Perjalanan ke syurga dilingkungi dengan duri dan onak. Manakala jalan
ke neraka dikelilingi dengan keinginan syahwat. Demikian ditegaskan
oleh Nabi Muhammad saw. mengenai dua jalan yang ditempuhi oleh manusia.
Syurga ialah tempat kenikmatan dan kebahagiaan di akhirat yang
dikurniakan kepada hamba-hamba Allah yang beramal soleh. Neraka pula
tempat azab keseksaan disediakan untuk mereka yang beramal tholeh
(kejahatan).
Untuk melayakkan diri ke syurga, seseorang itu mestilah menempuh
banyak ujian seperti melaksanakan suruhan Allah dan rasul serta menjauhi
laranganNya. Kesemua ini memerlukan semangat dan kekuatan yang bermula
dari keimanan kepada Allah. Sudah tentu untuk mengerjakan solat, puasa,
haji dan amal kebajikan lain amat payah kecuali bagi mereka yang
beriman. Sebab itulah Nabi mengatakan jalan ke syurga penuh dengan
kesusahan. Bukan mudah untuk masuk ke syurga. Kita kena bermujahadah
atau berjuang melawan nafsu untuk melakukan kebaikan. Syaitan dan nafsu
memang menyuruh kita berbuat kejahatan dan tidak menggalakkan kita
melakukan kebajikan. Jika kita turutkan kehendak syaitan sudah tentu
kita tidak mampu melakukan sebarang kebajikan.
Sebaliknya jalan ke neraka amat mudah kerana
dikelilingi dengan kehendak syahwat. Semua manusia memang cenderung
mengikut kehendak nafsu dan syahwat. Syaitan pula sentiasa mendorong
manusia mengikut hawa nafsu. Amat mudah melakukan kejahatan. Nah, di
depan kita terbentang dua jalan. Terpulang kepada kita jalan mana untuk
diikuti. Tepuk dada dan tanyakan iman, bukan tanya selera yang memang
suka kepada nafsu. Betapa tak susah masuk syurga?
Dalam
satu keterangan dinyatakan: orang jahil semuanya binasa kecuali yang
berilmu. Orang berilmu semuanya binasa kecuali yang beramal. Orang
beramal semuanya binasa kecuali yang ikhlas. Untuk mencapai darjah
keikhlasan perlu banyak berjuang. Ibarat mendaki bukit yang tinggi,
hanya orang yang lasak saja berjaya sampai ke mercu. Kebahagiaan di
dunia belum menjadi pasport untuk ke syurga. Malahan adalah menjadi
kesalahan jika kekayaan yang didapati tidak diperolehi dan dibelanjakan
secara Islamik. Semua manusia inginkan hidup senang. Kesenangan di dunia
hanya sementara manakala kesenangan akhirat kekal abadi. Orang yang
bijak sudah tentu memilih kesenangan yang hakiki bukan yang bersifat
sementara. Hanya orang yang cetek akal saja memilih kesenangan dunia dan
mengenepikan kesenangan akhirat.
Syaitan selalu membisikkan kepada kita tentang amal kita yang banyak
walaupun baru sikit benar. Kita gembira apabila dipuji manusia. Timbul
rasa ujub dan riak yang memusnahkan pahala. Kita tak perasan kita
sebenarnya berdosa sebaliknya menyangka kita masih beramal soleh. Kita
mesti mengawas dari serangan penyakit batin seperti ria, ujub, bongkak,
sombong, dengki yang kesemuanya merosakkan amalan. Di sini peranan ilmu
tasauf yang perlu kita pelajari dan dalami.
Perlu kita ketahui sebelum kita melakukan sebarang ketaatan, Allah
sudah terlebih dulu mendahului dan mengingati kita. Kalau Allah tak
gerakkan kita untuk beramal, kita tak akan beramal. Ini maknanya Allah
mendahului kita. Jangan sangka kita yang beramal, sebenarnya Allah
menggerakkan kita beramal. Jadi soal pahala tak timbul. Sepatutnya kita
bersyukur kerana Allah gerakkan kita beramal. Bagaimana kita mahu
mendabik dada tentang amalan kita? Saidina Ali yang sudah dijamin masuk
syurga pun mengeluh kerana bimbang kurang amalan sedangkan perjalanan ke
syurga amat jauh. Saidina Ali memang terkenal dengan zuhud dan
banyaknya melakukan amal ibadat. Bagaimana dengan diri kita? Saidina Ali
Menggigil mengenangkan bekalan yang sikit untuk perjalanan ke akhirat
yang jauh.
Kesimpulannya kita terpaksa mengharung kesusahan
mencari ilmu akhirat serta mengamalkannya. Kesusahan dalam hal akhirat
adalah rahmat. Dengan kesusahan ini Allah mengampun dan meninggikan
darjat kita. Dunia bukan tempat bersenang-lenang. Kesenangan hanya di
akhirat. Seseorang tidak diberi pahala jika tidak bersusah-payah
menempuh dugaan dan cabaran. Ingat sekali lagi pesanan Nabi saw "Jalan
ke Syurga dikelilingi dengan kepayahan. Jalan ke Neraka pula dikelilingi
dengan nafsu dan syahwat." Oleh itu, utamakanlah kepayahan kerana itu
jalan ke syurga. Jauhilah kesenangan berbentuk nafsu syahwat kerana itu
jalan ke neraka. Sama-samalah kita berusaha merubah diri kita kepada
yang lebih baik. Wallahualam.
#lebih kepada diri sendiri
~kuretomey~
No comments:
Post a Comment