Menjelang Rabiu’awwal, menjadi kemestian dimana umat Islam akan
menyambut hari tersebut dengan pelbagai cara dan gaya. Lazimnya, di desa
dan kampung, sambutan diadakan dengan majlis berzanji dan membaca rawi.
Semua sanak saudara, rakan-taulan dijemput bersama-sama menghadiri
majlis tersebut. Pastinya ia sesuatu yang cukup bermakna.
Di
bandar pula, umumnya mengetahui bahawa sambutan Maulidir Rasul ini,
pasti bertambah meriah dengan disertai perarakan. Ribuan manusia akan
berarak dari satu tempat ke tempat yang lain dalam suasana yang begitu
menggembirakan. Dalam hal ini, baik muda mahupun tua, semuanya
bersemangat untuk tidak melepaskan peluang turut serta dalam perarakan
tersebut.
Persoalannya, mengapa majlis berzanji dan perarakan ini
diadakan sempena maulid nabi? Mengikut sejarah, sememangnya budaya ini
tidak pernah disambut pada zaman Rasulullah. Mana tidaknya, Rasulullah
senantiasa ada bagi membincangkan persoalan agama sekaligus
menyempurnakan agama ketika itu. Hanya pada zaman fatimiyyah, setelah
berlalu tempoh yang panjang di kala umat Islam mula melonggarkan ajaran
agama, maka timbul idea dari pemimpin-pemimpin Islam ketika itu untuk
mengadakan hari-hari tertentu bagi mengajak umat Islam kembali memahami
ajaran agama. Dalam kaitan ini, maka memperingati hari Israk dan Mikraj,
sambutan Maulidur Rasul dan sebagainya telah diadakan.
Oleh yang
demikian, hari-hari penting dalam Islam kini telah disambut dengan
pelbagai cara antaranya dengan mengadakan ceramah, kuliah, seminar,
perarakan dan pelbagai lagi. Cuma, wajarkah sambutan Maulidur Rasul itu
disambut dengan perarakan besar-besaran sehingga menelan belanja begitu
besar bagi menghadapinya? Dua tahun lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang
enggan mengadakan perarakan Maulidur Rasul. Hal ini menimbulkan
kekecohan dalam masyarakat sehingga ramai yang mengkritik dan tidak
kurang juga yang memuji. Lebih mendukacitakan, mengapa kita lebih
menitik-beratkan hal yang hanya cabang dalam agama berbanding hal yang
lebih berat seperti masalah akidah dan keruntuhan akhlak yang masih
kitikal pada masa kini.
Pada hemat saya, perarakan bukanlah jalan
terbaik dalam menyambut sambutan Maulidur Rasul. Kerana rata-rata
masyarakat hanya memahami ‘kulit’ berbanding ‘isi’. Apa tujuan perarakan
tersebut? Adakah dengan perarakan dengan berpakaian berwarna-warni yang
disertai selawat beramai-ramai, mengibarkan pelbagai cogan kata pujian
di sepanduk-sepanduk itu mampu memperingatkan kita kepada Baginda Rasul
junjungan?
Dalam hal ini, cara sebenar memperingati Rasulullah
adalah melalui penghayatan. Penghayatan di sini bermaksud, penghayatan
mengenai syariat. Dalam kerangka yang lebih besar, syariat yang
dimaksudkan adalah dari sudut akhlaq, sahsiah, budaya, perundangan,
pendidikan dan lain-lain. Mengapa sehingga kini, penghayatan dalam semua
elemen tadi tidak dipraktikkan? Walhal, ini adalah sunnah (ikutan) yang
diajar oleh Baginda Nabi. Jika penghayatan syariat ini masih kabur
dalam pengamalan masyarakat, maka tidak hairanlah seandainya rasuah,
salah guna kuasa dan pelbagai penyelewengan masih berlaku sekarang ini.
Justeru,
perarakan tidak boleh dijadikan kayu ukur kecintaan kepada Rasulullah.
Bagi menghindari taqlid buta yang diamal dalam masyarakat, maka, adalah
menjadi tanggungjawab semua untuk memberi kefahaman melalui
program-program ilmiah yang disusun melalui masjid dan surau. Tambahan
pula, bulan Rabiu’awwal merupakan bulan menyambut kelahiran Baginda,
justeru, amat wajar umat Islam memperbanyak selawat ke atas Baginda.
Firman Allah Taala ”sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat
ke atas nabi..,” (Al-Ahzab: 56)
Tambahan pula, majlis bacaan
kitab sirah, seperti kitab Syamaail Muhammad karangan Imam Tarmizi, yang
mengisahkan secara mendalam tentang hal keperibadian Rasulullah
sewajarnya diadakan bagi memberi kefahaman sebenar kepada Umat Islam
agar mereka lebih mencintai Rasulullah dan mengambil pengajaran dari
perjuangan Baginda melalui pendekatan pendidikan berbanding perarakan
semata-mata yang wajar dijauhi.
YB DR HJ YAAKOB SAPARI
EXCO Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Luar Bandar
sumber: http://bm.harakahdaily.net/index.php/letter/7885-maulidur-rasul-bukan-sekadar-berarak
No comments:
Post a Comment