Thursday, June 19, 2014

Mana Milik Kita

Mana milik kita?
Tidak ada milik kita
Semua yang ada
Allah yang punya
Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja           

Apa yang kita dapat
Allah sudah sediakannya
Kita Allah punya
Dunia ini ciptaan-Nya
Miliklah apa saja
Tidak terlepas dari ciptaan-Nya
Mana kita punya        

Tidak ada kepunyaan kita
Kita hanya mengusahakan
Apa yang telah ada
Mengapa kita sombong
Memiliki Allah punya
Mengapa tidak malu
Kepada Allah yang empunya
Patut bersyukur kepada Allah
Yang memberi segalanya
Malulah kepada Allah 

Kerana milik Ia punya
Janganlah berbangga
Apa yang ada pada kita
Kalau Allah tidak beri
Kita tidak punya apa-apa
Janganlah mengungkit        

Mengungkit jasa kita
Jasa kita di sisi-Nya
Yang sebenarnya Allah punya
Marilah kita bersyukur
Bukan berbangga
Bersyukur kepada Allah        

Bukan mengungkit jasa
Gunakanlah nikmat Allah itu
Untuk khidmat kepada-Nya
Selepas itu lupakan saja
Agar tidak mengungkit-ungkitnya

-Rabbani-
Alfatihah buat Allahyarham Ustaz Asri.



Lirik yang penuh makna.
Ya Allah, Ampuni kami hamba-Mu yang sentiasa lalai.

Tuesday, April 15, 2014

Definisi Ikhtilat dan Hukumnya Menurut Syarak

Apa itu IKHTILAT ?

Bahasa
Dari segi bahasa, ikhtilat bererti: meramukan, menggaul sesuatu dengan sesuatu yang lain yakni mencampurkannya.






 Istilah Syariat
Yang dimaksudkan dalam perbahasan ini ialah: Percampuran wanita dengan lelaki iaitu perkumpulan mereka pada satu tempat, sama ada dalam bentuk kumpulan atau bersendirian. Percampuran di satu tempat selalunya menyebabkan mereka bertemu antara satu sama lain, berpandangan, berkomunikasi dan bertegur sapa. Apa hukum ikhtilat dalam konteks yang seperti ini?

Adakah percampuran wanita dengan lelaki sama dengan percampuran lelaki dengan lelaki, tanpa ada perbezaan?

Jawapannya ialahTidak , secara pastinya tidak.

Tidak ada seorang pun yang mengatakan bahawa pergaulan wanita dengan lelaki sama dengan pergaulan lelaki dengan lelaki. Kerana asasnya pergaulan lelaki sesama lelaki adalah HARUS, tetapi pergaulan lelaki dengan wanita asalnya adalah HARAM.


 ikhtilat

HARAM ? Macam mana nak berkerja, nak belajar, nak berjual beli ?

Dalam hal ini, Ahli Sunnah Wal Jamaah, mengambil pendapat yang pertengahan (mutawasit). Iaitu, berserderhana dalam percampuran lelaki dan wanita, tidak mengharamkan secara mutlak dan tidak juga menghalalkan secara mutlak.

Ulama juga mengariskan beberapa keadaan yang membolehkan menjadikan percampuran antara lelaki dan wanita yang HARAM pada asalnya kepada suatu perkara yang diHARUSkan, antaranya ialah:

1-      Dalam keadaan terpaksa (Dharurah)
    • Menyelamatkan dari keburukan yang lebih besar seperti, kehilangan nyawa dalam kemalangan atau keadaan bahaya, kehilangan maruah dan lain-lain.
2-      Dalam keadaan keperluan (Hajat)
    • Dalam gerak kerja (mesyuarat, perbincangan & program)
    • Dalam pembelajaran (Kelas)
    • Jual beli
    • Kerja kehakiman
    • Saksi
    • Amar maaruf nahi mungkar
    • Melayan tetamu
    • Dalam kenderaan awam
    • Percampuran yang menjadi kebiasaan dalam keluarga
p/s:   Keadaan diatas menyebabkan ikhtilat menjadi HARUS dengan syarat keadaan percampuran diatas mengelak perkara yang dilarang dalam ikhtilat & menepati syarat-syarat Ikhtilat
  
Perkara yang dilarang dalam ikhtilat

1-      Pandangan yang berlebihan
    • Pandangan yang berlebihan adalah ditegah dalam Islam,
    • “Katakanlah kepada laki-laki yang beriman supaya menahan pengelihatan dan menjaga kehormatan….. dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman supaya menahan pengelihatan dan menjaga kehormatan” Surah An-Nur : 30-31
    • Dan sabda rasulullah “…. janganlah engkau menuruti pandangan pertama kamu dengan pandangan kedua, sesunguhnya pandangan pertama adalah bagi kamu dan yang kedua adalah dosa ke atasmu”
2-      Bersentuhan
    • Sentuhan juga adalah perkara yang dilarang, sabda rasulullah, “Sekiranya kamu ditusuk kepala kamu dengan besi, adalah lebih baik daripada memegang-megang lelaki/perempuan yang tidak halal untuk kamu”
    • Sentuhan yang dimaksudkan di sini, termasuklah sentukan kulit dan kulit atau berlapik, dan antara analogi mudah yang boleh diberikan, adalah adakah kita boleh membiarkan alat sulit kita disentuh oleh sesiapa sahaja walaupun ianya berlapik?
3-      Bercakap lembut
    • Suara/percakapan juga adalah elemen terpenting yang perlu dijaga, percakapan yang tidak perlu, berbunga dan bermanja perlu dielakkan.
    • Perbualan yang ringkas, padat dan mencapai maksud adalah lebih baik daripada perbualan yang lain.
4-      Khalwat (berdua-duaan)
    • DILARANG bagi seorang lelaki dan seorang wanita dalam keadaan berdua-duaan, melaikan bersama mahram.
    • Tempat sunyi tidak menjadi syarat kepada khalwat.
    • Mahram yang dimaksudkan disini adalah ahli keluarga atau sesiapa sahaja yangmemahami hukum islam dan mampu menegur jika berlakunya pemesongan daripada landasan islam/maksiat
5-      Tidak menutup aurat
    • Aurat wanita kepada lelaki yang bukan mahram adalah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangan
    • Aurat lelaki kepada wanita yang bukan mahram adalah pusat hingga lutut
Syarat-syarat Ikhtilat

1-      Niat

    • Kerana Allah
2-      Matlamat
    • Perkara yang memaksa dan keperluan sahaja
3-      Tidak bersentuhan
    • Tidak berlaku sentuhan samada kulit dan kulit atau berlapik
4-      Menutup & menjaga aurat
    • Perlu sentiasa terjaga
5-      Menjaga adab bercakap
    • Ringkas, pada dan difahami, tidak meleret dan berlebihan
6-      Mengasingkan tempat
    • Diasingkan dengan pengasingan yang jelas, samaada kiri dan kanan, depan dan belakang
7-      Dibawah kawalan orang yang dipercayai
  • Bawah pantauan orang yang dipercayai dan memahami hukum islam dan mampu menegur jika berlakunya pemesongan daripada landasan islam/maksiat
  • Keadaan (Waqie’) mahasiswa Malaysia di Mesir menjadikan pasangan berkahwin (Mutazauwij) adalah orang yang dipercayai
Salah Faham berkaitan Ikhtilat
  1. Jumlah lelaki dan wanita dalam satu percampuran tidak mengubah hukum dan adab-adab ikhtilat.
    • Terdapat sebilangan masyarakat yang menyalah ertikan Ikhtilat dan Khalwat
    • Ikhtilat adalah percampuran lelaki wanita, tidak kira bilangan
    • Khalwat adalah keadaan dimana lelaki dan wanita berdua-duaan tanpa mahram (orang yang dipercayai, memahami hukum islam & mampu menegur).

  2. Fizikal tubuh (jisim) tidak menjadi syarat berlakunya ikhtilat
    • Ikhtilat boleh berlaku samada melalui telefon, “chatting” dan lain-lain lagi cara komunikasi yang membolehkan perhubungan/interaksi antara lelaki dan wanita.
    • Dalam ikhtilat moden ini, perkara yang dilarang dan syarat-syarat ikhtilat juga perlu dipatuhi bagi mengelakkan ikhtilat yagn diHARAMkan.
    •  
  3. Kenal atau tidak, warna kulit, bahasa pengantara, bangsa dan kaum yang berbeza tidak menjadi perkara yang membolehkan ikhtilat
    • Antara yang sering berlaku apabila ada istilah adik angkat, abang angkat dan kakak angkat, kerana dikatakan perhubungan seperti adik beradik dan tiada nafsu antara mereka, perhubungan seperti ini tidak terlepas dengan Hukum & Adab-adab Ikhtilat
    • Perhubungan lelaki dan wanita, berlainan negara, bangsa dan warna kulit juga perlu mematuhi Hukum & Adab-Adab Ikhtilat

Wallahua'alam
Rujukan:
Kutaib Wanita Musafir & Ikhtilat, karangan Ustaz Syaiful Azlan bin Che Daud.

Wednesday, March 19, 2014

4 syarat hidupkan hati dengan Al-Quran


HATI yang hidup menggerakkan potensi yang ada pada diri seseorang. Sebaliknya, hati yang mati membunuh segala bakat dan potensi diri. Sesuatu umat hanya boleh dibangunkan dengan menggerakkan potensi dirinya serta mengarahkannya kepada pembangunan. Dengan pengutusan Rasulullah SAW, segala bakat dan potensi sahabat yang selama ini terpendam digerakkan dengan penghayatan al-Quran. Hati yang hidup adalah hati yang subur dan bersedia untuk mendengar, melihat dan menerima kebenaran. Hati yang hidup begini mempunyai nur, tenaga dan kekuatan. Ia sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah dengan penuh khusyuk, takwa serta kasih dan simpati kepada sesama makhluk. Hati yang dihidupkan dengan al-Quran bersedia mematuhi segala perintah syarak. Dengan mematuhi segala perintah syarak barulah kehidupan manusia akan sempurna. Bukankah Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya al-Quran ini membimbing ke jalan yang lurus (benar)." (Surah al-Isra', ayat 9).

Perkara ini disebutkan juga dalam firman-Nya bermaksud: "Taha (maknanya hanya diketahui Allah). Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu supaya kamu menjadi susah, tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut kepada Allah; iaitu diturunkan daripada Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi?" (Surah Taha, ayat 1-4).

Maka untuk menghidupkan hati dengan al-Quran, kita memerlukan beberapa syarat:-

Pertama, al-Quran hendaklah dibaca dengan tenang dan khusyuk, dalam keadaan bersendirian (berkhalwah), terutama pada waktu tengah malam atau fajar (Subuh). Allah berfirman bermaksud: " Sesungguhnya membaca al-Quran pada waktu fajar (Subuh) itu disaksikan malaikat." (Surah al-Isra', ayat 78).

Kedua, membaca al-Quran dengan pengamatan maknanya seperti yang dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: "Tidakkah mereka merenungi (tadabur) al-Quran itu?" (Surah Muhammad, ayat 24). Pembacaan yang disertai dengan renungan dan pengamatan sedemikian akan membuka pintu hati seseorang untuk menerima kebenaran yang terkandung dalam al-Quran. Dengan perkataan lain, roh dari alam tinggi (alam Ketuhanan) yang dibawa oleh al-Quran itu akan turun dan meresapi ke dalam hati pembaca al-Quran kemudian ia menghidupkannya. Dengan itu hati dapat mengenal kebenaran dengan mudah dan mencintainya. Nilai kebenaran dan kebaikan akan tumbuh subur dalam jiwanya. Lantas ia menyukai kedua-keduanya, tetapi membenci dan menentang kebatilan dan kejahatan.

Ketiga, sentiasa bersikap bersedia untuk menerima kebenaran al-Quran sebelum membaca atau mendengarnya. Manusia sering dikuasai oleh hawa nafsunya. Segala keinginan duniawi (hingga membawa kepada kegilaan) adalah dinding (hijab) tebal yang menutup hati seseorang itu sehingga menyebabkan enggan menerima hidayah Allah melalui al-Quran.

Keempat,merealisasikan kehambaan ('ubudiyyah) diri sewaktu membaca al-Quran. Perasaan ini akan dapat menimbulkan keazaman untuk merealisasikan segala ajaran al-Quran yang dibaca itu dalam kehidupan. Ini semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah. Dalam perkataan lain, pembacaan yang sedemikian akan menimbulkan keazaman untuk bermujahadah iaitu melawan kemahuan diri yang bertentangan dengan tuntutan 'ubudiyyah kepada Allah. Melaksanakan segala perintah Allah yang terkandung dalam al-Quran adalah tafsiran makna ayat yang dibacanya itu di dalam kehidupan. Untuk memastikan ia terus hidup dan segar, maka hati perlus entiasa menjalani proses mujahadah (melawan segala kemahuan diri yang bertentangandengan ajaran Islam). Hati yang tidak bermujahadah, ertinya hati itu beku dan kotor. Hati yang kotor dan beku menyebabkan seseorang itu tidak ingin melakukan kebaikan, malah ia sentiasa melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Perkara ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW bermaksud: " Huzaifah berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain.Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam." Begitu juga dengan hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati itu terbahagi kepada dua.

" Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada, manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga yang berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang  kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan." (Riwayat al-Bukhari didalam Kitab Iman, Hadis No. 207)

Monday, January 13, 2014

Jiwa rahsia hati

Manusia sikapnya pasti ingin memenangkan diri, walaupun tahu hakikatnya diri sendiri salah. Ya, aku insan yang banyak khilaf. Walaupun berkali aku ucapkan maaf itu, orang takkan perasan perkara tersebut kerana jelas memang di bahu aku juga diletakkan sepenuh kesalahan itu. Dan sememangnya MARAH itu adalah sifat yang menyumbang kepada kehancuran.

Buat kesekian kalinya kepada semua secara langsung atau tidak, maaf tulus dari diri yang hina ini. Kemaafan kalian aku harapkan, tetapi aku lebih mengharapkan kemaafan daripada-Nya. Ampuniku Ya Allah.

Dan aku pasti, aku memang begini dan sendiri menyimpan rahsia hati walau luaran ku terlihat beza.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...