Sunday, January 08, 2012

MALU...sebahagian daripada cabang iman ver. 4

MALU PADA KAUM WANITA 

Kemodenan hari ini banyak merubah cara kaum wanita Islam kita dalam cara berpakaian. Ramai yang megenakan seluar ketat, mendedahkan bahagian perut dan pusat, berpakaian menjolok mata dan tidak mahu memakai tudung sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah. Ramai yang sudah hilang malu, menonjolkan diri untuk memancing pandangan semua orang. Ini termasuklah bebas berdua-duaan bersama-sama pasangan yang bukan muhrim mereka. Pandangan seperti ini sudah menjadi perkara biasa di negara ini atau di mana-mana jua.

Seorang muslimah yang patuh kepada perintah Allah dan RasulNya tidak akan menggadaikan maruah diri semata-mata mahu nampak moden dan mengikut perkembangan semasa. Wanita wajib malu mendedahkan diri mereka kepada lelaki yang boleh dikahwini dan ditengah-tengah masyarakatnya. Malu seorang wanita itu datang daripada sifat malu kerana takutkan Allah. Begitu juga dengan kes-kes sumbang mahram yang amat memalukan kita khususnya umat Islam. Perbuatan ini amat hina kerana sanggup menodai dan memakan darah daging sendiri yang sepatutnya adalah amanah Allah kepada bapanya, abang datuk dan bapa saudara memelihara kehormatannya.

Dalam satu hadis yang diriwayatkanoleh Abdullah Ibn Umar, Rasulullah S.A.W bersabda : 

"Sifat malu dan iman itu seiringan. Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang."                                                                                                         
                                                                                                                     (Baihaqi)

Sifat malu dan memelihara kehormatan seseorang ini amat penting dan sangat dititikberatkan dalam Islam. Malu adalah perhiasan dan perisai kepada lelaki dan wanita yang percayakan ada pembalasan pada hari akhirat. Perisai inilah yang menghalang mereka daripada terjerumus melakukan dosa dan noda, zahir dan batin.

Hadis riwayat Anas bin Malik, Rasullullah S.A.W bersabda : 

"Apabila seseorang menyertakan keghairahan atau tarikan berahi kepada setiap perkara yang dilakukannya, ia akan menjadi keburukan, dan apabila malu disertakan dalam setiap perbuatan ia akan menjadi indah."                                                                             
                                                                                                                   (Tirmidhi)

~kuretomey~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...