Wednesday, November 28, 2012

#wordless wednesday#


Setelah lebih 4 tahun, akhirnya. Syukur pada-MU Ya Rabb.

Moga ianya menyemarakkan kecintaan terhadap ilmu-MU Ya Rabb

Segala puji hanyalah untuk-MU!!

Thursday, November 22, 2012

#Thoughtless Thursday#


DUNIA! LIHATLAH!

Tubuh seorang kanak-kanak wanita Palestin 70% hancur dibedil peluru berpandu Zionis a.k.a Yahudi Laknatullah. Tubuhnya dah hampir sama macam daging burger percuma yang diberi makan pada rakyat Malaysia beberapa hari lalu.


Terima lasih kepada pemakan produk yang menyokong Yahudi Laknatullah. Inilah jasa anda untuk rakan anda di Palestin. Sama-sama kita fikirkan bagi yang masih belum berbuat demikian. Boikot bukan satu cara yang praktikal untuk menjatuhkan Israel tapi ianya mampu merencatkan secara tidak langsung walau tidak banyak.
Al-Fatihah Buat Almarhum.
Ya Allah, Selamatkanlah mereka.
Jauhilah kami dari Fitnah Dunia ini. Amin!!!

Wednesday, November 21, 2012

#wordless wednesday#


save&pray4Gaza!!

Penawar Hati Yang HIba



TUGASAN BLOG SIW 505

PENAWAR HATI YANG HIBA

Mohd Syahmi Bin Mohd Miswan
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
No. Matrik: P-SM0137/12

Setiap manusia yang dijadikan Allah dibekalkan dengan akal dan emosi agar manusia boleh menjalankan kehidupan dengan sebaik yang mungkin. Emosi perlu dikawal oleh akal dan akal pula perlu dikawal oleh iman. Jika ketiga-tiga ini ada di dalam diri manusia, maka sudah pasti ia akan menjadi manusia yang baik dan soleh. Bergantung kepada cara individu tersebut untuk mengawal emosinya agar tidak keterlaluan dan sentiasa berada dalam keadaan normal. Emosi yang hanya berpandukan kepada akal semata-mata akan menjadi sesat dan jauh menyimpang dari ajaran Islam. Contoh yang dapat kita lihat sekarang seperti ramai umat Islam yang sanggup membunuh diri kerana kekecewaan yang sangat. Ada pula yang sanggup membunuh atau mencederakan orang lain kerana terlalu marah. Tetapi apabila ia dikawal oleh akal dan iman sudah tentu orang yang sedih akan pasrah kerana ia tahu bahawa itu adalah ketentuan Allah dan setiap perkara itu ada hikmah disebaliknya. 
 
Semua pihak mengakui penyakit–penyakit jiwa atau dalam bahasa modennya dikenali sebagai ‘gangguan psikologi’ adalah penyakit atau masalah yang memerlukan rawatan segera dan bersungguh–sungguh. Jika diabaikan, akibatnya amat buruk sekali kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Semuanya mengundang kepada porak- peranda dalam kehidupan (Norhuriyatina Salleh, t.t).

Hati yang hiba tidak boleh kita hapuskan dan ia merupakan sebahagian daripada emosi yang telah dianugerahkan kepada manusia. Caranya untuk mengawal hati yang hiba ini ialah kembali kepada Islam seperti yang saya tegaskan di atas. Islam mempunyai penawar yang mujarab bagi mengubati segala penyakit manusia sama ada rohani atau jasmani. Hal ini sangat berbeza dengan agama-agama yang lain kerana mereka tidak ada asas pembinaan rohani kepada setiap umat mereka.
           
         Kalau dilihat berdasarkan persepktif, epistemologi dan tasawur barat, mereka menggunakan terapi untuk diri antaranya mendengar muzik-muzik yang menenangkan jiwa, bercerita kepada kaunselor, dan melakukan aktiviti-aktiviti luar yang boleh menghilangkan tekanan dan sentiasa berfikir positif.

Berbeza dengan epistemologi dan tasawur yang dianjurkan Islam. Islam menganjurkan membaca Al-Quran. Al-Quran adalah ubat yang sangat mustajab kepada manusia bagi menghilangkan perasaan hiba dan segala penyakit hati dan jasad. Setiap orang yang membaca Al-Quran akan menjadi tenang dan Allah akan memberikannya jalan keluar atas segala kesulitan yang dihadapi olehnya. Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai umat manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu al-Quran yang menjadi penasihat (pengajaran ) daripada Tuhan kamu dan menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin (jiwa ) yang ada di dalam dada kamu serta menjadi petunjuk (hidayah ) untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Yunus: 57)

dan

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Al-Isra : 82)

         Seorang lelaki datang berjumpa dengan Ibnu Mas’ud. Dia mengeluh dan berkata “Wahai Ibnu Mas’ud nasihatilah aku dan berilah penawar untuk jiwaku yang gelisah ini, aku tidak tenteram, jiwa gelisah dan fikiran aku bercelaru. Ibnu Mas’ud menjawab “kalau begitu bacalah Al-Quran atau engkau mendengar orang membaca Al-Quran”.

Al-Quran memberi petunjuk kepada manusia tentang cara–cara untuk merawat jiwa yang tidak tenteram. Bahkan amalan membaca dan menghayati isi kandungan al-Quran itu sendiri sudah mampu mententeramkan jiwa–jiwa manusia. Nabi Muhammad s.a.w pernah menyebut:

“Tidak berkumpul sesuatu kaum di dalam sesebuah rumah dari rumah-rumah Allah, mereka membaca kepadanya Kitab Allah (al-Quran) dan membincangkannya bersama–sama, melainkan turun ke atas mereka ‘as-sakinah’ (ketenangan) dan diliputi mereka dengan rahmat dan dinaungi mereka oleh para malaikat dan Allah menyebut amalan mereka itu di hadapan makhluk Allah yang ada di sisi-Nya.” (Riwayat Bukhari )

Mengunjungi tempat pengajian juga merupakan cara untuk mendidik jiwa agar mengenali dan sentiasa mengingati Allah. Di dalam kitab at-Tibyan fi adabi hamlatil Quran , susunan Imam an-Nawawi, beliau ada menukilkan kata-kata seorang ahli ma’rifat bernama Ibrahim Khawwash yang menyatakan lima penawar hati yang diantaranya adalah duduk bersama orang yang soleh. (Abunuha, t.t). Tidak rugi orang yang sentiasa mengunjungi tempat pengajian, kerana di dalam pengajian tersebut dipenuhi dengan nasihat, ilmu, ayat-ayat Al-Quran dan hadis. Ini bertujuan untuk mendidik nafsu dan emosi kita agar sentiasa bertindak mengikuti kehendak Allah dan tidak menyalahi syarak. Menuntut ilmu adalah amalan yang sangat baik dan sangat dituntut oleh Islam dan ia juga merupakan fardu ain bagi sekalian umat Islam.

Telah Berkata Muadz bin Jabal : “Pelajarilah Ilmu, karena mempelajari ilmu merupakan bentuk Khosyah (takut) kepada Allah, Menuntutnya adalah ibadah dan mempelajarinya secara bersama-sama adalah tasbih”.



Jelas di sini, orang yang rajin menuntut ilmu atau menghadiri kelas-kelas pengajian ilmu, seolahnya ia sentiasa bertasbih dan berzikir kepada Allah. Segala kepayahan, kesukaran dan kesedihan yang dihadapi olehnya akan terubat dan ia tahu bagaimana untuk bertindak sesuai dengan tuntutan Islam. Ini berbeza dengan orang yang tidak menuntut ilmu, kerana mereka sering melakukan kesalahan dalam tindakan mereka dan kadang-kadang ibadah yang dilakukan juga silap. Perkara sebegini sangat bahaya dan sangat merugikan orang yang tidak berilmu.

Untuk menghilangkan perasaan hiba yang dialami oleh seseorang, maka hendaklah ia sentiasa berzikir menyebut nama Allah. Perasaan hiba ini berlaku apabila hati seseorang itu terluka. Untuk merawat hati yang terlupa memerlukan suatu kaedah yang rohaniah dan tidak boleh menggunakan ubat-ubatan farmasi atau klinik. Zikir adalah ubat yang sangat mustajab dan sangat mempengaruhi hati seseorang yang selalu berzikir. Firman Allah yang bermaksud :

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Ar-Rad : 28)



Solat merupakan ibadah yang paling penting di dalam Islam. Ibarat tiang rumah, begitulah pentingnya solat. Tanpa tiang rumah yang kukuh, rumah pasti akan roboh. Begitu juga dengan solat. Tanpa solat, maka rapuhlah Islam dan iman individu. Jadi kita sebagai umat Islam, jangan sesekali mensia-siakan amanah yang diperintahkan Allah ini pada setiap hari dan waktu, walaupun sibuk dengan tugasan harian, namun solat sesekali tidak pernah ditinggalkan. Hadis Nabi yang bermaksud :

“Solat itu tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa meninggalkan solat dia telah meruntuhkan agama”. (Riwayat Baihaqi)

Solat adalah pembuktian ikatan yang kuat antara hamba dengan Tuhannya. Dalam solat, hamba seolah berada di hadapan Tuhannya dan dengan penuh kekhusyukannya memohon banyak hal kepadaNya. Perasaan ini akhirnya boleh menimbulkan adanya kejernihan spiritual, ketenangan hati dan keamanan diri di kala ia mengerahkan semua emosi dan anggota tubuhnya mengarahkan kepadaNya dengan meninggalkan semua kesibukkan dunia dan permasalahannya. Pada saat solat ia boleh sepenuhnya memikirkan Tuhannya tanpa ada interaksi dari sesiapa pun hingga pada saat itulah ia merasakan ketenangan dan akalnya pun seolah menemukan waktu rehatnya.

Jelas di sini, bahawa solat adalah sebahagian dari terapi yang boleh mengubati jiwa seseorang yang berada di dalam keadaan hiba. Semasa mendirikan solat, seseorang itu harus mengosongkan jiwa dan raganya untuk member sepenuh tumpuan kepada Allah. Segala yang berlaku sebelum solat telah diredhokannya kerana ia hendak memfokuskan seluruh hatinya kepada solat dengan harapan mendapat khusyuk kepada Allah. Amat rugi bagi orang yang mendirikan solat secara sambil lewa tanpa ada semangat untuk melaksanakan solat dengan baik sepertimana yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Solat yang tidak sempurna diibaratkan seperti kain buruk dan kain itu akan dicampakkan oleh Allah ke muka kita apabila dihari perhitungan nanti.

Salah satu sifat yang disarankan oleh Islam ialah bersangka baik kepada orang lain (husnuzon) dan ia adalah salah satu dari sifat mahmudah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Punca timbulnya  rasa tidak tenang kepada orang lain adalah kerana kita mempunyai perasangka yang tidak baik kepada orang lain sehingga menyebabkan hubungan kita dengan orang tersebut tidak selesa. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Hujurat : 12)

Sikap berbaik sangka ada banyak kebaikannya di antara diri kita dan orang lain. Orang yang berbaik sangka sentiasa mudah untuk menerima orang lain di dalam kehidupannya walaupun orang tersebut tidak mempunyai apa-apa pertalian darah darinya. Walaupun begitu, dia menganggap orang lain seperti saudaranya yang dekat dan sentiasa mudah untuk membantu dan menjalinkan hubungan sosial dengan orang lain. Malah inilah perkara yang dianjurkan oleh Islam, kerana setiap umat Islam itu adalah bersaudara. Ibarat tangan kanan dicubit tangan kiri juga turut merasai kesakitannya. Hubungan persaudaraan sesama Islam juga pasti terpelihara dan lebih erat ukhwahnya. Perasaan yang bebas dan hati yang terbuka dari sebarang sikap dan sifat yang buruk terhadap saudaranya yang lain. Segala kesalahan dan teguran dari orang lain akan dinilai olehnya dengan positif. Sekiranya orang lain melakukan kesalahan kepadanya seperti mencerca dan menyakiti hatinya, ia akan segera memaafkan orang tersebut dan diubati kesakitannya dengan zikir dan mengingati Allah.

Segala garis panduan yang diberikan di sini, boleh mengubati perasaan yang hiba itu, kerana hati yang hiba tidak boleh diubati dengan ubat, ia mesti diubati dengan rawatan rohani yang hanya terdapat di dalam agama Islam sahaja. Islam meliputi semua aspek iaitu rohani dan jasmani dan merupakan pelengkap kepada kehidupan manusia. Setiap apa yang berlaku kembalilah kepada agama Islam, nescaya Islam itu mempunyai kaedah yang tersendiri dan mampu mengubati seluruh penyakit yang ada pada manusia. Carilah damai di hati dengan menjadikan iman sebagai penawar yang amat mujarab. Selalulah mengingati akan rahmat dan ampunan Allah, bertawakkal dan berbaik sangka kepadaNya, mengimani qadha' dan qadarNya, menjalani hidup sesuai dengan adanya, melepaskan kegundahan tentang masa depan dan mengingati akan nikmat Allah (Dr. Aid Abdullah Al-Qarni, 2010).

Amalkan doa ini setiap kali selepas solat. Doa ini juga selalu dibaca dalam bacaan Al-Ma’thurat susunan As-Syahid Imam Al-Banna. InsyaAllah hati pasti kan menjadi lebih tenang. Berikut adalah terjemahan doa.


"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kerunsingan dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepada-Mu daripada perasaan penakut dan bakhil dan aku berlindung kepada-Mu daripada belenggu hutang dan tekanan orang."


Rujukan

Abu Nuha, diakses pada 20 November 2012 daripada http://abunuha.wordpress.com/2008/07/18/lima-penawar-hati/

Dr. Aid Abdullah Al-Qarni, 2010, La Tahzan: Don’t Be Sad (Edisi Bahasa Malaysia), Selangor, Al-Hidayah Publishers

Ismail Kamus, Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid (2009), Indahnya Hidup Bersyariat, Shah Alam, Telaga Biru Sdn. Bhd.

Jack Canfield, Mark Victor Hansen, Amy Newmark (2012), Chicken Soup for the Soul: Berfikir Positif, Batu Caves, PTS Profesional.

Mutiara doa, diakses pada 18 November 2012 daripada http://fifapg9.blogspot.com/2010/02/mutiara-doa.html


Norhuriyatina Salleh, diakses pada 20 November 2012 daripada http://halaqah.net/v10/index.php?page=309;wap2


Monday, November 19, 2012

Hikmah kematian: Pemutus Segala Kenikmatan




كلو نفسين ذائقة الموت, ertinya setiap makhluk akan merasakan mati, sementara kematian tersebut akan menjemput siapa saja dan di mana saja. 

Begitu banyak huraian para daie atau daieyah yang menceritakan bagaimana hebatnya sakaratul maut. Tanya pada diri, berapa kalikah kita menziarahi makam atau melawat serta mengucapkan takziah kepada kerabat yang meninggal? Dan berapa kalikah kita melawat orang yang sakit? Akankah perjalanan kita tersebut berbuah hikmah untuk diri kita sendiri? Atau sekadar menjaga hubungan baik dengan sesama saja? Jika semua berfikir, ketika menziarahi orang yang meninggal dunia hingga mengkafankannya, juga menguburkannya, sambil merenung, berfikir bahawa yang dikafani dan dikuburi tersebut adalah diri kita, di mana roh kita melihat, bagaimana jerit tangis esak keluarga yang ditinggalkan. Mungkin ada benarnya juga cerita dari Nasrudin Hoja, berikut adalah petikan kata-kata beliau:

"Kita lahir ke bumi menangis dan ketika mati kita meninggalkan tangisan dari orang terdekat kita."  

Kita pun dicengkam ketakutan dengan pertanyaan dalam kubur yang belum tentu mampu untuk menjawab. Astaghfirullah. Saat itu kita lupa kalau kita adalah antara orang yang berkedudukan tinggi, dan orang yang paling kaya di kampung kita, di mana kita adalah orang terkenal yang banyak dipuji dan dipuja. Rasa sakit dicabut nyawa masih terasa, jerit tangis keluarga tidak mampu meredakannya. Kain kafan dipersiapkan, penggali kubur terus menggali, orang menziarah datang bersilih ganti, akankah sang mayat mampu berteriak?

"Jangan!! Aku ingin hidup seribu tahun lagi!! Aku ingin bertaubat sebelum mati! Ingin beribadah dan memperbaiki kelalaianku. Begitu lelah aku mengumpulkan harta! Begitu aku telah mencapai dalam meraih keduniaan semata! Akankah semua itu aku tinggalkan???"

Harta yang kita kumpulkan dengan susah payah, hanya akan menjadi saksi bisu, bahkan akan menjadi kayu bakar kita, manakala tidak menjadikan sarana ibadah kepada-Nya. Lantas bagaimana anak isteri yang kita cintai, itu pun tidak mampu berbuat apa-apa, kecuali kalau mereka seiring dan mempunyai tujuan yang sama untuk meniti jalan-Nya, lebih-lebih lagi jika memiliki anak yang soleh yang mendoakan, insyaAllah ianya menjadi penyelamat kita.

           Jadi, kita benar-benar sendiri, memikul amal perbuatan masing-masing, tidak kira sama ada yang baik mahupun yang buruk. Saat itu kekuatan yang kebiasannya kita rasakan, akan berkurangan, kaki yang selalunya berjalan, mulai lemah, begitu juga tangan dan anggota tubuh lainnya. Degup jantung semakin lemah, nafas sesak dan akhirnya seribu sakit mendera kita. ALLAHU AKHBAR, nyawa lepas dari raga terkulai tidak berdaya dan kita yang sedang menyaksikan badan tersebut. Saat itu baru kita sedar, betapa singkatnya hidup, betapa menyesalnya kita dengan waktu yang terbuang begitu sahaja. Baru tersedar jika hidup tiada punya tujuan yang lain kecuali hanya untuk beribadah. Saat itu mungkin kita sedang meratapi badan yang penuh berlumuran dosa, tetapi pintu keampunan telah tertutup, kesempatan berbuat dan beramal soleh telah selesai. Ketika muda, ketika masih tampan atau cantik, kematian seakan jauh dari kita. Sehingga ramai daripada mereka menjadikannya sebagai meraih harta dan populariti.

Betapa naifnya mereka yang lupa akan amanah badan dan kemampuan yang seharusnya untuk mengabdi hanya kepada-NYA, tetapi malah disalahgunakan. Lantas, harus bagaimana kita? Akankah saat kita berhasil dalam urusan dunia kita lupa? Sementara saat kita menderita, menghalalkan segala cara. Begitu banyak hamparan kebun amal berada di sekeliling kita, anak yatim yang membutuhkan kasih sayang, perut orang-orang miskin yang lapar, janda-janda dhuafa yang membutuhkan santunan, anak-anak cerdas yang menginginkan persekolahan, orang-orang sakit yang tidak mampu membayar biaya pengubatan, orang-orang awam yang membutuhkan santunan ilmu agama, masjid-masjid yang terhambat pembangunannya, daerah-daerah rawan aqidah, bergejolaknya pemurtadan, pendangkalan aqidah yang hampir di semua bidang terutama budaya dan sosial serta berbagai macam kebun amal lainnya yang menunggu penggarapnya dengan berbagai jenis bibit unggul yang siap ditanam.

Untuk itu berbuatlah berbagai macam kebaikan sebanyak-banyaknya sehingga saat ajal memanggil, tidak akan hadir kerisauan yang ada hanya kepasrahan dengan segala ketentuan yang telah ditetapkan-NYA. Perlu sekali kita ingat, apa pun yang kita perbuat adalah anugerah dari rahmat-NYA. Mengapa demikian? Sebab ketika kita ingin berbuat baik, maka atas izin-NYA jualah kita sampai pada perbuatan baik tersebut. Untuk itu saat kita mampu beramal soleh maka bersyukurlah kerana kemampuan beramal belum tentu diberikan kepada semua orang dan itu merupakan rezeki yang luar biasa.

Akhirnya, rezeki yang sebenarnya merupakan segala sesuatu yang kita infaqkan di jalan ALLAH baik itu harta, ilmu, waktu, tenaga dan sebagainya, yang bisa kita berikan untuk Rabb yang kita cintai. Dengan demikian, yang menjadikan kita penghuni Syurga, bukan kerana amal soleh kita, tetapi rahmat-NYA.

Kalau kita rajin menelusuri kenikmatan demi kenikmatan yang ALLAH anugerahkan maka meskipun umur kita habis untuk menghitung nikmat-NYA, nescaya tidak akan pernah terhitung. Misalnya, betapa nikmat-NYA kita saat mengerlipkan mata dan bagaimana andai kita tidak bisa lagi berkelip? Sementara kita beribadah sepanjang usia maka nikmat kerlipan mata tersebut tidak akan pernah tergantikan dengan ibadah yang kita pekerjakan. Kenapa tidak terbersit bahawa kenikmatan tersebut sering kita lupakan?

Manusia ramai yang membuang waktu percuma, hidupnya tertipu oleh kemilau dunia, yang tidak pernah bersyukur dengan berbagai nikmat-NYA. Saat itu dia memandang mukanya sendiri yang hitam legam menakutkan, mengapa demikian? Kerana selama hidupnya amat jarang melaksanakan shalat dan jarang tersentuh air wudhu’. Mulutnya menganga kerana banyak kata-kata yang melukai banyak orang. Seperti caci maki, ghibah, cercaan dan hinaan pada sesama serta cemuhan yang sering keluar dari mulut.

Kita lihat mata, Astaghfirullah membeliak menakutkan. Ingat bahawa mata itu, selalu menatap dunia, dan terpukau dengan fatamorgana yang penuh dengan kepalsuan. Matanya amat asyik dalam menatap kebesaran ALLAH bahkan hampir tidak pernah. Dunia yang selalu menjadi tumpuan hidupnya, akhirat hampir tidak pernah dilirik, apakah tidak bisa memberikan waktu, kesempatan dan keinginan untuk mengetahuinya?

Di dada, tidak kelihatan Asma ALLAH, hatinya sudah mati terlebih dahulu, hampir tidak pernah menyebut apalagi mengingati-NYA. Hatinya penuh dengan angan-angan dan cita-cita untuk menguasai dunia walau harus menghalalkan berbagai cara. Astaghfirullah, turun lagi ke tangan, tangan yang kikir, bakhil, yang sering mengambil hak orang lain dan yang hanya jadi sarana untuk memerintah belaka, seperti: pandai menuduh kesalahan orang lain daripada memperbaiki kelemahan dan kekhilafan dirinya sendiri. Astaghfirullah.

Selanjutnya, kaki yang pantang untuk tidak mengejar keinginan yang tidak bertepi. Mengapa demikian? ‘Kufur Nikmat’ sebagai penyebabnya. Sekujur tubuh ditatapnya penyesalan luar biasa, sungguh tiada guna. Rasa sakit yang masih terasa bagaimana hebatnya sakaratul maut, belum lagi ketakutan memasuki liang lahat. Malaikat Munkar dan Nakir bertanya yang belum tentu kita sanggup untuk menjawabnya.

Dengan demikian, bagaimana menghindarinya? Sebelum penyesalan itu tiba, sebelum kesengsaraan panjang menghampiri maka bergegaslah menuju ampunan dan rahmat-NYA. Jangan sia-siakan waktu dan kesempatan yang hanya sementara ini agar selalu ingat pada-NYA, jalankan perintah dan jauhi larangan-NYA. Jangan biarkan kita dihisab oleh segala amal buruk kita. Semoga kita digolongkan kepada hamba yang diseru-NYA, dan semoga termasuk hamba yang mencintai dan dicintai oleh Rabb-NYA yang mengasihi kita.

~kuretomey~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...