Sunday, December 08, 2013

Nilai Hidup Menurut Islam


NILAI HIDUP MENURUT ISLAM
Mohd Syahmi Bin Mohd Miswan
Tugasan SVW 502, Pembangunan Insaniah
Semester 3 (2013)

Mujahid Fathi Yakan di dalam kitabnya, Maza Ya’ni Intima-i Li al-Islam, telah menyatakan bahawa di dunia terdapat tiga kategori manusia. Tiga kategori tersebut adalah:

Kategori Pertama

Golongan yang hidup hanya untuk dunia semata-mata. Mereka dinamakan sebagai golongan ad-Dahriyyun. Sikap mereka jelas seperti yang dinyatakan di dalam al-Qur’an:

“Dan tentu akan mereka katakan: “Hidup hanyalah kehidupan kehidupan kita di dunia sahaja dan kita sekali-kali tidak dibangkitkan”. (al-An’am,  6:29)

“Dan mereka berkata: “Kehidupan tidak lain hanyalah kehidupan dunia sahaja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa. Dan mereka  sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduga-duga sahaja.” (al-Jasiyah, 46:24)

Kategori Kedua

Golongan yang telah hilang pedoman, terumbang ambing, akidah bersimpang siur, mereka melakukan kesesatan dan menyimpang dari jalan Allah SWT dalam kehidupan duniawi. Namun mereka masih menyangka mereka membuat kebaikan. Meskipun mereka mempunyai kepercayaan kepada Allah SWT dan Hari Kiamat tetapi akidah mereka hanyalah gambaran semata-mata yang terputus hubungan dengan aktiviti atau amalan hidup mereka. Pada hakikatnya mereka lebih kepada kebendaan (materialistik) walaupun kadangkala mereka melakukan kerja-kerja yang berbentuk kerohanian.

Kategori Ketiga

Golongan yang menganggap bahawa dunia ini sebagai ladang tanaman untuk mendapat atau memungut hasilnya di akhirat kelak. Golongan ini benar-benar beriman dengan Allah SWT. Mereka mengetahui hakikat hidup serta memahami nilai dunia  berbanding dengan Hari Akhirat. Allah SWT membandingkan mereka seperti dalam firman-Nya:

“Dan tidaklah kehidupan dunia ini selain daripada bermain-main dan bersenda gurau belaka. Dan sungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidaklah kamu memahaminya.” (al-An’am, 6:32)

Mereka yang benar-benar beriman menganggap dunia sebagai medan perlumbaan untuk mentaati Allah SWT dan mencari keredhaan-Nya. Seluruh hidupnya (ilmu, perniagaan, kekayaan, rumah, masa dan fikiran) diarahkan kepada jalan Allah SWT.
 
Bagi menjamin supaya urusan hidup ini terarah menurut lunas-lunas Islam maka sewajarnya difahami dan dihayati beberapa kewajipan, iaitu:

1.      Mengetahui matlamat hidup. Sebagaimana Firman Allah SWT:

“Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka mengabdikan diri (kepadaKu).” (az-Zariyat, 51:56)

2.      Memahami nilai dunia berbanding dengan nilai akhirat. Firman Allah SWT:

“Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu: Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah, kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempat kamu ? Apakah kamu berpuas hati dengan kehidupan dunia sebagai ganti kehidupan akhirat? Pada hal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan akhirat) hanyalah sedikit.” (at-Taubah, 9:38)

3.      Mengetahui hakikat kematian dan mengambil pengajaran daripada kematian yang pasti berlaku kepada setiap manusia sebagaimana Firman Allah SWT:

“Tiap-tiap yang berjiwa akan menemui mati.” (ali Imran, 3:185)

4.      Mengetahui benar-benar akan hakikat Din al-Islam dengan cara mempelajari dan mendalami dasar-dasar dan hukum-hakamnya.

5.      Mengetahui hakikat Jahiliyyah, iaitu dengan meneliti ciri-ciri pemikiran, aliran dan perancangannya. Di samping itu, mendedahkan akibat serta keburukan Jahiliyah. Dengan memahami Jahiliyyah, barulah orang-orang beriman tidak terperangkap ke dalam perangkap-perangkap jahiliyyah. Hal ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang mempelajari bahasa sesuatu kaum, ia terselamat dari tipu daya mereka.”

Neraca Dalam Kehidupan

Dalam pegangan hidup manusia, hendaklah diambil neraca dan nilai syarak, dan tidak seharusnya diambil nilai-nilai lain. Kabaikan dan keburukan hendaklah diperhatikan menurut pandangan syarak berdasarkan kaedah:

“Yang baik ialah  apa yang dipandang baik oleh syara dan yang buruk ialah apa yang dipandang buruk oleh syarak.”

Terdapat banyak perintah Allah SWT yang memerintahkan kita agar mengambil nilai syarak dan melarang daripada mengambil nilai yang lain daripada syarak. Antaranya Firman Allah SWT :

“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas satu syariat (peraturan) daripaa urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.” (al-Jasiyah, 46:18)

“Ikutilah apa yang telah diturunkan kepada kamu daripada Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selainNya. Amat sedikitlah kamu mengambil pengajaran (daripadaNya).” (al-A’raf, 7:3)

“Apakah kamu tidak memerhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kamu dan apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada Taghut, pada hal mereka telah diperintahkan agar mengingkari taghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka sejauh-jauhnya.” (an-Nisa’, 4:60)

Terdapat keterangan yang memberi peringatan bahawa memilih dan berpaut kepada yang lain daripada nilai Islam adalah merupakan kesesatan dan menyimpang daripada jalan Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang  di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan-sangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah SWT).” (al-An’am, 6:116)

“Dan adalah tidak patut bagi lelaki mu’min dan tidak pula patut bagi perempuan mu’min, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkansesuatu ketetapan akan ada pada mereka suatu pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Sesungguhnya sesiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan  kesesatan yang nyata.” (al-Ahzab, 33:36)

Nilai Yang Tetap

Nilai Islam adalah nilai yang tetap dan tidak berubah-ubah meskipun zaman beredar dan berubah. Dalam hal ini Abu al’Ala al-Maududi telah menyatakan dalam risalahnya, Ila AyySyai’ Yad’u al-Islam, bahawa Allah SWT tidak semata-mata menurunkan undang-undang tertingi (Supreme Law) melalui Rasul bahkan diturunkan bersama-samanya nilai yang tetap (Thabitah = Permanent Values). Sesuatu yang telah ditetapkan baik di dalam al-Qur’an dan sunnah Rasul itu adalah baik selama-lamanya. Demikian juga sebaliknya, sesuatu yang ditetapkan buruk itu maka ia tetap buruk selama-lamanya. Begitu juga yang halal tetap halal dan yang haram tetap haram. Ketetapan tersebut tidak boleh dipinda, ditambah, dikurangkan atau dihapuskan. Hanya yang berani membuat pindaan dan pembatalan itu ialah  golongan atau jamaah yang melepaskan dan membebaskan diri daripada Islam.

Hal yang sama juga telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh Sayyid Qutb dalam kitabnya yang sangat bernilai, Khasais at-Tasawwur al-Islami Wa Muqawamatuha, dalam satu tajuk, Ath-Thabat (Nilai Yang Tetap). Perlu diperingatkan sekiranya ketetapan Allah SWT itu tidak dipatuhi maka akan berlakulah kerosakan demi kerosakan di alam ini. Firman Allah SWT:
 
“Andaikata kebenaran itu menurut hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi dan semua yang terdapat di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan (al-Quran) mereka tetapi mereka berpaling daripada kebanggaan tersebut.”
(al-Mu’minun, 23:71)

Nilaian Allah SWT

Islam telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagai suatu sistem hidup yang sempurna. Telah ditentukan bahawa penilaian yang tinggi dan keuntungan hanya diberikan kepada mereka yang beriman serta menghayati Islam dalam kehidupan mereka. Hal ini telah ditegaskan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:

“Demi masa. Sesunguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh.” (al-’Asr, 103:1-3)

Sayyid Qutb ketika menghuraikan ayat ini telah menjelaskan bahawa Iman merupakan dasar hidup yang amat penting bagi membuahkan hasil yang baik dan bernilai dalam seluruh cabang hidup. Mana-mana amalan yang tidak lahir daripada keimanan, maka ia tidak bernilai di sisi Allah SWT. Allah SWT telah membuat perbandingan di dalam firman-Nya:
 
“Orang-orang yang kafir kepada Tuhannya, amalan-amalan mereka seperti debu yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak dapat mengambil sebarang manfaat dari apa yang mereka kerjakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh.” (Ibrahim, 14:18)

“Dan orang-orang yang kafir, amalan-amalan mereka adalah seumpama fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu, dia tidak mendapatinya sesuatu apapun.” (an-Nur,24 :39)

Amalan soleh itu adalah buah Iman. Iman itu hidup dan bergerak melahirkan amalan yang soleh. Inilah Iman Islam. Iman itu bergerak, bekerja dan membangun menuju kepada matlamat Allah SWT. Ia tidak semata-mata tersimpan beku di lubuk hati. Ia juga bukan semata-mata angan-angan atau sekadar niat baik sahaja tanpa diamalkan.

Pembentukan Jemaah

Untuk menyempurnakan tanggungjawab menurut sistem Islam, maka perlulah kepada pembentukan Jamaah Islamiyyah. Yakni, jemaah yang ada kesedaran untuk bangun menghayati dan menegakkan Islam. Jemaah  yang mana anggotanya pimpin memimpin, membimbing antara satu sama lain dalam suasana ukhwah dan kasih sayang sejati kerana Allah SWT.

Hendaklah kita sedari bahawa memperkatakan yang hak itu adalah suatu yang wajib, namun terpaksa menghadapi berbagai-bagai kesukaran serta halangan. Din atau sistem Islam itu adalah hak (kebenaran) yang wajib dibangunkan, tetapi ia tidak dapat tertegak melainkan di dalam kawalan jamaah yang sudah terbentuk.

Sabar
 
Perlu juga diinsafi bahawa kerja-kerja menegakkan Iman, amal soleh dan mengawal yang hak itu adalah kerja yang amat sukar bagi individu dan jamaah. Maka ia memerlukan  kepada satu senjata, iaitu kesabaran. Yakni sabar dalam jihad sama ada jihad hawa nafsu atau lain-lain, sabar menangung penderitaan dan kesukaran, sabar menghadapi kemungkaran dan kemaksiatan yang berleluasa, sabar melalui masa yang panjang dan peningkatan yang lambat dan sabar untuk menuju matlamat yang jauh di dalam perjuangan hidup ini. Hal ini memerlukan kepada jamaah yang mana anggota-anggotanya hidup dalam ukhuwwah dan bimbing-membimbing dengan kesabaran.  Dalam suasana ini, barulah sistem Islam boleh hidup subur dan menghasilkan buah-buah (natijah) yang baik lagi bernilai.

Model

Model jemaah yang tinggi dan agung telah lahir di Zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Adalah perlu sekali kita mengambil contoh teladan mereka dalam usaha kita membentuk jemaah kini. Generasi pertama tersebut telah memiliki sifat-sifat dan ciri-ciri penting hingga melayakkan mereka menjadi umat terbaik.

Berikut disenaraikan beberapa ciri yang terpenting seperti yang dijelaskan oleh Abu al-Hasan Ali al-Husni an-Nadawi dalam kitabnya, Maza Khasira al-’Alam Bi Inhitat al-Muslimin. Rumusan beliau ialah:

1.    Mereka berpegang teguh kepada Syariat Ilahi. Mereka sesekali tidak mencipta undang-undang menurut hawa nafsu mereka.

2.    Mereka telah melalui proses Tarbiyyah (didikan) dan Tazkiyyah (pembersihan) jiwa dalam jangka masa yang lama di bawah pimpinan Rasulullah SAW hingga lahir sifat-sifat terpuji. Jawatan dan tugas disifatkan sebagai amanah dan ujian daripada Allah SWT, bukan kemegahan atau kebanggaan.

3.    Perkhidmatan mereka kerana Allah SWT, tidak kerana yang lain. Mereka bekerja untuk mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada perhambaan hanya kepada Allah SWT semata-mata. Kemuliaan hanya bagi orang-orang yang bertaqwa.

4.    Mereka membina tamadun yang soleh meliputi kemajuan rohani, jasmani dan aqli. Semua bidang hidup dikuasai oleh nilai dan akhlak Islam, meliputi bidang pentadbiran, ekonomi, sosial dan politik.
Sehubungan dengan itu juga, Said Qutb pernah menjelaskan bahawa dasar hidup mereka dibina di atas kata-kata Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Mereka mengabdikan diri kepadaKu dan tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu apa pun.” (an-Nur, 24:55)

Erti memperhambakan diri kepada Allah SWT itu, menurut tafsiran Said Qutb, ialah tetap berjalan di atas sistem peraturan Allah SWT. Inilah manhaj yang diguna pakai oleh mereka dalam semua bidang kehidupan.

Demikianlah gambaran umum mengenai jemaah Islam yang hidup menjunjung perintah-perintah Allah SWT yang disifatkan oleh Allah SWT sebagai umat terbaik dan menjadi model untuk seluruh manusia.

Wallahualam.
-kure tomey-

Thursday, December 05, 2013

Mati Itu Pasti!!

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Orang pintar ialah sesiapa yang memuliakan dirinya serta membuat persediaan untuk kehidupan selepas mati, sementara orang bodoh ialah sesiapa yang membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu tetapi mengharapkan cita-citanya dikabulkan oleh Allah."
(Riwayat At-Tirmidzi)

Kematian pasti dihadapi oleh setiap orang sebagaimana firman Allah yang bermaksud: 
"Setiap yang bernyawa pasti akan mati." (Al-Anbia': 34).

Oleh itu petanda bagi orang yang sentiasa mengingati mati ia sentiasa memperbanyakkan amal perbuatan yang baik sepanjang hidupnya.

Larangan Meminta-minta Mati

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
" Jangan sesekali seseorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata : Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku." 
(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Seorang mukmin dilarang keras meminta mati kerana bosan dan tidak tahan menanggung sesuatu bencana yang menimpanya; sebaliknya dia mestilah menyifatkan bala bencana yang menimpanya itu sebagai ujian dan menerimanya dengan redha.
Sesungguhnya segala dugaan itu adalah kaffarah (penghapus) dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana tersebut . Oleh itu Allah menyeru kita agar menghadapinya dengan sabar dan akan ditulis pahala amal baik sebagai ganjarannya.
Allah SWT adalah bersifat dengan Maha Pengasih dan Penyayang, Dia tidak akan membiarkan hamba-Nya berada di dalam kesusahan selagi hamba-Nya itu ingat dan berserah diri serta bertawakal kepada-Nya dalam segala keadaan.

كَيۡفَ تَكۡفُرُونَ بِٱللَّهِ وَڪُنتُمۡ أَمۡوَٲتً۬ا فَأَحۡيَـٰڪُمۡ‌ۖ ثُمَّ يُمِيتُكُمۡ ثُمَّ يُحۡيِيكُمۡ ثُمَّ إِلَيۡهِ تُرۡجَعُونَ
"Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat kelak); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)"
 (Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 28)



Ada beberapa cara yang Rasullullah SAW ajarkan untuk selalu zikrul maut (ingat akan mati) ini:
  1. Perintah memperbanyak mengingati mati :
    "Perbanyaklah mengingat-ingat sesuatu yang melenyapkan dan menjadikannya segala macam kelazatan (kematian)."
    ( Riwayat At-Turmidzi )
  2. Mengingati kematian dapat melebur dosa dan zuhud :
    "Perbanyaklah mengingati kematian, sebab yang demikian itu akan menghapus dosa dan menyebabkan timbulnya kezuhudan di dunia." ( Riwayat Ibnu Abiddunya )
  3. Kematian sebagai penasihat pada diri sendiri :
    "Cukuplah kematian itu sebagai penasihat." ( Riwayat At-Thabrani dan Baihaqi )
  4. Orang cerdik ialah orang yang banyak mengingati mati :
    "Secerdik-cerdik manusia ialah yang terbanyak ingatannya kepada kematian serta yang terbanyak persiapannya uantuk menghadapi kematian itu. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar cerdik dan mereka akan pergi ke alam baka dengan membawa kemuliaan dunia dan akhirat." ( Riwayat Ibnu Majah dan Abiddunya )
Agar selalu ingat kepada kematian perlu dilakukan perkara-perkara berikut :
  1. Menyaksikan orang yang sedang sakaratul maut. Betapa dasyatnya dan menakutkan lebih-lebih kalau berdosa. Keadaan sakaratul maut ini digambarkan oleh Rasullullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud :
    "Sakitnya sakaratul maut itu kira-kira tiga ratus sakitnya pukulan pedang."
    ( Riwayat Abiddunya ).

    Sesungguhnya Nabi SAW mempunyai segelas air ketika hendak meninggal dunia. Baginda memasukkan tangannya ke dalam air, kemudian menghusap wajahnya dengan air itu dan berkata :
    "Ya Allah, semoga Tuhan mempermudah kepada saya terhadap sakaratul maut ini."
    ( Riwayat Bukhari dan Muslim )
  2. Mengunjungi orang sakit, sebab hujung dari penyakit ini tidak lain adalah kematian. Dari itu kita selalu waspada dan berhati-hati.
  3. Melakukan ziarah kubur, sebagaimana sabda Rasullullah SAW:
    "Lakukanlah ziarah kubur kerana ia mengingatkan mati." ( Riwayat Muslim )
  4. Merasakan diri selalu diawasi Allah SWT dimana saja kita berada. Oleh dengan demikian sentiasalah beramal yang baik. Rasullullah sSAW bersabda :
    "Seutama-utama iman seseorang itu ialah bahawa ia mengetahui dengan sungguh bahawa Allah SWT itu ada bersama dengannya di manapun ia berada." ( Riwayat 'Ubadah bin Shamit )
  5. Sedarilah bahawa perasaan kita sering disaksikan oleh anggota badan kita sendiri, yakni oleh lidah, tangan, kaki, kulit, telinga, mata dan hati. Hal ini difahamkan Allah SWT dalam Al-Qur'an yang bermaksud :
    "Pada hari (ketika) lidah tangan dan kaki mereka menyaksikan atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan."
    ( An-Nur: 24 )
  6. Begitu pula agar disedari bahawa perasaan kita selalu disaksikan. Dilihat dan diikuti oleh siang dan malam bumi tempat kita berpijak, langit serta malaikat Raqib dan Atib dan malaikat-malaikat lainnya. Allah SWT berfirman :
    "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan hatinya. Dan Kami lebih dekat kepadanya dari urat nadi lehernya sendiri. Ketika dua malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain di sebelah kiri, tiada sesuatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir." ( Qaf: 16-18 ) 

    "Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran dimuka dan dibelakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah SWT." ( Ar-Ra'd: 11). (Malaikat ini disebut malaikat Hafazhad)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...