Menjadi lumrah kehidupan manusia bahawa mereka akan bertelingkah dan menyalahkan sesama sendiri. Namun begitu, terdetikkah di hati kita bahawa pada suatu hari nanti, manusia akan bertelingkah dan menyalahkan batang tubuh mereka sendiri? Sudah tentu kenyataan ini nampak aneh bunyinya. Akan tetapi tanpa kita sedari,terdapat beberapa firman Allah s.w.t dan hadis baginda s.a.w yang menyatakan hal ini.
Firman Allah; “ Pada hari ini( hari kiamat ),kami tutup mulut mereka dan kami izinkan kedua-dua tangan mereka dan kaki mereka akan menjadi saksi terhadap apa yang mereka lakukan. ” ( Surah Yasin : 65 )
Manakala di dalam surah an Nur, Allah berfirman; “ Pada hari ( ketika ) lidah, kedua-dua tangan mereka dan kaki-kaki mereka menjadi saksi ke atas setiap yang mereka lakukan.” ( Surah an-Nur:24 )
Kedua-dua ayat di atas merupakan bukti perbicaraan agung yang akan diadakan di Mahkamah Tinggi Akhirat yang akan dihakimi oleh Allah Rabbul Jalil. Hakim yang Maha adil. Tiada terkecuali dari pengetahuan-Nya walau sekerdip dari pandangan mata.
Pada hari itu juga, semua anggota yang ada pada tubuh badan mereka seperti tangan, kaki dan mulut mereka menjadi saksi atas semua perlakuan mereka sewaktu hidup di muka bumi Allah. Lidah akan memberitahu kepada Allah bahawa tuannya selalu menuturkan ucapan yang kotor, berdusta, mengumpat dan menyebarkan fitnah. Tidak cukup dengan itu, datang pula tangan memberitahu kepada Allah apa yang diperlakukan tuannya dengan nikmat itu. Kemudian kaki mengambil peranan menjadi saksi di hadapan Allah.
Cuba bayangkan apabila semua anggota tubuh kita menjadi saksi di akhirat kelak. Mereka akan mendedahkan semua perbuatan kita di hadapan Allah. Perbicaraan yang menjadi tontonan semua manusia semenjak zaman nabi Adam a.s. Bayangkan, ibu bapa kita, kawan-kawan kita dan semua orang akan mengetahui semua perbuatan kita. Mungkin di dunia ini, kita masih boleh berdalih dan bersembunyi apabila melakukan sesuatu kejahatan. Namun, pada hari itu tidak ada dalih lagi, semuanya akan didedahkan.
Sahabat sekalian, jom kita semua bermuhasabah sejenak. Sepanjang hidup di dunia ini, apa yang telah kita buat. Lidah, tangan, telinga, kaki dan semua anggota pada tubuh kita. Ingatlah, semua ini akan menjadi saksi kepada kita di akhirat kelak. Anggota tubuh tidak akan khianat kepada diri sendiri, mereka akan bersikap jujur di hadapan Allah s.w.t. Kejujuran mereka itu hanya akan memberi keuntungan kepada orang yang mengerjakan amal soleh. Sebaliknya, bagi kita yang mengerjakan kejahatan, kita bukan sahaja tidak mendapat manfaat daripada anggota tubuh kita sendiri. Bahkan kitaakan mendapat balasan azab seksa daripada Allah s.w.t.
Tidak timbul soal khianat atau kasihan kepada diri kerana anggota tubuh kita akan bercakap benar walaupun terpaksa memecahkan tembelang di hadapan Allah. Orang yang merasa malang terhadap pengakuan anggota tubuhnya sendiri hanyalah ahli maksiat yang banyak dosa. Justeru, kita menyumpah dan mengherdik tubuh kita sendiri dengan berkata:
“ Pergi jahanam wahai anggota yang tidak mengenang budi. Aku bekerja keras memerah keringat untuk mendapatkan rezeki untuk memelihara anggota tubuh supaya menjadi segar, sihat dan tidak dihidapi sebarang penyakit. Inikah balasanmu setelah segala kebaikan kulakukan untuk menjagamu? ”
Sesungguhnya tiada yang boleh dimarahi melainkan diri kita sendiri. Semoga apa yang disampaikan ini menjadi pedoman dan iktibar serta muhasabah untuk diri saya sendiri terutamanya dan semua umat Islam
Barakallahu fikum alaih
~kuretomey~
~kuretomey~
No comments:
Post a Comment