dalam keadaan beriman, maka Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan." ( Surah al-Nahl : 97 )
Ibn 'Abbas r.a meriwayatkan bahawa segolongan ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik ( berdasarkan ayat ) ialah rezeki yang halal dan baik. Saidina Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qana'ah ( merasa cukup ). Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu 'Abbas meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu ialah kebahagiaan.

Banyak mengingat Allah 
Dengan berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekaligus bebas daripada rasa gelisah dan gundah gulana. Firman Allah: " Ketahuilah dengan mengingat ( berzikir ) kepada Allah akan tenang hati itu. " ( Surah al-Ra'd : 28 )

Bersandar kepada Allah
Dengan cara ini, seseorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa. Allah berfirman dalam Surah al-Thalaq, ayat 3 yang bermaksud : " Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya. "

Sentiasa mencari peluang berbuat baik
Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas dan megharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan hati. Firman-Nya yang bermaksud : " Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan daripada orang yang menyuruh untuk bersedekah dan berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan antara manusia. Barangsiapa melakukan hal itu kerana Allah, nescaya kelak Kami akan berikan kepadanya pahala yang besar. " 

Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam
Berfikir tapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu kerana apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula. Rasulullah s.a.w bersabda : " Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagimu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah lemah. Bila menimpamu sesuatu perkara yang engkau tidak sukai, janganlah engkau berkata : " Seandainya aku melakukan ini, nescaya akan begini dan begitu, " akan tetapi katakanlah : " Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan, " kerana sesungguhnya perkataan atau ungkapan ' seandainya', 'kalau' dan yang lebih kurang maknanya itu membuka amalan syaitan. " ( Riwayat Muslim )

Melihat "kelebihan" bukan kekurangan diri
Lihatlah orang yang berada di bawah kita dari segi kehidupan dunia, contohnya dalam kurniaan rezeki kerana dengan itu kita tidak akan meremhkan nikmat Allah yang telah diberikan-Nya kepada kita. Rasulullah s.a.w bersabda, riwayat al-Bukhari dan Muslim : " Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu kerana dengan melihat ke bawah, maka akan lebih mudah untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu. "

Jangan mengharap ucapan terima kasih daripada manusia
Bila berbuat sesuatu kebaikan, janganlah diharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan dari manusia. Berharaplah hanya kepada-Nya. Kata orang bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah ada antara hukama berkata, : " Sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwanya! ". Firman Allah : " Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu hanyalah kerana Allah semata-mata, kami tidak berkehendakkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih. " ( Surah al-Insan : 9 )

Semoga dengan apa yang saya kongsikan ini menjadi panduan dan peringatan serta muhasabah terutamanya pada diri saya sendiri...

Barakallahu fikum alaih...

~kuretomey~

    No comments:

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...