NILAI HIDUP MENURUT ISLAM
Mohd Syahmi Bin Mohd Miswan
Tugasan SVW 502, Pembangunan Insaniah
Semester 3 (2013)
Mujahid
Fathi Yakan di dalam kitabnya, Maza Ya’ni Intima-i Li al-Islam, telah
menyatakan bahawa di dunia terdapat tiga kategori manusia. Tiga kategori
tersebut adalah:
Kategori Pertama
Golongan yang hidup hanya untuk dunia semata-mata. Mereka dinamakan sebagai
golongan ad-Dahriyyun. Sikap mereka jelas seperti yang dinyatakan di
dalam al-Qur’an:
“Dan tentu akan mereka katakan: “Hidup hanyalah kehidupan kehidupan kita di
dunia sahaja dan kita sekali-kali tidak dibangkitkan”. (al-An’am, 6:29)
“Dan mereka berkata: “Kehidupan tidak lain hanyalah kehidupan dunia sahaja,
kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa. Dan
mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak
lain hanyalah menduga-duga sahaja.” (al-Jasiyah, 46:24)
Kategori Kedua
Golongan yang telah hilang pedoman, terumbang ambing, akidah bersimpang siur,
mereka melakukan kesesatan dan menyimpang dari jalan Allah SWT dalam kehidupan
duniawi. Namun mereka masih menyangka mereka membuat kebaikan. Meskipun mereka
mempunyai kepercayaan kepada Allah SWT dan Hari Kiamat tetapi akidah mereka
hanyalah gambaran semata-mata yang terputus hubungan dengan aktiviti atau
amalan hidup mereka. Pada hakikatnya mereka lebih kepada kebendaan
(materialistik) walaupun kadangkala mereka melakukan kerja-kerja yang berbentuk
kerohanian.
Kategori Ketiga
Golongan yang menganggap bahawa dunia ini sebagai ladang tanaman untuk mendapat
atau memungut hasilnya di akhirat kelak. Golongan ini benar-benar beriman
dengan Allah SWT. Mereka mengetahui hakikat hidup serta memahami nilai
dunia berbanding dengan Hari Akhirat. Allah SWT membandingkan mereka
seperti dalam firman-Nya:
“Dan tidaklah kehidupan dunia ini selain daripada bermain-main dan bersenda
gurau belaka. Dan sungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang
yang bertaqwa. Maka tidaklah kamu memahaminya.” (al-An’am, 6:32)
Mereka yang benar-benar beriman menganggap dunia sebagai medan perlumbaan untuk
mentaati Allah SWT dan mencari keredhaan-Nya. Seluruh hidupnya (ilmu,
perniagaan, kekayaan, rumah, masa dan fikiran) diarahkan kepada jalan Allah
SWT.
Bagi menjamin supaya urusan hidup ini terarah menurut lunas-lunas Islam maka
sewajarnya difahami dan dihayati beberapa kewajipan, iaitu:
1. Mengetahui matlamat hidup.
Sebagaimana Firman Allah SWT:
“Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka mengabdikan
diri (kepadaKu).” (az-Zariyat, 51:56)
2. Memahami nilai dunia berbanding
dengan nilai akhirat. Firman Allah SWT:
“Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada
kamu: Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah, kamu berasa berat dan
ingin tinggal di tempat kamu ? Apakah kamu berpuas hati dengan kehidupan dunia
sebagai ganti kehidupan akhirat? Pada hal kenikmatan hidup di dunia ini
(dibandingkan dengan akhirat) hanyalah sedikit.” (at-Taubah, 9:38)
3. Mengetahui hakikat kematian dan
mengambil pengajaran daripada kematian yang pasti berlaku kepada setiap manusia
sebagaimana Firman Allah SWT:
“Tiap-tiap yang berjiwa akan menemui
mati.” (ali Imran, 3:185)
4. Mengetahui benar-benar akan hakikat Din
al-Islam dengan cara mempelajari dan mendalami dasar-dasar dan
hukum-hakamnya.
5. Mengetahui hakikat Jahiliyyah, iaitu
dengan meneliti ciri-ciri pemikiran, aliran dan perancangannya. Di samping itu,
mendedahkan akibat serta keburukan Jahiliyah. Dengan memahami Jahiliyyah,
barulah orang-orang beriman tidak terperangkap ke dalam perangkap-perangkap
jahiliyyah. Hal ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang mempelajari bahasa sesuatu kaum, ia terselamat dari tipu daya
mereka.”
Neraca Dalam Kehidupan
Dalam pegangan hidup manusia, hendaklah diambil neraca dan nilai syarak, dan
tidak seharusnya diambil nilai-nilai lain. Kabaikan dan keburukan hendaklah
diperhatikan menurut pandangan syarak berdasarkan kaedah:
“Yang baik ialah apa yang dipandang baik oleh syara dan yang buruk
ialah apa yang dipandang buruk oleh syarak.”
Terdapat banyak perintah Allah SWT yang memerintahkan kita agar mengambil nilai
syarak dan melarang daripada mengambil nilai yang lain daripada syarak.
Antaranya Firman Allah SWT :
“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas satu syariat (peraturan) daripaa
urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu mengikuti hawa
nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.” (al-Jasiyah, 46:18)
“Ikutilah apa yang telah diturunkan kepada kamu daripada Tuhanmu dan
janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selainNya. Amat sedikitlah kamu
mengambil pengajaran (daripadaNya).” (al-A’raf, 7:3)
“Apakah kamu tidak memerhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah
beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kamu dan apa yang diturunkan
sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada Taghut, pada hal mereka telah
diperintahkan agar mengingkari taghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan
mereka sejauh-jauhnya.” (an-Nisa’, 4:60)
Terdapat keterangan yang memberi peringatan bahawa memilih dan berpaut kepada
yang lain daripada nilai Islam adalah merupakan kesesatan dan menyimpang
daripada jalan Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang di muka bumi ini,
nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Mereka tidak lain
hanyalah mengikut sangkaan-sangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta
(terhadap Allah SWT).” (al-An’am, 6:116)
“Dan adalah tidak patut bagi lelaki mu’min dan tidak pula patut bagi
perempuan mu’min, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkansesuatu ketetapan akan
ada pada mereka suatu pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Sesungguhnya
sesiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah sesat
dengan kesesatan yang nyata.” (al-Ahzab, 33:36)
Nilai Yang Tetap
Nilai Islam adalah nilai yang tetap dan tidak berubah-ubah meskipun zaman
beredar dan berubah. Dalam hal ini Abu al’Ala al-Maududi telah menyatakan dalam
risalahnya, Ila AyySyai’ Yad’u al-Islam, bahawa Allah SWT tidak
semata-mata menurunkan undang-undang tertingi (Supreme Law) melalui
Rasul bahkan diturunkan bersama-samanya nilai yang tetap (Thabitah = Permanent
Values). Sesuatu yang telah ditetapkan baik di dalam al-Qur’an dan sunnah
Rasul itu adalah baik selama-lamanya. Demikian juga sebaliknya, sesuatu yang
ditetapkan buruk itu maka ia tetap buruk selama-lamanya. Begitu juga yang halal
tetap halal dan yang haram tetap haram. Ketetapan tersebut tidak boleh dipinda,
ditambah, dikurangkan atau dihapuskan. Hanya yang berani membuat pindaan dan
pembatalan itu ialah golongan atau jamaah yang melepaskan dan membebaskan
diri daripada Islam.
Hal yang sama juga telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh Sayyid Qutb dalam
kitabnya yang sangat bernilai, Khasais at-Tasawwur al-Islami Wa Muqawamatuha,
dalam satu tajuk, Ath-Thabat (Nilai Yang Tetap). Perlu diperingatkan
sekiranya ketetapan Allah SWT itu tidak dipatuhi maka akan berlakulah kerosakan
demi kerosakan di alam ini. Firman Allah SWT:
“Andaikata kebenaran itu menurut hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit
dan bumi dan semua yang terdapat di dalamnya. Sebenarnya Kami telah
mendatangkan kepada mereka kebanggaan (al-Quran) mereka tetapi mereka berpaling
daripada kebanggaan tersebut.”
(al-Mu’minun,
23:71)
Nilaian Allah SWT
Islam telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagai suatu sistem hidup yang sempurna.
Telah ditentukan bahawa penilaian yang tinggi dan keuntungan hanya diberikan
kepada mereka yang beriman serta menghayati Islam dalam kehidupan mereka. Hal
ini telah ditegaskan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:
“Demi masa. Sesunguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang
beriman dan beramal saleh.” (al-’Asr, 103:1-3)
Sayyid Qutb ketika menghuraikan ayat ini telah menjelaskan bahawa Iman
merupakan dasar hidup yang amat penting bagi membuahkan hasil yang baik dan
bernilai dalam seluruh cabang hidup. Mana-mana amalan yang tidak lahir daripada
keimanan, maka ia tidak bernilai di sisi Allah SWT. Allah SWT telah membuat
perbandingan di dalam firman-Nya:
“Orang-orang yang kafir kepada Tuhannya, amalan-amalan mereka seperti debu
yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka
tidak dapat mengambil sebarang manfaat dari apa yang mereka kerjakan (di
dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh.” (Ibrahim, 14:18)
“Dan orang-orang yang kafir, amalan-amalan mereka adalah seumpama
fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh yang dahaga, tetapi
bila didatanginya air itu, dia tidak mendapatinya sesuatu apapun.” (an-Nur,24
:39)
Amalan soleh itu adalah buah Iman. Iman itu hidup dan bergerak melahirkan
amalan yang soleh. Inilah Iman Islam. Iman itu bergerak, bekerja dan membangun
menuju kepada matlamat Allah SWT. Ia tidak semata-mata tersimpan beku di lubuk
hati. Ia juga bukan semata-mata angan-angan atau sekadar niat baik sahaja tanpa
diamalkan.
Pembentukan Jemaah
Untuk menyempurnakan tanggungjawab menurut sistem Islam, maka perlulah kepada
pembentukan Jamaah Islamiyyah. Yakni, jemaah yang ada kesedaran untuk
bangun menghayati dan menegakkan Islam. Jemaah
yang mana anggotanya pimpin memimpin, membimbing antara satu sama lain
dalam suasana ukhwah dan kasih sayang sejati kerana Allah SWT.
Hendaklah kita sedari bahawa memperkatakan yang hak itu adalah suatu yang
wajib, namun terpaksa menghadapi berbagai-bagai kesukaran serta halangan. Din
atau sistem Islam itu adalah hak (kebenaran) yang wajib dibangunkan, tetapi ia
tidak dapat tertegak melainkan di dalam kawalan jamaah yang sudah terbentuk.
Sabar
Perlu juga diinsafi bahawa kerja-kerja menegakkan Iman, amal soleh dan mengawal
yang hak itu adalah kerja yang amat sukar bagi individu dan jamaah. Maka ia
memerlukan kepada satu senjata, iaitu kesabaran. Yakni sabar dalam jihad
sama ada jihad hawa nafsu atau lain-lain, sabar menangung penderitaan dan
kesukaran, sabar menghadapi kemungkaran dan kemaksiatan yang berleluasa, sabar
melalui masa yang panjang dan peningkatan yang lambat dan sabar untuk menuju
matlamat yang jauh di dalam perjuangan hidup ini. Hal ini memerlukan kepada
jamaah yang mana anggota-anggotanya hidup dalam ukhuwwah dan bimbing-membimbing
dengan kesabaran. Dalam suasana ini, barulah sistem Islam boleh hidup
subur dan menghasilkan buah-buah (natijah) yang baik lagi bernilai.
Model
Model jemaah yang tinggi dan agung telah lahir di Zaman Rasulullah SAW dan para
sahabat. Adalah perlu sekali kita mengambil contoh teladan mereka dalam usaha
kita membentuk jemaah kini. Generasi pertama tersebut telah memiliki
sifat-sifat dan ciri-ciri penting hingga melayakkan mereka menjadi umat
terbaik.
Berikut disenaraikan beberapa ciri yang terpenting seperti yang dijelaskan oleh
Abu al-Hasan Ali al-Husni an-Nadawi dalam kitabnya, Maza Khasira al-’Alam Bi
Inhitat al-Muslimin. Rumusan beliau ialah:
1. Mereka berpegang teguh kepada Syariat Ilahi. Mereka
sesekali tidak mencipta undang-undang menurut hawa nafsu mereka.
2. Mereka telah melalui proses Tarbiyyah (didikan) dan
Tazkiyyah (pembersihan) jiwa dalam jangka masa yang lama di bawah
pimpinan Rasulullah SAW hingga lahir sifat-sifat terpuji. Jawatan dan tugas
disifatkan sebagai amanah dan ujian daripada Allah SWT, bukan kemegahan atau
kebanggaan.
3. Perkhidmatan mereka kerana Allah SWT, tidak kerana yang
lain. Mereka bekerja untuk mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama
makhluk kepada perhambaan hanya kepada Allah SWT semata-mata. Kemuliaan hanya
bagi orang-orang yang bertaqwa.
4. Mereka membina tamadun yang soleh meliputi kemajuan
rohani, jasmani dan aqli. Semua bidang hidup dikuasai oleh nilai dan akhlak
Islam, meliputi bidang pentadbiran, ekonomi, sosial dan politik.
Sehubungan
dengan itu juga, Said Qutb pernah menjelaskan bahawa dasar hidup mereka dibina
di atas kata-kata Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Mereka mengabdikan diri kepadaKu dan tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu
apa pun.” (an-Nur, 24:55)
Erti memperhambakan diri kepada Allah SWT itu, menurut tafsiran Said Qutb,
ialah tetap berjalan di atas sistem peraturan Allah SWT. Inilah manhaj yang
diguna pakai oleh mereka dalam semua bidang kehidupan.
Demikianlah gambaran umum mengenai jemaah Islam yang hidup menjunjung
perintah-perintah Allah SWT yang disifatkan oleh Allah SWT sebagai umat terbaik
dan menjadi model untuk seluruh manusia.
Wallahualam.
-kure tomey-