Wednesday, August 10, 2011

Keutamaan Ramadhan

Sebagaimana diketahui bahawa puasa adalah salah satu ibadah terbesar dan sebaik-baiknya amalan ketaatan. Dan puasa ramadhan adalah puasa tertinggi dan hukumnya adalah wajib bagi setiap yang mengaku dirinya muslim. Allah menyatakan bahawa amalan puasa adalah untuk-Nya dan Dia memberi balasan yang berlipat ganda, dikhususkan sebuah pintu syurga dan dipanggillah orang-orang yang berpuasa darinya untuk masuk, dan tidak akan memasuki pintu syurga  tersebut kecuali orang-orang yang berpuasa.

Pelbagai keutamaan puasa pada bulan ramadhan yang diwahyukan dalam Al-Qur'an dan dalam As-Sunnah. Di antara keutamaan puasa ramadhan adalah sebagai berikut :

1. Bahawa puasa juga diwajibkan atas umat sebelum kita. Allah berfirman :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." 
                                                                                                         (Al-Baqarah : 183)

Jika puasa bukan sebuah amalan yang mulia, maka tidak mungkin puasa juga diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelumnya. Walaupun puasa mereka berbeza sebagaimana puasa kita (bukan pada bulan ramadhan yang diwajibkan atas mereka), akan tetapi amalan puasa itu telah diwajibkan ke atas mereka yang membuktikan bahawa amalan ini sangat dimuliakan.

2. Puasa adalah sebab diampunkan dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan. Rasulullah S.A.W bersabda :

من صام رمضان إيمانا واحتسابا غُفِر له ما تقدم من ذنبه
 
"Barang siapa yang puasa Ramadhan dengan iman dan pengharapan (pahala), diampuni dosa-dosa yang telah lampau." 
                                                                                                          (Muttafaq 'Alaihi)

Iman di sini bermaksud beriman dengan Allah dan redha di atas kewajipan untuk berpuasa dalam bulan ramadhan. Pengharapan adalah mengharap balasan dan pahala dari Allah. Jika seseorang telah yakin dan redha dengan kewajipannya berpuasa serta tidak mengeluh dan membenci tanggungjawab berpuasa yang telah diletakkan, dan yakin terhadap pahala serta ganjaran yang akan diperolehi, maka dosa-dosanya yang terdahulu akan diampunkan.

3. Pahala puasa tidak terikat dengan jumlah tertentu, akan tetapi pahalanya diberikan  tanpa ada jumlah yang spesifik . Rasulullah S.A.W bersabda :

كل عمل ابن آدم له يضاعَف الحسنة بعشر أمثالها إلى سبعمائة ضعف ، قال الله تعالى : إلا الصوم فإنه لي وأنا أجزي به ، يَدَعُ شهوته وطعامه من أجلي

"Semua amalan anak Adam untuknya dan dilipat gandakan setiap satu kebaikan (dianggap) sepuluh kali kebaikan tersebut dan dilipat gandakan menjadi 700 kali. Allah berfirman : Kecuali puasa, karena amalan itu untuk-Ku dan Aku akan membalasnya. (disebabkan) meninggalkan sahwatnya dan makanannya demi Aku." (HR Muslim)

4. Dua kebahagiaan bagi orang yang berpuasa, iaitu kebahagiaan ketika berbuka puasa setelah menahan nafsu, lapar dan dahaga pada waktu siangnya dan kebahagiaan ketika berjumpa Allah di akhirat kelak dengan ganjaran syurga-Nya. Rasulullah S.A.W bersabda :

                                                                             للصائم فرحتان فرحة عند فطره وفرحة عند لقاء ربه

"Untuk orang yang berpuasa dua kebahagiaan : kebahagiaan ketika berbuka puasa. dan kebahagiaan ketika menemui Tuhannya." 
                                                                                                          (Muttafaq 'Alaihi)

5. Amalan berpuasa memberi syafaat kepada orang yang mengamalkannya seperti Al-Qur'an yang memberi syafaat kepada orang yang membacanya di akhirat kelak. Rasulullah S.A.W bersabda :

الصيام والقرآن يشفعان للعبد يوم القيامة , يقول الصيام : أي رب منعتُه الطعام والشهوة فَشَفِّعْنِي فيه , ويقول القرآن : منعتُه النوم
بالليل فَشَفِّعْنِي فيه , قال : فيشفعان

"Puasa dan Al-Qur'an memberi syafaat bagi seorang hamba pada hari kiamat. puasa berkata : Ya Rabb, aku telah menahannya dari makanan dan syahwat maka berikanlah syafaat. Al-Qur'an berkata : Ya Rabb, aku telah menahannya dari tidur dimalam hari maka berilah syafaat. Rasulullah berkata : maka keduanya memberi syafaat." 
                                                                         (HR Ahmad, Ath-Thabrany dan Al-Hakim)

Itulah 5 keutamaan berpuasa dalam bulan ramadhan. Masih banyak lagi keutamaan-keutamaan yang berkaitan dengan amalan puasa. Diwajibkan amalan-amalan bukan saja memberikan pahala bagi kita, bahkan menjadikan kita sebagai makhluk yang utama penuh dengan masa depan yang cerah. Semoga kita tergolong sebagai hamba-hamba-Nya yang taat dan redha dengan semua keputusan-Nya.


~kuretomey~

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...